Puak Sang Jati diseru berbakti kepada negara

 
 
LIMBARUH HIJAU 31 MAC, 2007: PUAK DUSUN di Negara Brunei Darussalam yang juga dikenali dengan gelaran Sang Jati diseru agar terus berusaha mengangkat mertabat Sang Jati Dusun dan terus berbakti kepada raja, bangsa dan negara.

"Pada situasi masa kini, kehidupan Sang Jati (dusun) sudah jauh berubah jika dibandingkan sebelum merdeka".

"Para bijak pandai Sang Jati yang berkelulusan dari itu boleh melakukan yang terbaik bagi menyerapkan nilai-nilai kebangsaan (nasionalisme), menyingkirkan sentimen perkauman dan mengamalkan sikap keterbukaan yang murni, memelihara amalan persaudaraan, kesefahaman (integriti) antara kaum", ujar Awang Bajau Bundan, ahli Lembaga Penasihat Parti Pembangunan Bangsa (NDP).

"Para bijak pandai dari kalangan puak Sang Jati (SJ) juga di harapkan akan dapat mengangkat martabat SJ ke persada politik tanah air, bergandingan dengan masyarakat peribumi lain di negara ini melalui Parti Pembangunan Bangsa yang telah membuka pintunya kepada semua kaum dan mempunyai dasar menghormati persamaan hak bagi kepelbagaian etnik dan anutan", seru Awang Bajau lagi semasa membenatngkan kertas kerja beliau di sesi forum 'Kearah Perpaduan Nasional - Harapan dan Cabaran' anjuran NDP baru-baru ini.

Awang Bajau Bundan, ahli Lemaga Penasihat NDP membentangkan kertas kerja mengenai Puak Sang Jati Dusun


Menurut Awang Bajau puak Sang Jati Dusun sebelum merdeka dan semasa negara ditadbir oleh Bristish merupakan antara puak etnik yang termundur dari semua aspek.

Beliau juga menekankan penglibatan puak Sang Jati dalam politik negara ketika itu juga tidak wujud memandangakn rata-rata puak Sang Jati semasa itu tidak mendapat pendidikan formal dan tidak terdedah kepada kemarakkan semangat kebangsaan.

"Selepas perang dunia ke-2 pada tahun 1945, Inggeris kembali berkuasa. Pada masa itu majoriti masyarakat SJ tidak terlibat dalam perkembangan politik tanah air. Antara sebabnya ialah kurangnya pengetahuan dan pendedahan mengenai semangat kebangsaan, akibat dasar dan suasana pembelajaran yang sengaja diabaikan oleh penjajah".

"SJ begitu terkebelakang jika dibandingkan dengan masyarakat lain terutamanya masyarakat dari negeri Sabah, Sarawak, Semenanjung Tanah Melayu yang diperintah oleh Inggeris (lebih awal)", tegas Awang Bajau.

"Awda maklum, sekolah SOAS di BSB dan sekolah Inggeris Kerajaan (AAC) sekarang di Pekan Seria hanya didirikan pada 1950-an dan hanya sekerat sahaja anak-anak SJ dihantar belajar ke sana".

"Sebelumnya anak-anak tempatan hanya mendapat pendidikan di sekolah aliran Melayu dengan guru-guru yang kurang berpengalaman. Perkara inilah punca utama kemunduran masyarakat SJ", tambah Awang Bajau.


Sementara itu, tambahnya, kesan daripada slogan ASIARAYA yang dikumandangkan oleh tentera Jepun, muncullah pejuang-pejuang menuntut kemerdekaan di kalangan rakyat seperti Indonesia, India dan Malaya.

"Semangat ini tidak pernah disebar luas ke pengetahuan masyarakat SJ. Di mana Indonesia diikhtiarkan merdeka oleh Bung Karno dari penjajah Belanda pada tahun 1945, India pada 1947 dan Tanah Melayu (Malaya) pada 1957 dari penjajah Inggeris. Begitulah secara ringkasnya rentetan sejarah, sehinggalah KDYMM Baginda Sultan memasyhurkan kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984".


Menurut beliau sepanjang umurnya yang sudah mencapai 62 tahun beliau sudah puas mengalami pahit maung dan asam garam kehidupan.

"Sewaktu zaman penjajah, saya hidup dalam keadaan miskin, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Seluar baju basah dan kering di badan".

"Apabila saya bekerja pada Mac 1959 di bawah pentadbiran British Resident, saya berkesempatan melihat surat-surat rasmi yang digunakan oleh jabatan-jabatan kerajaan menggunakan slogan GOVERNMENT SERVANT".

"Dalam keadaan hidup yang papa, di mana keperluan harian yang mendesak, rakyat begitu bosan dengan slogan yang hanya enak didengar tetapi hidup masih ditakuk lama. Oleh itu, rakyat menaruh harapan tinggi kepada pemimpin-pemimpin pada masa itu yang berusaha membawa perubahan dan harapan lebih baik untuk masa depan rakyat", jelas Awang Bajau.

Perkara ini, tegasnya lagi, terbukti apabila PRB dapat memenangi hati rakyat dengan kejayaan merekrut lebih 20 ribu ahlinya sedangkan penduduk Brunei pada masa itu belum mencapai angka 100 ribu.

Beliau seterusnya menceritakan di awal tahun 1962, di mana pilihan raya umum demokrasi diadakan, PRB telah mencapai kemenangan terbesar bersejarah dengan membolot hampir semua kerusi yang dipertandingkan kecuali satu kerusi di daerah Temburong dimenangi calon bebas yang kemudiannya menyertai PRB.

"Ini menjadikan PRB antara parti politik yang terkenal di seluruh dunia kerana mendapat kemenangan 100 peratus dalam mana-mana jua pilihan raya bebas demokrasi dilaksanakan".

"Apabila meletusnya kekacauan pada 8 Disember 1962 akibat daripada hasutan dan percaturan politik oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu, semangat kebangsaan (patriotik) langsung di benam dan di tidur nyenyak selama lebih 40 tahun", keluh Awang Bajau.

Walau bagai manapun dengan tertubuhnya NDP pada akir 2005 barulah muncul dan hidup semula situasi politik di negara ini.

"Mengikut pengamatan saya, pembaharuan, pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh generasi kini adalah bermula dari kesinambungan jatuh bangun senario politik masa lalu".

"Generasi baru tidak tahu apa yang mereka kecapi sekarang ada hubung kaitnya dari cetusan idea perubahan, pengorbanan perasaan, keringat dan air mata mereka yang telah pergi mendahului kita", ujar Awang Bajau.

Beliau menekankan tujuannya merista sejarah lama bukanlah bertujuan supaya kita mengulangi apa yang berlaku tetapi biarlah peristiwa itu dinilai oleh ahli politik dan sejarah supaya ia diingati dan dikenang oleh generasi akan datang sebagai ristaan sejarah yang mana tidak pernah mereka alami.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.