KITA ORANG-orang yang merokok telah diberi kata dua dan disuruh memilih antara merokok atau kesihatan. Pilihan itu tentu berat tetapi itulah yang ditawarkan kepada kita oleh orang-orang yang arif lagi alim dalam bidang kesihatan
Sehingga sekarang ramai yang belum membuat pilihan. Kita masih menimbang-nimbang walaupun kita telah diperlihatkan gambar hodoh ‘isi dada’ orang yang merokok dengan serba serabut jelaga hitam, ngeri dan menakutkan. Entah bilakah keputusan muktamad akan dibuat sekalipun kita telah juga diberitahu bahawa setiap sebatang rokok dihisap mengurangkan enam minit umur kita!
GAMBAR
Berbagai-bagai fikiran dan perasaan menganggu. Iklan ‘anti merokok’ yang dilihat cukup dengan perangkaan-perangkaan. Kata-kata yang didengar dan dibaca cukup memeranjatkan bukan sahaja menakutkan.
Kita terperanjat dan berbelah bahagi antara percaya dengan tidak betapa umur kita boleh dipendekkan oleh sebatang rokok!
Yang kita ketahui (dan juga kita yakini) panjang pendek umur itu bergantung kepada singkat atau lanjarnya ajal (tempoh) yang ditetapkan oleh ALLAH subhanahu wa taala.
Kita tahu (lagi percaya) apabila tiba ajal tiada siapa dapat menangguh dan mempercepatkannya walau sedetik. Tentulah antara yang tidak dapat menangguh dan mempercepat itu ialah juga benda yang bernama rokok.
SEBAB
Kita mungkin mudah menerima kebenaran bahawa ajal itu tiba dengan sebab-sebab tertentu. Misalnya kerana sakit atau kemalangan. Ada yang tapunduk sebab putus jantung dan berbagai-bagai lagi sebab termasuklah mati kerana sakit cancer yang antara puncanya ialah rokok dan merokok. Maknanya sungguh jelas semua itu. Cuma sekadar menjadi sebab kematian, bukannya berkuasa mematikan.
Contoh-contoh sebaliknya jelas menunjukkan betapa orang sakit tenat sampai lahip bertahun-tahun, betapa orang terlibat kemalangan sampai patah-mematah dan putus-memutus tetapi masih ada yang hidup!
Samalah halnya betapa orang yang tidak pernah merokok seumur hidupnya pun ada yang mati muda. Malah kanak-kanak dalam perut pun ada yang mati sebelum pun ia sempat mengenal benda bernama roko itu!
BETUL
Sebetulnya dan sebaik-baiknya memadai kita disuruh memilih merokok atau kesihatan, tentu kita memilih kesihatan.
Cuma kalau masih juga ‘acong-acong dengan sigup’ bukan maknanya kita memilih maut sebab sebenarnya kita belum lagi membuat keputusan muktamad.
Al-maklum sajalah merokok itu lebih mirip kepada perangai dan kebiasaan. Bukannya mudah membuang atau mengubah apa-apa yang sudah terbiasa dan menjadi perangai. Kenalah sabar, kenalah beransur-ansur lagi perlahan-lahan.
Tidak mustahil esok lusa kita berhenti daripada merokok. Seperti tidak mustahilnya kita berhenti daripada sebarang perangai buruk. Cuma bezanya merokok itu tidak pula mutlak disenaraikan dalam senarai perangai-perangai buruk sebab itulah ramai kita yang merokok adalah orang-orang yang baik perangai belaka!
Dunia yang bencikan perangai merokok pun nampaknya tetap sayangkan rokok. Setengah-setengahnya macam benci-benci sayang, lalu dalam praktisnya rokok dan merokok itu sama-sama dilarang dan disuruh. Apa tidaknya? Industri rokok dan iklan melariskannya sama giat dalam masa yang sama kempen ‘menakut-nakutkan’ merokok pun sama ligat.
BERITA
Berita terakhir tentang rokok ini lagi memeranjatkan. Di Singapura, kajian-kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna-Pengguna (Consumer Association) di pulau itu mensahkan bahawa rokok-rokok yang dijual di sana didapati mengandungi lebih banyak nikotin dan tar daripada yang dipasarkan di Amerika Syarikat. (Sila lihat kadarnya dalam rajah potongan akhbar The Straits Times, Jumaat 10 Oktober, yang menyiarkan berita berkenaan )
Yang memeranjatkan itu ialah laporan-laporan yang syarikat-syarikat tembakau berbilang bangsa dinegeri-negeri yang telah membangun yang menghadapi kemerosotan jualan di dalam negeri masing-masing mendapati negara-negara dunia ketiga adalah pasaran yang ideal untuk ‘tempat pembuangan’ rokok-rokok mereka!
Bukankah berita itu memeranjatkan?
Rupanya ‘dunia ketiga’ kita yang mundur atau sedang membangun ini menjadi tempat pembuangan rokok dan kita yang merokok menerima risiko yang lebih dahsyat daripada orang-orang di negara pembuat rokok yang sudah maju itu. Kadar dahsyatnya itu dikatakan ialah antara 2 – 4 kali lebih dari rokok-rokok yang ada dipasaran mereka.
Kalau dikatakan merokok itu berbahaya dan antara bahayanya boleh menyebabkan banyak kematian, maka kita yang merokok disebelah dunia ‘bawah angin’ ini rupanya lebih banyak akan mati disebabkan oleh rokok-rokok yang dikirimkan kepada kita.
Alangkah kita ini rupa-rupanya menerima ‘bungkusan maut’ dari kilang-kilang industri rokok di negeri-negeri atas angin itu!
Maka tidak hairan pula kalau nanti kita akan diberi kata dua; mati atau hidup, bukan lagi merokok atau kesihatan. Tetapi apa pun nanti pilihan dibuat pastikanlah terus yang kita sedia yakin lagi percaya bahawa rokok itu cuma boleh menjadi sebab kematian bukannya sampai berkuasa memendekkan umur.
(Petikan daripada Pada Hemat Saya…. Badaruddin H.O ( 2003 )