Program 'Revolusi Hijau' menampakkan hasil

Awang Haji Matzin, Ketua Biro Pertanian dan Industri Asas Tani NDP
 
 

Anak didik NDP berjaya menghasilkan mesin pembajak sawah

Program ‘Revolusi Hijau’ yang diungkayahkan oleh Parti Pembangunan Bangsa (NDP) melalui Biro Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai inisiatif untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai pentingnya bertindak pantas memajukan bidang pertanian sedang berjalan dengan baiknya dan sudah mula menampakkan hasil yang membanggakan.

“Salah satu inisiatif yang telah kita ambil ialah memperkenalkan benih padi yang baru yang boleh menghasilkan padi dua atau tiga kali setahun. Benih padi yang baru yang kita namakan benih padi ‘Marhani’ telahpun kita agih-agihkan kepada 18 pesawah-pesawah di Temburong”.

“Sejauh ini benih-benih padi ‘Marhani’ yang di tanam disalah sebuah sawah ahli NDP sudah mengasilkan buat kali keduanya seperti yang dijangkakan”, Awang Haji Matzin bin Haji Saleh, Ketua Biro Pertanian dan Industri Asas Tani NDP menjelaskan.


Dalam perkembangan lain, tambah Awang Haji Matzin, Biro Pertanian melalui program yang sama juga telah berjaya mempermudahkan pembuatan 2 jenis mesin pebajak sawah.

“Empat buah mesin pembajak sawah - 2 jenis ‘turtle’ dan 2 lagi jenis ‘protovat’- telah berjaya dihasilkan oleh belia-belia tempatan melalui satu program alih pindah teknologi dengan pakar dari Filipina”, kata Haji Matzin lagi.

Menurut beliau projek tersebut telah dimulakan pada awal bulan Jun lalu dan berjaya disiapkan pada awal bulan Julai.



Gambar fail. Timbalan Ketua Biro Himpunan Pemuda (satu dari kanan) dan rombongan semasa melawat bengkel untuk melihat pembuatan mesin pembajak oleh ahli-ali Hmpunan pemuda


“Kita sangat berbangga dengan kebolehan anak-anak tempatan kita yang terlibat dalam projek tersebut. Sebelum ini mereka semuanya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang menggangur walaupun ada diantara mereka merupakan penuntut lepasan sekolah vokasional”.

“Kita memang dari awal berasa yakin anak-anak tempatan kita berkebolehan jika diberi kepercayaan dan kesempatan serta sokongan moral yang tinggi”, tegas Haji Matzin.

“Alhamdullilah dengan adanya program ‘Revolusi Hijau’ ini terutama sekali melalui program menggalakkan penggunaan jentera dalam penyediaan tanah ladang tanaman seperti tanah untuk sawah padi, kita juga berhasil menyediakan pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang berminat dalam bidang pembuatan”, jelas Awang Haji Matzin dengan bangganya.

“Dengan erti kata lain dalam usaha menjayakan program ‘Revolusi Hijau’ kita sudah dapat mencapai dua objektif penting – pertama memudahkan perkembangan perusahaan tanaman padi melalui penjenteraan dalam penyediaan tanah dan kedua dalam usaha memperkenalkan sistem penjenteraan kita juga dapat membukakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan melalui pembuatan mesin pembajak tersebut”, tambahnya lagi.

Menurut Awang Haji Matzin mesin-mesin tersebut sama ada akan dijual kepada pesawah-pesawah yang berminat dengan harga yang berpatutan atau pun akan disewakan melalui penyediaan perkhidmatan penyediaan tanah kepada pesawah-pesawah yang berminat.

“Penggunaan mesin-mesin tersebut akan dapat memudahkan kerja-kerja penyediaan tanah. Penggunaannya boleh menjimatkan waktu dan juga kos penyediaan tanah yang sebelum ini terpaksa dibuat secara manual dan ada juga pesawah yang langsung tidak membuat kerja-kerja penyediaan tanah”.

“Kaedah tradisional ini juga kurang sempurna dan boleh menjejaskan kesuburan dan hasil tanaman”, tegas Haji Matzin

Beliau seterusnya meluahkan harapan agar usaha Biro Pertanian dan Industri Asas Tani akan mendapat sokongan bukan sahaja dari pesawah-pesawah akan tetapi paling penting dari agensi-agensi kerajaan.

“Kita berharap usaha yang sedang kami jalankan ini tidak dilihat sebagai cubaan untuk menyaingi mana-mana pihak akan tetapi sebagai sumbangan rakyat dalam sama-sama menjayakan hasrat Baginda Sultan”.

“Dari itu kami memerlukan sokongan dari mana-mana pihak untuk memudahkan lagi Biro menyumbangkan khidmat baktinya dalam sama-sama memajukan sektor pertanian seperti mana yang dihasratkan oleh Baginda Sultan”, kata Haji Matzin.

Katanya seperti yang dititahkan oleh Baginda Sultan pada 15hb Julai lalu, kita diseru untuk lebih terbuka dalam mempelbagaikan ekonomi negara terutama sekali dalam memajukan bidang pertanian agar negara tidak lagi bergantung sangat kepada negara luar bagi keperluan sayur mayur dan buah-buahan.

“Titah Baginda itu merupakan satu dasar negara dan sesuai dengan visi, misi dan objektif parti setentunya sudah menjadi kewajipan, kemestian dan tanggungjawab NDP untuk menyahut seruan ini dan mendokong dan menyokong hasrat Baginda Sultan itu”, tegas Awang Haji Matzin lagi.

“Dari itu saya memohon agar agensi-agensi yang berkenaan memberikan kami peluang untuk berkerjasama dan seiringan dalam usaha memajukan dan merealisasikan program bumi hijau negara kita ini agar harapan kita untuk memastikan keselamatan permakanan akan tercapai jua”, tambahnya.

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.