Pohon 'bebaskan' potrait Baginda Sultan

 
 

LIMBARUH HIJAU 20 FEBRUARI 2007: PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) dengan rendah hati memohon kerjasama pihak-pihak yang berkenaan yang telah 'menahan' dan 'mengurung' potrait KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa hendak dibawa masuk dua minggu lepas melalui lapangan terbang antarabangsa Brunei untuk 'membebaskan' potrait tersebut dengan sesegera yang mungkin.

Dua keping potrait tersebut bersama dua helai kain rentang yang telah ditempah khas di Kuala Lumpur untuk digunakan bagi mengalu-alukan kunjungan 5 orang ahli parlimen Jerman ke Limbaruh Hijau pada 10 Februari lalu telah ditahan oleh pihak keselamatan semasa hendak dibawa masuk pada 4 Februari lalu.

Hingga ke hari ini potrait-potrait dan kain-kain rentang tersebut masih lagi dalam simpanan pihak-pihak tertentu.

Tidak ada sebaranag alasan atau penjelasan diberikan kenapa potrait-potrait dan kain-kain rentang tersebut ditahan dan masih 'dikurung' sehingga kini oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Apa yang menjadi kemuskilan NDP, kenapa buat kali ini, terutama sekali, potrait-potrait KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan 'ditahan' walhal sebelum ini NDP pernah membawa masuk sebanyak 14 keping potrait-potrait yang serupa reka bentuknya dengan ukurannya yang sama tidak pula menghadapi masalah apabila dibawa masuk.

Inilah yang menjadi kebingongan kepada NDP dan NDP berharap pihak-pihak tertentu dapat memberikan penjelasan jika terdapat perkara-perkara yang menyalahi peraturan agar ianya akan menjadi pengajaran.

Jika sekiranya terdapat apa-apa yang menyalahi, NDP memohon maaf dan bersedia untuk membetulkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan.


Teks dalam poster: VISI PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) : Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu, Islam, Beraja, aman dan makmur serta mendapat keampnan Allah SWT


Jika sebaliknya, NDP memohon meminta agar 'dibebaskanlah' potrait-potrait tersebut kerana parti masih memerlukannya untuk kegunaan dimusim Kongres Agong ke 2 akan datang. Berhubung dengan kain rentang yang masih 'tersadai' dipagar 'keselamatan' NDP tidak lagi sangat memerlukannya dan tidak ada halangan jika sekiranya pihak-pihak tertentu masih berminat untuk menahannya.

Untuk makluman pihak-pihak berkenaan, NDP pada awalnya berniat untuk menggunakan potrait-potrait yang ditahan untuk dijadikan latar belakang tempat duduk tetamu-tetamu negara menanda tangani buku pelawat.

Oleh disebabkan potrait-potrait tersebut ditahan dan 'dikurung' NDP terpaksa menggunakan potrait-potrait lain yang masih ada dalam simpanan.

Tujuan NDP ialah untuk memastikan wajah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan terpapar didalam gambar-gambar tetamu-tetamu dari Jerman itu dan berharap apabila mereka pulang ke tanah air nanti gambar-gambar yang berlatarkan Raja yang kita kasihi akan mereka terus abadikan dalam kenangan mereka (lihat contoh gambar disebelah kanan).

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.