Percepatkan proses pembinaan skim perumahan

 
 

"Saya merupakan kalangan beribu pemohon perumahan di Skim Perumahan Daerah Tutong".

"Pada masa in saya merupakan salah seorang pemohon terpilih bagi skim perumahan tersebut dan sedang menunggu penyerahan kunci".

"Persoalan yang sering bermain dikepala kami berapa lamakah kami perlu menunggu untuk mendapatkan rumah; adakah 20 tahun atau 30 tahun?"

"Dalam pengetahuan kami kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti sebagai tapak skim perumahan di Daerah Tutong ialah di kawasan Kampong Bukit Beruang dan Kampong Keriam".

"Akan tetapi sehingga ke hari ini apa yang dapat dlihat belum ada perkembangan dalam memajukan kawasan-kawasan ini; belum nampak sebuah rumah pun di bina dikawasan ini atau sebarang tanda menunjukkan kerja-kerja pembangunan sedang dijalankan"

"Apakah rancangan skim perumahan di kawasan-kawasan ini hanya satu cadangan atau ianya akan dibina dalam masa 40 tahun akan datang?"

"Apa yang kami tahu setiap tahun Kerajaan memperuntukkan bajet kepada setiap kementerian. Persoalannya dimana sekarang bajet untuk skim perumahan di Daerah Tutong itu?"

"Apa yang saya maksudkan disini sekiranya terdapat peruntukkan bajet untuk kawasan Kampong Bukit Beruang mana pula peruntukkan bajet bagi kawasan Kampong Keriam?".

Surat rintihan 'Homeless Jati' disiarkan oeh Borneo Bulletin's Weekend berarikh 10 Nvember 2007

"Kepada pihak-pihak berkenaan dipohon untuk ambil maklum bahawa saya mempunyai keluarga dan akan bersara dalam masa 10 tahun akan datang dan hingga sekarang masih tinggal di rumah kerajaan".

"Sehingga kehari ini saya masih memikirkan kemana kami akan tinggal sekiranya kami belum mendapat rumah dengan masa terdekat ini".

Jati Tak Berumah (Homeless Jati)



Begitulah rintihan seorang hamba Allah yang menggunakan nama pena 'Homeless Jati" yang telah menulis kepada Ruangan Pembaca edisi Borneo Bulletin Hujung Minggu (Borneo Bulletin's Weekend Edition).

Surat asal beliau ditulis dalam bahasa Inggeris dan disiakan pada keluaran BB's Weekend Sabtu 10 November 2007.

Rintihan 'Homeless Jati' bukanlah perkara baru. Sehingga hari ini dianggarkan jumlah mereka yang masih menunggu untuk mendapatkan rumah dari skim kemajuan perumahan negara mencapai angka 40,000 pemohon dan permohonan tanah kerajaan bagi tapak rumah mencecah angka 18,000.

Dua hari lepas sebelum surat rintihan pemohon dari Daerah Tutong itu disiarkan seramai 244 pemohon dari daerah Brunei-Muara tersenyum lebar kerana akhirnya selama berpuluh tahun menunggu mereka mencapai impian untuk mendapatkan rumah dan tanah.

Hari Khamis 8 November 2007 merupakan hari bersejarah bagi seramai 244 penerima di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Sungai Buloh dan di bawah Skim Penggeranan Tapak Rumah atas Lesen Tumpang Sementara menerima anak kunci dan geran tanah mereka.

Daripada jumlah itu, 204 orang menerima anak kunci Skim Tanah Kurnia manakala 40 yang lain dikurniakan geran tanah.

Skim itu masing-masing terletak di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Sungai Buluh, Jalan Muara dan Skim Penggeranan Tapak Rumah atas lesen tumpang sementara.

Rasa kemanisan mendapat rahmat berumah dan bertanah bagi penerima-penerima tersebut ditambah manis lagi dengan kesudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menganugerahkan anak kunci rumah dan geran tanah di dua skim perumahan tersebut kepada mereka.

Namun demikian bagi beribu-ribu pemohon yang lain yang masih menunggu seperti hamba Allah yang bergelar "Homless Jati' mereka terpaksa bersabar dan menunggu giliran mereka yang akan datang mungkin dalam tempoh 10, 20 atau 30 tahun lagi.

Inilah hakikatnya dengan pengurusan dan pengendalian skim perumahan negara yang tidak seimbang dan lembab.

Berdasarkan tren yang ada sekarang keupayaan jentera kerajaan membina dan menyiapkan rumah yang diperlukan pemohon amat terhad dan di tahap yang rendah, dan tidak mungkin ekspektasi pemohon dapat dipenuhi segera.

Maka tidak heranlah rintihan-rintihan dari beribu-ribu hati yang kecewa sering didengar oleh perwakilan-perwakilan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) di sesi-sesi perjumpaan dengan ahli-ahli parti akar umbi di seluruh negara.

Ini membuatkan NDP sangat risau terhadap kemungkinan masalah rakyat tidak berumah akan meluas menjadi isu sosial yang kritikal.

Dari itu di Konges Agung NDP ke Dua pada June 2007 isu perumahan diangkat menjadi antara usul utama dibahaskan di kongres tersebut. Isu yang sama juga telah diangkat menjadi usul utama pada tahun sebelumnya di Kongres Agung NDP pertama.

Di Kongres Agung NDP Pertama satu persetujuan dan ketetapan telah diambil dalam mana NDP mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan sebuah Syarikat Perumahan Negara bagi mempercepat penghasilan perumahan untuk dijual kepada rakyat disamping itu Jabatan Kemajuan Perumahan pula dipertanggungjawabkan mengendalikan urusan penghasilan perumahan rakyat jati.

Di Kongres Agung Ke Dua NDP sekali lagi menekankan perlunya isu perumahan ditangani segera oleh Kerajaan KDYMM dan sebagai sebuah kerajaan Islam, menyediakan rumah yang selesa kepada rakyat adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang tidak boleh sama sekali diabaikan. Kediaman yang selesa adalah salah satu elemen asas kehidupan dan kebahagiaan dan merupakan keperluan asasi setiap keluarga justeru ianya tidak boleh diambil ringan dan diabaikan.

Melihat sistem yang ada sekarang jelas menunjukkan sistem penyampaian dan pendekatan yang diamalkan terlalu lembap dan tidak responsif kepada keperluan dan jangkaan rakyat.

Tempoh masa menunggu, contohnya ada yang melebihi 15 tahun untuk mendapat rumah dan jangka waktu menunggu ini adalah terlalu lama dan tidak munasabah sama sekali.

NDP juga berpandangan perlunya diteliti semula reka bentuk dan spesifikasi rumah dalam skim perumahan negara agar ianya menepati kesemasaan (timeliness) serta pola dan gaya hidup golongan sasaran yang menekankan nilai-nilai ‘extended family’.

Memang tidak disangkalkan Kerajaan sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran yang hebat dalam usaha melaksanakan tanggunjawab menyediakan perumahan yang selesa kepada rakyat.

Walaupun demikian kita yakin segala cabaran itu akan dapat diatasi dengan baiknya.

Apa yang perlu ialah langkah yang strategik mempercepatkan proses pembangunan skim perumahan rakyat dan penyampaiannya.

NDP melihat langkah mempercepatkan proses pembangunan skim perumahan rakyat bukan sahaja akan dapat mengimbagi penyamapiannya dan ekspektasi pemohon malahan ianya akan mendatangkan manafaat kepada pertumbuhan sektor pebinaan terutama kepada kelahiran kontraktor-kontraktor tempatan yang berwibawa.

Memang disedari urusan pembinaan rumah rakyat melalui institusi kerajaan lazimnya berhadapan dengan kerenah birokrasi seperti soal peruntukan, pembiayaan dan perolehan, menyebabkan berlakunya kelengahan dan kelewatan sehingga menyusahkan pemohon-pemohon.

Program dan Pendekatan

Akan tetap ianya tidak seharusnya dilihat sebagai satu masalah sebaliknya harus dilihat sebagai satu peluang meningkatan upaya proses dan sistem penyampaian melalui sinergi dan kerjasama strategik kerajaan dan swasta.

Dalam konteks ini NDP melihat potensi bagi pihak kerajaan menubuhkan sebuah syarikat milik kerajaan yang didaftarkan di bawah akta syarikat dan dikendalikan dengan penuh tanggungjawab dan bukan berorientasikan keuntungan semata-mata.

Akan tetapi peneraju dan kakitangan syarikat hendaklah mereka yang berada di luar kerajaan atau bukannya kakitangan kerajaan, bagi memastikan syarikat tidak dihinggapi oleh penyakit kerenah birokrasi.

Peneraju syarikat juga hendaklah dari kalangan profesional yang melihat kelengahan sebagai musuh dan kerugian bukan sahaja kepada syarikat, malah juga terhadap negara.

Perlu juga dipastikan syarikat tersebut tidak tertakluk untuk menghasilkan rumah berasaskan reka bentuk yang standard tetapi sebaliknya mengikut permintaan pasaran.

Selain dari itu isu perumahan ini juga dapat dilhat sebagai satu peluang kepada pihak Kerajaan untuk '‘Out-sourcing’ sebahagian bebanan dan tanggungjawab kerajaan kepada pihak swasta dan kontraktor-kontraktor yang berwibawa mengikut kaedah ‘turnkey’ atau ‘design and build’.

Dalam masa sama ianya juga membukakan peluang kepada program pembangunan modal insan tenaga mahir anak-anak tempatan melalui projek-projek yang dipakejkan kepada konsortium kontraktor-kontraktor tempatan.

Melalui pendekatan-pendekatan yang disyorkan ini pihak kerajaan juga perlu menentukan jumlah sasaran pembinaan kepada sekurang-kurangnya 5000 unit rumah setahun.

NDP yakin dengan langkah-langkah yang strategik ini kelengahan dan kegagalan menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada rakyat akan dapat diatasi.

Kita menyedari dan menginsafi bahawa dengan kegagalan menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada rakyat boleh menimbulkan masalah social/keselamatan yang boleh menghambat usaha-usaha pembentukan sistem dan nilai-nilai kekeluargaan yang murni dan unggul seperti yang dituntut oleh Islam.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.