Projek basmi kemiskinan jangka panjang perlu

 
 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Melalui Rancangan Kemajuan Negara, kerajaan terus melaksanakan pelbagai program dan projek kemajuan dan pembangunan untuk kebaikan dan kesejahteraan masyarakat.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Pehin Dato Paduka Haji Dani Haji Ibrahim pada majlis perasmian Seminar dalam Pentadbiran Tempatan di Brunei anjuran bersama The Japan Council of Local Authoroties for International Relations (CLAIR) dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri hari ini.

Dalam ucapan perasmian Pehin Dato Paduka Haji Dani seterusnya berkata itu termasuk bagi masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar dan di kawasan pedalaman.

"Pelbagai kemudahan diberikan seperti pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan, bekalan elektrik, hubungan telekomunikasi dan kemudahan awam yang lain dalam memastikan rakyat dan penduduk di negara ini dapat terus menikmati taraf kehidupan yang tinggi dan berkualiti," tegasnya.

Beliau menambah, tidak dinafikan masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik, golongan miskin dan daif atau yang tidak mempunyai sumber pendapatan memerlukan bantuan kebajikan supaya dapat meneruskan kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Dalam menangani masalah kemiskinan perlu ada projek pembasmian kemiskinan yang lebih berkesan yang mana harus menumpukan kepada rancangan jangka panjang yang dapat memberikan bantuan berdaya tahan.

"Program pendidikan dan kesedaran dapat dilaksanakan dalam memberikan dorongan bagi penglibatan semua golongan masyarakat sama ada orang persendirian, pihak swasta atau badan bukan kerajaan untuk lebih bertanggungjawab dan terlibat aktif dalam membantu masyarakat untuk produktif," tegasnya.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Pehin Dato Paduka Haji Dani berharap pihak tertentu dapat menangani dan menyalurkan bantuan kepada golongan orang susah dan dapat memikirkan projek jangka panjang yang lebih berorientasikan kepada keupayaan diri sendiri bagi penerima bantuan yang berkenaan.

Pehin Dato Paduka Haji Dani seterusnya mengatakan dengan adanya kaji selidik yang komprehensif dengan mengambil pengalaman dan maklumat, program dan projek yang berjaya serta berkesan di luar negara, dapat diguna pakai dalam menangani serta membanteras masalah kemiskinan di negara ini.

Pada seminar yang berlangsung di Empire Hotel ang Country Club itu, peserta berpeluang mendengar ceramah daripada wakil kedua-dua negara antara tajuk seminar itu ialah pengenalan mengenai Jepun dan penubuhan terhadap rangkaian keselamatan kebajikan serta meningkatkan keberkesanan perkhidmatan masyarakat yang mana kedua-dua tajuk itu disampaikan oleh wakil dari negara Jepun.

Sementara Brunei diwakili oleh Awang Haji Mohammad Haji Abdul Rahman, Hajah Hapsah Haji Menudin dan Pengarah Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Datin Hajah Adina Othman.

ARTIKEL BERKAITAN

 

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.