Oleh Sim Y. H. dan Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 15 Nov 2007 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menitahkan supaya pelaksanaan sesuatu projek kerajaan dibuat melalui perancangan kemas dan teliti.
Baginda Sultan bertitah projek infrastruktur kesihatan yang sedang dilaksanakan melalui Rancangan Kemajuan 5 Tahun Negara bagi meningkatkan kemudahan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) adalah satu contoh projek yang mencabar kebijaksanaan semua.
"Tujuan projek adalah untuk menambah kemudahan di Hospital RIPAS tetapi apabila sudah siap kelak, mungkin lebih banyak lagi kekurangan didapati di sana," titah baginda.
Kekurangan itu mungkin disebabkan perancangan kurang kemas dan wawasan lemah, titah Baginda Sultan ketika berkenan melancarkan Majlis Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan Kesihatan dan Pelancaran Konvensyen Kesihatan 2007 di Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini.
Mengenai pengisian hospital, baginda bertitah perancang dasar mesti memikirkan untuk mendapatkan tenaga pekerja kesihatan yang mencukupi dan dalam masa yang sama turut memikirkan untuk mendapatkan khidmat tenaga mahir atau pakar-pakar.
Baginda turut menekankan supaya hospital mempunyai peralatan mustahak dan ubat-ubatan yang mencukupi melalui perancangan kemas dan teliti seperti menilai keperluan, mengawasi dan membuat peraturan memastikan pembelian, pengeluaran dan pemberian ubat kepada pesakit.
"Pastikan juga stor ubat diurus dan dikendalikan oleh pekerja-pekerja yang benar-benar amanah," tegas Baginda Sultan.
Yang turut sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik serta anggota-anggota kerabat diraja lainnya.
Dalam titah itu juga, Baginda Sultan bertitah melahirkan rasa gembira dengan pencapaian perkhidmatan kesihatan negara ini misalnya kejayaan menghapuskan penyakit malaria sejak Ogos 1987 dan polio pada Oktober 2004 adalah rekod yang membanggakan.
Baginda percaya pencapaian yang membanggakan itu berkaitan dengan kemajuan dan perkembangan di luar perkhidmatan kesihatan termasuk kemajuan sektor perumahan, pembekalan air bersih, pengawalan alam sekitar serta peningkatan kualiti kemudahan-kemudahan asas.
Bagaimanapun Baginda Sultan bertitah mengingatkan bahawa perkhidmatan kesihatan negara ini juga tidak lari daripada berhadapan dengan cabaran yang sukar dielakkan seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan dan kemunculan penyakit ganjil serta kronik yang tidak berjangkit seperti kanser, buah pinggang, penyakit jantung koronari dan kencing manis.
Cabaran-cabaran seperti \itu turut membawa kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan yang disebabkan oleh kenaikan harga ubat, peralatan perubatan terbaru dan kaedah rawatan moden.
"Demikian juga cabaran penyakit-penyakit ganjil seperti SARS dan selesema burung, atau kemunculan semula penyakit-penyakit berjangkit, seperti TB, malaria, polio dan lain-lain turut memerlukan kewaspadaan kita," titah baginda.
Mengenai penyakit kronik tidak berjangkit, Baginda Sultan bertitah penyakit-penyakit itu ditentukan oleh gaya hidup yang tidak seimbang seperti kurang bersenam, peningkatan kegemukan serta tabiat merokok.
Perkara itu menjadikan tanggungjawab perkhidmatan kesihatan bertambah berat kerana selain memberi rawatan, ia juga harus membimbing dan menasihati masyarakat memelihara kesihatan dengan amalan-amalan gaya hidup sihat dari segi pemakanan, pergerakan, riadah serta mewujudkan persekitaran yang bersih.
Baginda Sultan juga bertitah mencadangkan beberapa program Kementerian Kesihatan seperti Program Pemeriksaan Menyeluruh, Promosi Kesihatan Warga Perkhidmatan Awam dan Program Mukim Sihat diperluaskan lagi supaya semua lapisan rakyat dapat menikmatinya.
Baginda Sultan turut mengalu-alukan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan pihak swasta dalam menangani masalah kesihatan seperti yang diusahakan dengan Shell International yang membiayai sepenuhnya pembinaan bangunan Pusat Promosi Kesihatan. (DIPETIK DARI MEDIA PERMATA)