Piagam Asean bentuk entiti kebal

 
 

Oleh Mutazar Abd Ghani

SIDANG Kemuncak Asean ke-13 yang berakhir di Singapura, semalam menyerlahkan komitmen dan kesepakatan 10 pemimpinnya untuk menjadikan pertubuhan berusia 40 tahun itu sebuah pertubuhan serantau yang penting dan pengaruh dari segi politik, sosial serta ekonomi, sekali gus dihormati dan disegani negara rantau lain.

Ini terbukti apabila ketua negara Singapura, Malaysia, Thailand, Filipina, Brunei, Indonesia, Laos, Vietnam, Kemboja serta Myanmar, secara konsensus memeterai Piagam Asean Selasa lalu, sekali gus memberikan identiti perundangan kepada Asean, di sebalik isu hak asasi manusia di Myanmar membayangi sebahagian besar sidang kemuncak kali ini.

Pemeteraian piagam itu menerima kritikan kumpulan pemantau hak asasi manusia kerana tidak memasukkan tindakan sekatan atau penyingkiran terhadap anggota yang tidak mematuhi peruntukan Piagam, selain kritikan kerana keengganan Asean mengenakan tindakan terhadap Myanmar yang didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Majlis memeterai piagam itu juga berlangsung sehari selepas penolakan usul Singapura untuk menjemput utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari bagi memberi taklimat kepada pemimpin Asean dan Negara Asia Timur (EAS) mengenai perkembangan terkini di Myanmar sempena sidang kemuncak kali ini. Penolakan usul tuan rumah itu berikutan bantahan Myanmar bahawa masalah di negara mereka adalah masalah dalaman yang mampu ditangani sendiri. Ini mendapat sokongan negara anggota lain.

Menerusi Piagam mengandungi 13 Bab dan 55 Artikel, itu Asean buat kali pertama menggariskan landasan untuk memberikan perlindungan alam sekitar, hak asasi manusia dan mewujudkan blok ekonomi bebas di rantau itu. Ia turut menggariskan kesungguhan negara anggota bersatu di bawah visi, identiti dan komuniti, tetapi pada masa sama menghormati prinsip asas kerjasama Asean untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota dan proses membuat keputusan berdasarkan konsensus.

Selain itu, Piagam Asean turut meletakkan sasaran memperkukuhkan amalan demokrasi dan menggalakkan hak asasi manusia dengan menubuhkan badan hak asasi manusia yang akan diputuskan kemudian oleh Menteri Luar dan mengesyorkan supaya sidang kemuncak diadakan dua kali setahun bagi membolehkan ketua kerajaan di rantau ini mempunyai masa lebih untuk membincangkan perkara berkaitan Asean.

Antara matlamat penting Piagam Asean ialah untuk mengekal dan meningkatkan keamanan dan keselamatan di rantau Asean, selain mengekalkan Asia Tenggara sebagai kawasan bebas tenaga manusia, selain mewujudkan pasaran dan pengekalan tunggal yang menjadikannya lebih berdaya saing dengan ekonomi yang lebih bersepadu menerusi aliran bebas barangan, perkhidmatan dan pelaburan selain memudahkan pergerakan tenaga kerja dan modal.

Piagam Asean perlu mendapat pengesahan daripada negara anggota dalam tempoh setahun, sebelum ia didaftarkan dengan Sekretariat PBB dan diharap dapat dikuatkuasakan pada Sidang Kemuncak Asean di Thailand, tahun depan.

Pemeteraian piagam itu sesungguhnya akan mengukuh dan menyerlahkan identiti Asean memandangkan piagam yang menentukan tatacara dan perlakuan semua 10 negara anggota itu berjaya diwujudkan selepas 40 tahun penubuhan Asean. Secara umum, piagam itu bertanggungjawab mengadakan rangka kerja perundangan dan institusi bagi Asean, sekali gus meningkatkan kemampuannya, walaupun Asean lebih condong ‘bermusyawarah’ dan tidak mahu mencampuri ehwal dalaman negara anggota.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan pemeteraian Piagam Asean oleh pemimpin pertubuhan serantau itu bukan saja satu sejarah kepada Asean, malah langkah ke hadapan yang jauh lebih besar ke arah menjadikannya entiti yang memiliki kekuatan dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, piagam itu juga bakal menjadikan Asean satu wilayah yang bersatu padu kerana setiap negara anggota akan bekerjasama lebih erat, sekali gus menawarkan keupayaan lebih besar untuk mencapai pertumbuhan serta berdaya saing, terutama dalam bidang ekonomi. Ia turut membolehkan potensi yang ada dalam pasaran Asean dibangunkan dengan lebih mudah, manakala rakan rakan dialog Asean akan lebih yakin lagi untuk meningkatkan hubungan mereka dengan negara anggota.

“Ini secara langsung menjadikan Asean lebih berdaya saing, terutama dengan adanya pasaran yang besar dengan lebih 570 juta penduduk. Dengan itu juga Asean akan dapat dilihat sebagai entiti yang ada kekuatan. Bila sudah ada piagam ini, negara anggota akan lebih erat bekerjasama, sekali gus menjadikan Asean kawasan lebih stabil. Kita harap nanti tidak ada perkara membawa kepada perbalahan dan jika ada masalah, kita harap ia mudah diselesaikan.

“Ini adalah antara fakta yang boleh jadikan rantau Asean sebagai satu kawasan yang mencatat pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak dan membawa manfaat kepada seluruh rantau ini,” katanya.

Rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong pula menyifatkan Piagam Asean sebagai satu langkah penting dalam mempercepat dan meningkatkan kesepaduan serantau demi menjadikan pertubuhan serantau itu kukuh dan relevan. Piagam berkenaan secara keseluruhannya akan mengubah pendekatan dan pemikiran pemimpin negara rantau lain mengenai Asean.

“Ia akan menjadikan Asean sebuah pertubuhan yang lebih berkesan dan bersepadu, dengan rangka kerja berlandaskan peraturan dan undang-undang serta memperkemas proses membuat keputusan. Ini akan membuka jalan ke arah kesepaduan yang lebih erat di masa depan,” katanya.

Selain Piagam Asean, Sidang Kemuncak Asean ke-13 dan mesyuarat berkaitannya juga menyaksikan pemeteraian deklarasi di kalangan negara anggota dan juga dengan rakan dialognya di kalangan negara Asia Timur (EAS) dan Kesatuan Eropah (EU). Ini termasuk, meluluskan Rangka Pelan Induk Komuniti Ekonomi Asean (AEC), yang menjadikan rantau ini pasaran ekonomi tunggal menjelang 2015 - agar Asean lebih berdaya saing dalam menghadapi gergasi ekonomi seperti China dan India.

Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak Asean ke-13 bertemakan ‘Asean Tunggal di Tengah-Tengah Asia yang dinamik’ mencapai kejayaan seperti diharapkan walaupun ia turut dibayangi isu hak asas manusia di Myanmar yang menjadi fokus media asing yang berkampung di Singapura sejak lima hari lalu.

Hari pertama sidang pada Isnin ‘dicemari’ tindakan segelintir warga Myanmar, terutama pelajar yang tinggal di Singapura dengan mengadakan protes secara aman tidak jauh dari hotel persidangan dan perhimpunan secara tertutup yang diadakan pihak terbabit sepanjang sidang berlangsung.

Seperti kata Abdullah, Sidang Kemuncak Asean ke-13 dan sidang berkaitannya berjaya mencapai matlamatnya, terutama dengan pemeteraian bersejarah Piagam Asean, sekali gus menjadikan Asean sebagai rantau lebih besar dan kompetitif, selain menandakan Asean kini melangkah ke era baru dalam segala bidang.

Apa pun, dokumen bersejarah Piagam Asean tidak akan dapat berfungsi sepenuhnya serta boleh dikuat kuasa, sekiranya ia tidak mendapat pengesahan semua negara anggota dalam tempoh setahun, iaitu sebelum sidang kemuncak akan datang di Thailand, tahun depan.

Justeru, kenyataan pemimpin tertentu Asean yang membayangkan dokumen itu mungkin sukar memperoleh kelulusan badan eksekutif negaranya, jika isu hak asas manusia di Myanmar tidak ditangani sepenuhnya, perlu diberi perhatian dan ditangani sebaik mungkin oleh negara terbabit, supaya tidak menjejaskan semangat kesepakatan dan konsensus ketika pemeterian piagam itu di Singapura, Selasa lalu. (DIPETIK DARI BERITA HARIAN)

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.