Perutusan Presiden NDP Sempena Tahun Baru Hijrah 1428

 
 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan keredhaanNya jua kita dipinjamkan lagi umur dan diberikan kenikmatan masa dan kesihatan untuk meneruskan perjuangan hidup kita di tahun baru Hijrah 1428 ini.

Tahun Baru Hijrah sebenarnya membawa dua isyarat kepada kita semua.

Pertama, umur kita semakin bertambah dan kedua, waktu dan masa kita di dunia ini semakin singkat dan berkurangan.

Selaku umat Islam kita disaran supaya sentiasa berdoa kepada Allah swt. agar diberikan keberkatan dalam hidup seiring dengan pertambahan usia yang semakin meningkat.

Kita di sarankan agar terus menggunakan masa yang ada sebaik-baiknya dengan usaha-usaha yang menyukakan Allah agar kita dikurniakan keberkataan yang diharapkan dan mendapat keredhaanNya.

Kita perlu terus berusaha menunaikan tugas dan tanggungjawab kita yang di amanhkan oleh Allah s.w.t yang telah memuliakan kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Sempena tahun baru hijrah 1428 ini marilah kita membaharui tekad untuk meningkatkan usaha memperbaiki diri kita, meningkatkan usaha yang berkebajikan membantu dan menyokong KDYMM Paduka Seri Beginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Baginda.

Saya juga bertekad untuk terus memimpin Parti Pembangunan Bangsa kearah kecemerlangan agar parti ini akan dapat benar-benar menjadi pelantar bagi kita meneruskan usaha berkebajikan agar mendapat keredhaan dan keampunan Allah jua.

Sebenarnya Hijrah adalah titik permulaan untuk beralih dan berubah.

Hijrah juga adalah permulaan bagi melayari sejarah baru kehidupan manusia dan segala aktivitinya.

Ianya sangat penting bagi umat Islam kerana tanpa hijrah, hidup mereka menjadi beku, tidak bergerak maju dan tidak mengalami perubahan.

Jika demikian, manusia tidak akan mendapati kemajuan sama ada di dunia mahupun di akhirat tanpa kesediaan hijrah.

Dari itu saya beseru kepada semua ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Parti Pembangunan Bangsa untuk mula mengorak langkah ' penghijrahan ' dari aspek-aspek berikut :-

• Pertama, marilah sama-sama berusaha dan sentiasalah mempersiapkan diri dengan mempertingkatkan tahap kematangan kita berfikir. Kita haruslah berani merobah cara kita berfikir dan berani berhijrah kearah cara berfikir yang lebih terbuka, proaktif dan progresif.

• Kedua, kita perlu berhijrah untuk cuba meninggalkan sikap memperbesarkan sebarang isu yang remeh temeh untuk dipertikai, sedang realitinya dalam berhadapan persoalan masyarakat dan negara yang lebih besar dan ancaman keatas kesucian Islam yang lebih mencabar, kita cuma berpeluk tubuh.

• Ketiga, sikap-sikap negatif seperti tidak jujur, tidak ikhlas, hasad dengki, pentingkan diri sendiri, perasaan curiga-mencurigai, cucuk mencucuk, tuduh-menuduh serta syak wasangka yang boleh membibitkan api persengketaan perlulah dikikis dan dihindari sama sekali.

• Keempat, kerjasama dan permuafakatan dalam setiap perbincangan dan tindakan hendaklah diberi keutamaan. Semua ahli mestilah berganding bahu untuk melangkah maju bersama dan jangan ada yang tercicir.

• Kelima, jangan sekali-kali kita biarkan ada di kalangan anggota masyarakat yang terpinggir dari arus perdana kemajuan negara. Golongan sebegini, mestilah kita dampingi dengan lebih dekati. Sehubungan itu kita perlu bukan sahaja sekadar ‘turun padang’ untuk mencukupkan syarat sahaja, akan tetapi haruslah bersedia untuk ‘berluai’ di padang berhujan berpanas bersama ahli-ahli masyarakat, belia-belia dan anggota masyarakat terutama sekali yang kurang bernasib baik dan perlu pembelaan.

Sesungguhnya, manusia lahir ke bumi ini disambut dengan azan, matinya pula diiringi dengan solat.

Antara azan dan solat…..alangkah singkatnya hidup ini…..Marilah kita sama-sama berhijrah ke suatu tahap yang lebih baik!

Sekian wabilahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warahatuulahi wabarakatuh.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.