Oleh Sim Y. H. dan Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Remember, remember.....The 8th of December - A Journey to 1962 adalah buku kedua hasil tulisan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Buku berbentuk tulisan sejarah itu dilancarkan hari ini oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah di Balai Penghadapan Bukit Kayangan.
"Kita adalah sejarah kita dan, seperti sesiapa saja yang menoleh ke belakang mengenang sejarahnya, kita bergembira bersama di saat-saat manis dan berkongsi-sama detik-detik penuh kesedihan," tulis Duli Pengiran Perdana Wazir dalam buku itu.
|
|
Buku yang mengimbau pembaca ke tarikh berdarah 8 Disember 1962 iaitu ketika berlakunya pemberontakan Brunei adalah berdasarkan memori segar mereka yang melihat darah mengalir, mendengar tangisan dan teriakan mereka yang menjadi yatim dan kehilangan suami dan mengalami sendiri trauma daripada detik sejarah hitam itu.
Buku berkenaan bukan saja mendedahkan gambaran di Brunei pada tahun 1962 tetapi juga tahun yang dilambangkan sebagai Perang Dingin serta menunjukkan kenapa ia dikenali sebagai "Tahun Harimau" dan bagaimana cakarannya menusuk jauh ke dalam kehidupan insan biasa di setiap benua.
Olahan buku itu indah sekali dengan paparan babak demi babak berjumlah tujuh semuanya, diadun dengan pelbagai teknik seperti sebuah tayangan wayang, televisual, gaya sastera dan digital di dalam sebuah penceritaan.
Para pembaca juga akan mendapati buku itu memaparkan seperti sebuah penceritaan lisan, berbentuk ulasan, menggunakan sajak, umpama diari kehidupan tulisan tangan dan ada kalanya seperti sekeping komik.
Dalam kesimpulannya, Pengiran Perdana Wazir menulis menyatakan bahawa walaupun sejarah selalunya diceritakan oleh pemenang tetapi cerita dalam buku itu tiada pemenang sebenar tetapi hanya cuba menggambarkan cerita sebenar melalui pengumpulan memori mereka yang berada di sana ketika itu.
Buku itu adalah hasil kedua Pengiran Perdana Wazir selepas penerbitan buku pertama pada tahun 2000 yang berjudul Time and The River - A Memoir (Brunei Darussalam 1947-2000).
Para peminat sejarah atau siapa juga yang berminat bolehlah mendapatkan buku berkenaan dengan membuat tempahan terus kepada penerbit, Brunei Press Sdn Bhd atau mendapatkannya di kedai buku di seluruh negara. (DI PETIK DARI MEDIA PERMATA) |