Info Harian
Cuaca
Waktu Solat
Berita Kerajaan
Info Niagaan
Direktori Niagaan
Brunei SMEs
Info Brunei
Kenali Brunei
Kerajaan Brunei
Daily Diary
Pelita Brunei
Brunei Tourism
Telefon Kerajaan
Brunei Darussalam and the IMF
The EU's relations with Brunei
CIA on Brunei
WATCH NDP VIDEOS
 
 
EMAIL
UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM OLEH TIMBALAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

LAGU PATRIOTIK NDP - DEMI BRUNEI TERCINTA

ALBUM KONGRES AGONG NDP KE 2

ALBUM NDP JUNJUNG ZIARAH KEHADAPAN MAJLIS KDYMM DI KUALA BELAIT

KEYNOTE ADDRESS OF THE PRESIDENT OF NDP

PRESS STATEMENT IN CONJUNCTION WITH THE VISIT OF GERMAN'S MPS TO NDP
 
Artikel pilihan

Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

TUNTUTAN ORGANISASI: AMANAH DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA  NABI

DIRGAHAYU KDYMM PADUKA SERI BAGINDA SULTAN- Berazam kearah BRUNEI tanpa penerima zakat

Mesyuarat Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) Penggal ke-3

Negara Zikir dari prespektif NDP

LIMBARUH HIJAU 08 SEPTEMBER 2008 - HASRAT menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir merupakan antara isu yang di bincangkan di Mesyuarat Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) bagi penggal ke-3 2008.

Mesyuarat tersebut berlangsung pada 06 September 2008 di Holiday Lodge Hotel di Jerudong.

Sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP dalam ucapan perasmiannya telah membentangkan pandangan parti mengenai dengan konsep Negara Zikir seperti yang di hasratkan oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Berikut ialah petikan ucapan perasmian Timbalan Presiden NDP menyentuh mengenai konsep negara zikir dari kaca mata NDP.

Negara Zikir

Jika kita imbas kembali kepada ucapan saya pada permesyuaratan yang lalu, banyak saya galurkan pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan oleh Kebawah DYMM demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam rangka pembaharuan ini, Baginda turut memperkenalkan konsep negara zikir pada tahun 2007 yang lalu.

Ini boleh kita lihat pada petikan titah berikut,

“Beta, Insya Allah akan terus berazam untuk menjadikan Brunei sebuah ‘Negara Zikir’ yang sentiasa mengagongkan Allah,  supaya kita selalu berada dalam perhatian dan pemeliharaanNya, sesuai dengan janjiNya dalam surah Al-Baqarah ayat 152, tafsirnya:  Kamu ingatlah Aku, nescaya Aku mengingati kamu pula.”

Bagi membincangkan konsep negara zikir dengan lebih mendalam, Majlis Ilmu 2008 telah memilih ‘Negara Zikir’ sebagai temanya.

Melalui kertas-kertas kerja yang dibentangkan, banyak sekali pandangan yang dikemukakan bagi mengungkap persoalan ini dari pelbagai sudut.

Kita di NDP sebagai sebuah gerakan massa, turut terpanggil untuk menanggapi konsep ini dan mengajukan pandangan mengikut perspektif yang selaras dengan perjuangan parti.

Pada pandangan parti, konsep ini boleh kita hurai dan fahami melalui dua perspektif.

Perspektif pertama ialah tafsiran istilah zikir sebagai ‘ingatlah’, ‘menyebut’, ‘mengingati’, iaitu bermaksud menghadirkan keagungan Allah ke dalam hati dan menyebutnya dengan lafaz-lafaz yang warid berkaitan dengannya dan lafaz-lafaz yang dituntut supaya diperbanyakkan menyebutnya.

Melalui pendekatan ini, lahirlah lafaz-lafaz zikir seperti, ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha illallah’, ‘Allahu Akbar’ dan ‘La haula wala quwwata illa billah’.

Lafaz-lafaz ini sesungguhnya telah sebati dan terbudaya di dalam masyarakat di negara ini.

Dalam konteks parti amalan zikir seperti ini boleh diimarahkan dalam pertemuan-pertemuan sama ada di peringkat ranting, cabang, daerah atau pusat. Lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan yang mubarak ini amalan seperti ini amatlah diutamakan.

Saya percaya melalui amalan zikrullah dalam pertemuan yang saya sebutkan itu mampu mengeratkan lagi hubungan sesama ahli parti dan berupaya mempertingkatkan kredibiliti kita dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Fundamental Dan Skop

Suka saya menarik perhatian saudara saudari sekalian kepada satu lagi perspektif zikir yang saya kira amat penting dan lebih luas skop dan pengertiannya.

Perspektif yang saya maksudkan itu ialah mentakrifkan al-zikr itu sebagai Al-Quran.

Ini adalah bertepatan sekali kerana Al-Zikr (Peringatan) itu adalah di antara nama-nama lain bagi Al-Quran di samping  Kitabullah (kitab Allah), Al-Furqan (Pembeza Antara Haq dan Batil) dan Al-Qalam (Perkataan).

Takrif mengikut perspektif ini adalah bersandarkan maksud ayat-ayat Al-Quran yang berikut:

Surah Al Nahl, ayat 44, bermaksud: Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Surah Al Qalam, ayat 51, bermaksud: Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: “Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila”

Surah Al Hijr, ayat 9, bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Dalam ayat-ayat yang saya kemukakan ini istilah al-zikr diertikan dengan Al-Quran.

Dengan menerima pengertian al-zikr sebagai Al-Quran, kita sesungguhnya telah memberi satu takrif yang begitu luas kepada konsep negara zikir.

Kita tentunya sedar bahawa Al-Quran itu suatu panduan yang paling lengkap dan paling luas.

Oleh yang demikian pengertian ini adalah bertepatan dan sekaligus menjawab persoalan yang dihadapkan melalui titah Kebawah DYMM yang menyeru,

“….semua pihak mestilah sama-sama memahami karekteristik Negara Zikir itu, apa fundamentalnya dan bagaimana ruang lingkupnya.”?

Adalah jelas bahawa fundamental dan skop negara zikir seperti yang dihasratkan oleh Baginda adalah termaktub di dalam kitab suci Al-Quran.

Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memetik mana-mana panduan yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menterjemahkan perintah tersebut ke dalam semua aspek kehidupan kita sama ada secara individu, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Karakteristik

Paksi utama kepada pentadbiran sesebuah negara ialah asas kefahaman terhadap konsep kedaulatan.

Islam telah meletakkan definisi kedaulatan bahawa kedaulatan de jure kepunyaan Allah SWT dan kedaulatan de facto wujud dan lahir dalam gerak kerja seluruh alam sejagatNya dan Allah SWT memiliki sepenuhnya hak kedaulatan dan kekuasaan ke atas seluruh makhlukNya.

Pendirian di atas diperjelaskan melalui maksud Surah Yusuf, ayat 40:

Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia.

Menolak kedaulatan de jure yang dimiliki oleh Allah s.w.t. bererti kekufuran, kezaliman dan kefasikan sepertimana yang dapat difahami pada maksud ayat-ayat berikut:

Surah Al Maidah, ayat 44, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

Surah Al Maidah, ayat 45, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Surah Al Maidah, ayat 47, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Berdasarkan ayat-ayat di atas, adalah jelas bahawa kedaulatan itu adalah hak Allah yang mutlak.

Ini bermakna apa jua hak dan kekuasaan yang ada pada mana-mana pemerintah adalah tidak mutlak.

Bahkan pemerintah itu sebenarnya sekadar melaksanakan amanah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Justeru itu setiap manusia adalah sama dan setara di sisi Allah.

Tiada seorang pun yang mempunyai apa-apa kelebihan atau imuniti apatah lagi terlepas dari hukum Allah SWT. Kenyataan ini adalah bersandarkan kepada maksud hadis berikut:

"Adakah engkau meminta syafaat dalam perkara hukum hudud Allah? Kemudian Rasulullah SAW bangun berkhutbah: Wahai manusia! Sesungguhnya binasalah orang-orang yang lebih dahulu daripada kamu kerana tindakan mereka, apabila orang bangsawan mencuri mereka biarkan, dan apabila orang lemah (miskin) mencuri mereka jatuhkan hukuman had. Demi Allah sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya.”  (Muttafaq Alaih)

Hadis ini disabdakan oleh Rasulullah SAW apabila Usamah bin Zaid cuba memujuk Baginda supaya tidak mengenakan hukum hudud ke atas seorang perempuan bangsawan yang kaya iaitu Fatimah dari Bani Mahzum yang didapati bersalah kerana mencuri.

Negara Zikir Pada Perspektif NDP

Kedua-dua perspektif dan pengertian mengenai al-zikr itu adalah betul.

Akan tetapi di dalam perspektif yang pertama, skop dan pengertian zikir itu adalah terlalu khusus dan terbatas. Justeru itu dalam konteks bernegara, NDP lebih cenderung kepada perspektif yang kedua dengan memberi takrifan bahawa al-zikr itu ialah Al-Quran.

Oleh yang demikian, bolehlah kita rumuskan bahawa konsep negara zikir itu sebagai negara Al-Quran, yakni, Negara Islam atau Negara Kebajikan, negara yang aman makmur yang mendapat keampunan Allah SWT.

Ertinya sebuah negara Islam yang menterjemahkan seluruh tuntutan Al-Quran dan Al-Sunnah dalam segala aspek kehidupan, meliputi kepimpinan, pemerintahan, pentadbiran, politik, undang-undang, keadilan dan kesaksamaan sistem sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Masyarakat Madani

Konsep masyarakat madani adalah berkait rapat dengan konsep Negara Zikir seperti yang baru saya sebutkan.

Andainya kita bersetuju bahawa Negara Zikir itu sama dengan ertinya dengan Negara Al-Quran, maka sewajarnyalah kita juga harus berusaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat madani. Ini kerana Al-Quran itu sendiri adalah satu sumber ketamadunan yang paling unggul.

Secara ringkas, masyarakat madani adalah satu sistem sosial yang subur yang berasaskan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dengan kestabilan masyarakat, keadilan dan keihsanan.

Di samping itu, ia juga adalah masyarakat yang mendorong daya usaha serta inisiatif individu dari segi pemikiran, seni, ekonomi, teknologi, dan mempunyai sistem sosial yang cekap dan saksama serta pemerintahan mengikut undang-undang.

Pembangunan masyarakat dalam perspektif Islam adalah tugas bersama yang menjadi kewajiban setiap muslim.

Islam adalah landasan bagi melahirkan masyarakat yang beradab, berbaiah pada pimpinan dan berpegang pada syariah bersandarkan atas prinsip-prinsip ta’awun (tolong-menolong), takaful (saling menanggung), dan tadhamun (memiliki solidariti).

Pembetukannya menuntut kepada pemerintahan yang patuh pada aturan dan undang-undang dengan sistem yang telus.

Istilah madani adalah terjemahan dari kosa kata bahasa Arab mujtama’ madani.

Frasa tersebut mempunyai dua pengertian. Pertama, diertikan sebagai masyarakat kota, kerana istilah madani itu berasal dari kata madinah yang bererti kota.

Istilah kota itu memberi gambaran kepada kita satu

kehidupan yang aktif, dinamik, dan penuh dengan kreativiti.

Kedua, diertikan sebagai masyarakat bertamadun, kerana istilah madani juga merupakan terbitan dari perkataan tamaddun yang bermaksud peradaban.  Masyarakat madani adalah masyarakat yang menjunjung tinggi nilai-nilai peradaban.

Sebagai contoh, masyarakat Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW merupakan sebuah masyarakat yang sarat dengan nilai dan moral, maju, beradab dan sangat menghargai nilai-nilai kemanusiaan.

Masyarakat Madinah secara formal mengatur hubungan sosial antara komponen masyarakat.

Dalam hubungan ini, al-Farabi telah mengemukakan empat pra syarat untuk umat manusia mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat iaitu, kebaikan akal nazari, kebaikan akal amali, kebaikan akhlak dan moral serta kesenian amali.

Kebaikan akal nazari dan akal amali merujuk kepada akal yang sihat, waras, tajam, kreatif, berpandangan jauh dan sifat terpuji lain yang patut ada pada akal manusia yang lazimnya dianggap sempurna.

Hasil yang terzahir daripada kebaikan dan kesempurnaan akal nazari dan akal amali ini ialah budaya ilmu yang sihat dan maju dengan adanya pelbagai ilmu pengetahuan.

Tujuan dasar syariat Islam ialah untuk memelihara akal manusia supaya sihat dan waras.

Kesihatan dan kewarasan akal pula menjadi syarat utama untuk menghayati ajaran agama.

Ajaran agama menjamin kewarasan akal dan kewarasan akal menjamin pemeliharaan agama.

Demikianlah hubungan dinamik antara agama dengan akal dalam masyarakat madani.

Jelasnya, kebaikan akal nazari dan akal amali, iaitu kebaikan intelektual dan rasional begitu tinggi nilainya dalam masyarakat madani.

Pada masa yang sama, kebaikan akliah dan rasional ini juga perlu dibezakan dengan kebaikan akhlak dan moral kerana dua jenis kebaikan ini berbeza bukan saja dari segi sifat tetapi juga dari segi cara dan kaedah mendapatkannya.

Sebagaimana pencapaian budaya saintifik dan ilmu sains dijadikan kayu ukur ketamadunan, demikian juga dengan tahap pencapaian hikmah politik dan hikmah ekonomi yang merupakan salah satu kebaikan akal amali.

Pemimpin dan anggota masyarakat madani bijak berpolitik dan berekonomi tetapi sentiasa berpijak atas landasan kebaikan akhlak, etika dan moral.

Kebaikan akhlak dan moral pula merujuk kepada sifat terpuji yang membentuk budi pekerti seseorang manusia seperti sifat beramanah dan bertanggungjawab, pemurah dan dermawan, penyayang, pengampun, adil dan saksama, warak, berani dan keperwiraan, tawaduk, sabar, jimat cermat dan banyak lagi sifat kesederhanaan seperti yang digalakkan oleh agama Islam.

Sebaliknya anggota masyarakat madani sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada sifat tercela dan keji, iaitu sifat yang bertentangan dengan sifat terpuji yang dinyatakan.

Apabila sesebuah masyarakat dianggotai oleh manusia yang memiliki sifat terpuji, sudah pasti masyarakat itu menjadi mewah dengan amalan, perbuatan dan tingkah laku yang baik.

Masyarakat itu layak mendapat gelaran masyarakat berakhlak dan bermoral. Dan itulah masyarakat yang boleh dikatakan berjaya mencapai pembangunan kemanusiaan (human development).

Sementara itu, kesenian amali merujuk kepada kemahiran dalam segala bentuk kraf, pertukangan, pertanian dan bidang profesion yang melibatkan kemahiran kesenian.

Oleh yang demikian, bolehlah kita simpulkan bahawa kesenian amali ini meliputi seluruh bidang teknologi dalam erti kata yang luas dan juga sifat kemahiran dan daya cipta yang perlu ada pada manusia yang hendak melahirkan teknologi.

Ini bermakna pencapaian teknologi turut dijadikan ciri masyarakat madani.

Berdasarkan perkara-perkara yang saya sebutkan, jelaslah bahawa agama semestinya menjadi teras pembentukan masyarakat madani. Ini kerana ilmu yang paling diperlukan dalam pembentukan masyarakat madani ialah ilmu madani.

Sumber utama ilmu madani seperti yang dikemukakan oleh al-Farabi adalah ajaran agama.

Manusia madani yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat madani tidak dapat dilahirkan tanpa bimbingan dan sumbangan agama.

Ciri-ciri keperibadian manusia madani, kepercayaan dan pemikirannya, akhlak dan budi pekertinya hanya dapat dibentuk dengan jayanya dalam acuan ajaran agama.

Dalam konteks serantau  dan termasuklah negara kita ini, lima perkara penting telah dikemukakan sebagai keperluan bagi mewujud dan menegakkan masyarakat madani umat Islam.

Kelima-lima perkara itu ialah satu order politik yang stabil dan demokratik; keadilan sosial; kesejahteraan rakyat; menegakkan prinsip perlembagaan; dan merangsang kehidupan akliah.

Masyarakat madani yang saya sebutkan ini adalah berbeza dengan civil society yang difahami umum.

Sebahagian kita hari ini menggunakan istilah madani sebagai terjemahan istilah civil society dalam bahasa Inggeris.

Pada asasnya, terjemahan ini boleh diterima. Cuma pada pendapat saya konsep madani yang dikemukakan oleh pemikir Islam klasik adalah lebih luas daripada konsep civil dan civility yang difahami di dunia Barat moden.

Dalam hubungan ini kita perlu bermuhasabah apakah masyarakat kita sesungguhnya mempunyai ciri dan syarat-syarat untuk melahirkan manusia madani dan seterusnya membina masyarakat madani?

Kita percaya andainya manusia madani itu dapat dilahirkan, kita bukan sahaja mampu membentuk masyarakat madani tetapi dalam masa yang sama berupaya merealisasikan konsep negara zikir.

Integriti

Akhir sekali ingin saya sentuh satu lagi perkara yang begitu penting selaras dengan konsep-konsep yang telah saya sebutkan sebelum ini.

Perkara itu ialah integriti. Integriti boleh kita ertikan sebagai keutuhan moral dan dalam konteks negara kita sebagia sebuah negara Islam, maka keutuhan moral itu hendaklah berteraskan kepada nilai-nilai Islam yang sejagat.

Apabila kita berbicara tentang integriti, kita sesungguhnya berbicara tentang masyarakat yang amanah, jujur, benar, bijaksana, ikhlas, cekap dan berkesan.

Sifat-sifat tersebut adalah merupakan pemangkin ke arah daya saing negara yang lestari dan mapan. Justeru itu integriti hendaklah dilihat sebagai tonggak utama dan menjadi faktor penentu utama kejayaan pembangunan negara.

Pembangunan negara bertaraf dunia mengikut Wawasan 2035, dan disepadukan dengan pembangunan modal insan berintegriti, sewajarnya menjadi agenda utama negara.

Penekanan kepada elemen integriti dan pembudayaan secara menyeluruh dan berterusan di kalangan pelbagai sektor masyarakat negara ini diyakini menjadi penjana utama pencapaian Wawasan negara.

Oleh itu agenda integriti nasional memerlukan perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan berkesan serta penglibatan semua pihak sama ada awam atau swasta.

Melalui penglibatan dan kesungguhan ini, kita percaya bahawa imej dan kewibawaan sistem penyampaian kita akan mendapat rating yang tinggi bukan sahaja di kalangan rakyat malah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Keyakinan yang tinggi ini akan menggalakkan pelaburan dalam dan luar negara dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan negara.

Pemerkasaan agenda integriti nasional di dalam sektor awam seharusnya diberi penekanan yang lebih utama. Ini kerana tahap prestasi yang rendah dalam RKN-RKN yang lalu adalah anatra berpunca dari integriti yang rendah.

Sifat jujur, ikhlas, amanah dan berkesan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab seakan-akan tidak diendahkan. Kalau tidak masakan banyak sekali projek-projek yang dirancang gagal dilaksanakan dan prestasi perbelanjaan begitu rendah.

Ini menuntut kepada penerapan nilai-nilai integriti yang menyeluruh dan berterusan di dalam sektor awam.

Selain daripada pendidikan dan pembudayaan elemen integriti, soal penguatkuasaan dan pemantauan juga harus dititik beratkan.

Dengan semangat yang sama, saya juga menyeru supaya kita dan ahli-ahli parti seluruhnya bersama-sama membudayakan integiriti ke dalam gerak kerja parti.

Kita juga perlu kepada ahli-ahli dan pimpinan yang amanah, jujur, benar, bijaksana, ikhlas, cekap dan berkesan. Dengan ini barulah kita berupaya menjadi sebuah organsasi yang berintegriti.

 
Presiden NDP


Hj. Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

Timbalan Presiden

Sdra. Mahmud Morshidi Othman

Setiausaha Agung

Hj. Aminorashid Hj. Ghazali






 
 
 
 
 
 
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.