HELSINKI, FINLAND, Isnin, 11 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan pentingnya Asia-Eropah (ASEM) mengadakan aktiviti-aktiviti yang praktikal seperti program pertukaran di antara penuntut-penuntut sekolah dan universiti di Benua Asia dan Eropah.
Baginda menekankan perkara demikian ketika bertitah di Sesi Tertutup Kedua yang diadakan di Pusat Pameran Helsinki. Sesi Tertutup itu bertemakan "Dialog Antara Budaya dan Peradaban."
Selain program berkenaan, baginda bertitah perlunya diwujudkan pertukaran dengan memberikan peluang kepada generasi muda ASEM untuk mempelajari dan menimba serta berkongsi pengalaman hidup dalam masyarakat yang berbeza-beza yang terdapat dalam benua Asia dan Eropah.
Dalam hubungan ini, titah baginda lagi, Negara Brunei Darussalam telah menganjurkan beberapa siri projek ASEM yang ada hubung kait dengan belia di mana baginda merasakan projek sedemikian telah memberikan banyak manfaat yang berguna kepada generasi muda ASEM.
"Negara Brunei Darussalam akan terus menganjurkan projek-projek yang serupa dalam beberapa tahun mendatang", titah baginda meyakinkan para pemimpin ASEM yang menghadiri sidang berkenaan.
Baginda juga melahirkan harapan yang tinggi perlunya ASEM membawa bersama para penuntut dan para belia bagi berkongsi pengalaman dan idea ke arah melahirkan kesefahaman yang baik dan menghargai nilai-nilai dan kebudayaan antara satu dengan yang lain.
Mengenai dialog antara kepercayaan dan kebudayaan, Negara Brunei Darussalam telah lama menyokong perkara sedemikian.
Dalam hubungan itu, baginda melahirkan ucapan tahniah kepada Republik Indonesia, United Kingdom, Cyprus dan Malaysia kerana telah menjadi hos bagi dialog-dialog antara kepercayaan dan kebudayaan.
Baginda menekankan perjumpaan ASEM ini akan dapat menimbulkan harapan sesama negara ahli dan rakyat kedua-dua benua dalam menghadapi kehidupan yang sebenar abad ke-21.
Dalam kata lain, titah baginda, kita mahukan agar rakyat biasa dalam benua ini mempunyai penuh harapan dan optimis terhadap diri mereka sendiri dan yang lainnya.
Menurut baginda ke arah proses tersebut, kita perlu memberikan keyakinan dalam semua aspek keselamatan spektrum seperti politik, ekonomi dan kebudayaan.
Selepas sesi berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan pemimpin ASEM yang lain berangkat menghadiri Majlis Santap "working lunch' yang diberikan oleh Perdana Menteri Republik Finland, Tuan Yang Terutama Matti Vanhanen.
Di majlis tersebut, para pemimpin ASEM lebih menumpukan perbincangan kepada tema "Pembangunan Berterusan termasuk alam sekitar dan keselamatan tenaga'.
Baginda kemudianya bersama-sama para pemimpin ASEM membincangkan isu berkaitan dengan ekonomi di Sesi Tertutup Ketiga yang bertemakan Globalisasi dan Upaya Daya Saing".
Semasa Sesi Tertutup Keempat pula, baginda dan pemimpin ASEM yang lain membincangkan isu-isu berkenaan dengan hala tuju masa depan ASEM di mana para pemimpin ASEM juga telah mengalu-alukan kemasukkan Mangolia, India, Pakistan, Bulgaria, Romania dan Sekretariat ASEAN sebagai ahli terbaru ASEM pada tahun 2008.
Selepas sesi tersebut, para pemimpin ASEM telah mempersetujui tiga deklarasi iaitu Deklarasi Pengerusi, Deklarasi Helsinki Mengenai Hala Tuju Masa Depan ASEM dan Deklarasi ASEM Mengenai Perubahan Cuaca.