LONDON: Pertubuhan Amnesty International semalam mengutuk sekeras-kerasnya Amerika Syarikat yang dituduh mencabuli hak asasi manusia dan menjadikan dunia medan pertempuran besar kempen antipengganasnya.
“Serangan ke atas Iraq dan kempen menakutkan ramai yang ditebar pentadbiran Presiden George W Bush di seluruh dunia sebaliknya menyebabkan perpecahan global,” kata pertubuhan hak asasi dunia itu.
Laporan tahunan Amnesty itu juga menuduh Washington bersalah kerana mengamalkan dasar talam dua muka dengan mendakwa sebagai jaguh pejuang hak asasi manusia tetapi hakikatnya pada masa sama mencabuli banyak peraturan antarabangsa.
“Tiada bukti lebih baik daripada pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan Amerika menerusi kempen antikeganasan yang turut membabitkan kerajaan di negara seperti Itali, Pakistan, Jerman dan Kenya,” kata Setiausaha Agung Amnesty, Irene Khan.
Tahun lalu, bukti menunjukkan pentadbiran Amerika menganggap dunia tidak ubah seperti medan pertempuran gergasi bagi kempen antikeganasannya.‘
“Ini menerusi tindakan Washington menculik, menahan, menangkap secara membabi buta, mendera serta memindahkan suspek dari satu penjara rahsia ke sel kurungan lain hampir di seluruh dunia.” Beratus-ratus suspek sudah dipindahkan Amerika dan negara sekutunya menerusi penjara rahsia di negara termasuk Syria, Jordan dan Mesir. - AFP |