Isu ketuanan melayu secara tiba-tiba memuncak di negara jiran, Malaysia selepas berlangsungnya pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu.
Keputusan pilihan raya berkenaan yang memperlihatkan kemampuan parti pembangkang untuk meningkatkan kemenangan di Parlimen serta menawan beberapa Dewan Undangan Negeri telah mengundang kepada wujudnya suatu kuasa tawar menawar yang semakin meningkat di kalangan bukan Melayu, khususnya mereka yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat.
Bertolak dari situlah, kita melihat bermulanya isu ketuanan melayu diperdebatkan bilamana tuntutan lebih ramai anggota dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau ringkasnya EXCO di negeri-negeri di mana Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan disuarakan oleh kalangan bukan melayu.
Pada pengamatan kita, sebab musabab kepada tercetusnya kebangkitan suara bukan melayu di Malaysia, jika diperhalusi, mungkin sekali berpunca dari adanya sekurang-kurangnya tiga perkembangan berikut .
Pertama, dengan meningkatnya kemenangan di pihak pembangkang, kerajaan Barisan Nasional di lihat sebagai semakin lemah. Dengan itu peluang bagi bukan melayu untuk menuntut hak yang lebih dari semua sudut kini semakin terbuka untuk dimanfaatkan.
Kedua, wujud perlumbaan di kalangan parti-parti yang bertunjangkan kepentingan melayu baik di dalam mahupun di luar kerajaan seperti UMNO dan Parti Keadilan Rakyat untuk menawarkan “habuan” yang lebih kepada bukan melayu dengan tujuan untuk meraih sokongan mereka terhadap parti masing-masing.
Kewujudan tawaran seperti ini khususnya dalam hal-hal berkaitan tanah, ekonomi, peluang pendidikan, hatta kepada isu-isu berkaitan agama dan perundangan Islam telah membuatkan bukan melayu semakin berani bangun mempersoalkan hak masing-masing yang selama ini mereka rasakan cuba dinafikan oleh pemerintah.
Ketiga, kemampuan pihak pembangkang terutama parti DAP dalam mengumpulkan sokongan berasaskan isu perkauman telah mendorongkan beberapa parti komponen bukan melayu dalam Barisan Nasional juga merasa terpanggil untuk menganut kaedah pendekatan yang sama dengan turut mempersoalkan hak serta penyertaan yang lebih dalam segala aspek bagi kumpulan bukan melayu.
Kewujudan suasana-suasana di atas, serta ditambah dengan kedudukan UMNO yang menjadi teras kepada perpaduan dan kekuatan melayu yang kian bermasalah telah membuatkan parti-parti bukan melayu seolah-olah mempunyai kekuatan tersendiri untuk memberi kata dua kepada pucuk pimpinan negara samada bersedia memperuntukkan hak yang lebih kepada kumpulan mereka atau bersedia untuk ditinggalkan.
Langkah sebuah parti komponen Barisan Nasional di Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan tindakan keluar dari gagasan berkenaan baru-baru jelas mempamirkan situasi yang dimaksudkan di atas. Parti ini sebelum ini juga pernah cuba mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana dianggap gagal membawa pembangunan kepada negeri Sabah.
Dalam masa yang sama, tindakan Parti Gerakan, sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional dalam memberi kata dua supaya gagasan berkenaan menilai semula konsep pemuafakatan yang dibina selama ini telah membuatkan kalangan umum, khususnya orang melayu, melihat seolah-olah pemimpin-pemimpin melayu dalam kerajaan semakin lemah dan terbuka kepada tekanan. Kata dua parti Gerakan itu dibuat ekoran adanya kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang ditafsirkan mereka sebagai berbau perkauman.
Kewujudan fenomena-fenomena di atas telah mengundang kepada adanya tindakan beberapa pemimpin melayu tampil membuat penegasan menyentuh isu ketuanan melayu dengan mengingatkan bukan melayu terhadap hakikat sebenar diri mereka sebagai kumpulan pendatang. Mereka digesa supaya menyedari akan kedudukan mereka itu dan tidak sekali-kali harus menyamakan seratus peratus hak dan kedudukan mereka dengan orang melayu dan bumiputera yang merupakan penduduk jati di Malaysia.
Kelahiran semakin banyak blog-blog yang memperkatakan mengenai isu ketuanan melayu, di satu sudut lain, tambah mengusutkan keadaan. Dalam satu blog yang pernah diharamkan baru-baru ini, satu penulisan menyentuh soal agama telah disiarkan begitu rupa sehingga seolah-olah mendedahkan perkara berkaitan agama kini boleh diperdebatkan dengan menggunakan logik pemikiran, tanpa perlu mengambil kira soal hukum hakam serta syariat agama.
Isu-isu sensitif seperti murtad telah diperkatakan secara terbuka dengan menggunakan hujah dan alasan hak sehingga mendorongkan adanya tekanan supaya kerajaan membenarkan hal-hal seperti itu dibicarakan di mahkamah sivil, bukannya di mahkamah syariah.
Semua ini, tidak dapat tidak, telah mengundang kepada wujudnya suatu suasana kegelisahan di kalangan orang melayu yang melihat kedudukan mereka semakin dipersoal dan cuba diperlekehkan.
Namun, agak malang, ramai di kalangan orang melayu sendiri tidak menyedari akan adanya satu faktor asas yang sebenar menyumbang kepada lahirnya suasana yang tidak diundang itu.
Faktor asas itu ialah, orang melayu secara purata tidak menyedari bahawa angkara perpecahan di kalangan mereka itulah menyebabkan suara-suara bukan melayu tersebut boleh menembusi tembok yang sedia dibina oleh mereka sejak merdeka 50 tahun lalu.
Sesetengah orang melayu seolah-olah tidak menyedari, gara-gara becakaran sesama sendiri, hanya kerana adanya perbezaan politik, boleh meroboh kubu pertahanan yang di bina oleh genarasi sebelumnya sehingga mendedahkan diri mereka dan generasi akan datang kepada ancaman yang tidak dijangkakan. Apa yang nyata pada masa ini, umat melayu di negara jiran kita berpecah kepada tiga kelompok besar iaitu di bawah UMNO, Parti Keadilan Rakyat, dan PAS.
Dalam konteks ini, wujud kecenderungan beberapa pihak untuk mengadunkan pepatah melayu ‘menang sorak kampung tergadai’ sebagai kian menepati ragam politik orang melayu di negara jiran kita.
Kita sesungguhnya merasa bimbang dengan apa yang berlaku di negara jiran kita itu, bak kata pepatah cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakit. Kita berdoa agar semua pihak akan segera sedar akan perkara ini serta segera mengambil langkah bagi menanganinya dengan baik serta berhemah, merapatkan barisan atas nama ukhuwah islamiyah .
Dan pada diri kita sendiri, apa yang berlaku di negara jiran kita itu sewajarnya kita jadikan iktibar serta pengajaran yang cukup berguna. Pegajarannya ialah bahawa menerusi perpaduan itulah akan terbinanya kekuatan. Dan dari kekuatan itulah kita akan mampu membina sebuah tembok kukuh yang mampu menangkis apa jua ancaman yang mendatang. Kekuatan itu Insyaallah akan dapat bertahan buat selamanya selagi kita berpegang teguh dengan Syariat Islam, pemerintah dan rakyat pula sentiasa saling kasih mengasihi dibawah prinsisp “al adli wal ihsan”. Wallahu ‘alam – (mmo).