Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Wabillah Ilhamd
Alhamdulliah syukur ke hadrat Allah Subahanawallah Ta'ala kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya jua kita di cucuri dengan nikmat kesihatan dan di pinjamkan-Nya umur untuk sekali lagi merayakan Aidil Fitri iaitu hari kemenangan bagi semua umat Islam setelah sebulan menunaikan kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan Karim.
Di sepanjang bulan Ramadhan melalui ibadat puasa kita bukan sahaja telah dapat melatih mengawal nafsu dengan menahan lapar dan dahaga.
Lebih dari itu kita juga dapat melatih dan mentarbiah diri kita untuk menjadi seorang penyabar, berjimat cermat, beradab baik dan pelbagai lagi sifat baik yang lain.
Kita telah berjaya mentarbiah diri untuk memahami erti pengorbanan demi untuk mendapatkan keampunan dan kerdehaan Allah.
Matlamat akhir 'bulan latihan dan tarbiah' yang di lalui setiap tahun itu ialah untuk mempastikan kita sentiasa menjadi seorang Muslim yang punya jati diri Muslim yang kukuh, yang memiliki perwatakkan dan perangai yang baik, jujur amanah, pengasih, penyayang, beriman dan bertakwa serta diredhai Allah Subhanawallah Ta'ala.
Dari itu kita berharap di hari yang mulia dan dalam keghairahan dan keriangan kita menyambut Aidil Fitri ini janganlah hendaknya kita rosakkan amalan ibadat puasa yang telah kita laksanakan dengan penuh kesabaran dan ketakwaan itu dengan amalan-amalan buruk seperti membazir dalam makan dan minum dan dalam berbelanja selain dari perbuatan-perbuatan munkar yang lain.
Harapan kita semua puasa yang telah kita laksanakan dan segala amalan kita di sepanjang bulan Ramadhan itu akan di terima Allah. Amin
Kita juga berharap matlamat akhir kita untuk menjadi seorang Muslim yang baik dan redhai Allah tercapai.
Kepada seluruh kepimpinan dan anggota Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang beragama Islam dan keluarga-keluarga mereka, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, ma'af zahir dan bathin atas segala kesilapan dan keterlanjuran
Marilah kita rayakan hari kemenangan ini dengan penuh keimanan, kesederhanaan dan dengan niat untuk mengeratkan ukhuwah sesama Muslim dan mengeratkan kembali tali persaudaraan yang terungkai.
Marilah kita ambil kesempatan Aidil Fitri ini untuk kunjung mengunjungi sanak saudara dan sahabat-sahabat untuk bermaaf-maafan dan untuk kita mengeratlkan lagi perpaduan kita.
Di kesempatan ini juga saya dan seluruh warga NDP berdoa agar Allah menggerakkan hati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mempertimbangkan saranan NDP di Kongres Agung Tahunan kali ke-3 pada Jun 2008 lepas berhubung status pejuang-pejuang kemerdekaan dan keluarga-keluarga mereka yang masih hidup dalam buangan di negara jiran.
NDP berharap sempena Aidil Fitri yang mulia ini dan kearah semangat persaudaraan dan kekeluargaan yang masih kental yang menjadi asas kesatuan dan perpaduan bangsa dan negara, segala persegketaan dan permusuhan tidak dibiarkan berterusan mengambil tempat di dalam masyarakat kita.
Kita tidak mahu melihat kerana persengeketaan lama ketika negara menuju kearah kemerdekaan, semangat kesatuan dan perpaduan yang sedia ada nanti akan terhakis.
Justeru NDP melihat jalan penyelesaiannya dan untuk memelihara kepentingan kesatuan dan perpaduan bangsa dan negara ialah melalui perundingan, rekonsiliasi, tolak ansur, kesepakatan dan diplomasi.
Maka sehubungan dengan itu dan sempena Aidil Fitri yang mulia ini, NDP merayu dan berharap supaya sejumlah rakyat Kebawah DYMM yang masih berada di perantauan atas sebab-sebab politik di zaman penjajahan dahulu diberi keizinan untuk kembali ke tanah air dengan aman bagi sama-sama menikmati tuah kemerdekaan dan memberikan kesempatan kepada mereka untuk menunaikan tanggung jawab bernegara, bak kata pepatah biduk lalu kiambang bertaut, bak sireh pulang kegagang.
Mudah-mudahan apa yang abis hamba duli tuan patik sarankan ini tidak keterlaluan dan menjadi kemurkaan kepada Baginda Sultan.
Di kesempatan ini sempena hari mulia ini abis hamba duli tuan patik dan seluruh ahli NDP menjunjung kasih ke hadapan majlis KDYMM Baginda Sultan memohon ampun dan ma'af jika ada tersorok langkah dan tersalah bahasa dalam kami mengajukan cadangan dan pandangan ini serta dalam masa abis hamba duli tuan patik menunaikan tugas dan tanggunjawab menjunjung titah membangun bangsa.
Sekian di ucapakan sekali lagi Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Bathin
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd
Awang Mohammad Yasin bin Abdul Rahman a.k.a Yasin Affandy
Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP)