Jika pejuang kemerdekaan memiliki senjata keberanian dan kesabaran yang ampuh sehingga akhirnya membuahkan hasil tidak ternilai yakni kemerdekaan, maka pengisi kemerdekaan juga sudah semestinya memiliki senjata keberanian dan kesabaran dalam mempertahankan nikmat kemerdekaan berkenaan supaya kekal cemerlang, gemilang, terbilang dalam percaturan masyarakat antarabangsa.
Keberanian tanpa kesabaran adalah malapetaka dan kebodohan, manakala kesabaran tanpa keberanian adalah pengecut dan kedunguan, dan kedua-duanya adalah bencana yang mesti dihindari. Keberanian dan kesabaran dalam konteks perjuangan akan membawa kepada kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan, manakala keberanian dan kesabaran berasaskan iman dalam konteks Islam adalah yang membezakan antara berani dan sabar ke neraka atau syurga.
Sabar bukan sikap pasif dengan pengertian menunggu. Sabar itu suatu sikap proaktif, memerhati keadaan yang dihadapi untuk melihat peluang berbuat baik dan memberikan sumbangan secepat mungkin. Sabar itu sikap kreatif dalam kebersamaan. Melakukan tindakan kreatif sendiri jauh lebih mudah, daripada menciptakan tindakan kreatif bersama. Kerana dalam kebersamaan, kelompok atau jemaah, tindakan kreatif semestinya sebuah simfoni yang harmoni.
Justeru, kesabaran bererti suatu kombinasi sikap mental yang terfokus pada tujuan perubahan yang diukur, kegigihan dalam berjuang, dan tekun atau tabah. Sabar adalah bukan kata sifat, melainkan kata kerja, bahkan kata kerja kreatif penuh daya imaginasi.
Al-Quran dengan jelas dan nyata memuji dan memberkati orang yang sabar dalam perjuangan mereka demi mencapai matlamat dan mereka dimasukkan dalam golongan orang yang melakukan kebajikan dengan sebenar-benarnya. Dalam perkara ini, al-Quran menyatakan maksudnya: “…dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 177)
Dalam konteks tasauf murni sabar ialah menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau berontak, resah-gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidakselesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini.
Menurut Nashiruddin Al-Thusi pengertian sabar adalah menahan diri untuk tidak tergoncang atau terpengaruh secara negatif apabila menghadapi hal yang tidak diingini. Khwajah Abdullah al-Anshari mengatakan dalam Manazil al-Sa'irin: pengertian sabar adalah menahan diri untuk tidak mengeluh kerana derita terpendam. Atau menurut Abdurrazaq Al-Kasyani, dalam syarah kitab berkenaan "erti sabar adalah tidak mengeluh, hanya mengeluh kepada Allah SWT saja dan memohon kepada-Nya dan tidak kepada yang lain."
Sabar ada tiga macam iaitu sabar dalam ketaatan; sabar menanggung musibah; dan sabar tidak melakukan dosa. Ketiga-tiga jenis kesabaran ini mesti meliputi empat tindakan, iaitu: tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah; menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran; memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan; dan tenangserta teguh hati menghadapi cubaan atau musibah.
Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam agama dan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan.
Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Yang Maha Kuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian. Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala disimpan khas oleh Allah SWT.
Oleh kerana pengertian sabar adalah tabah hati tanpa mengeluh dalam menghadapi dugaan dan rintangan pada jangka masa tertentu demi mencapai tujuan, maka nama sabar berbeza-beza tergantung objeknya.
Ketabahan menghadapi musibah, disebut sabar, lawannya adalah gelisah (jaza`) dan keluh kesah (hala`)
Kesabaran menghadapi godaan hidup nikmat disebut mampu menahan diri (dabt al-nafs), lawannya tidak mampu menahan diri (bathar).
Kesabaran dalam peperangan disebut pemberani (syaja'ah), lawannya disebut pengecut (jubn)
Kesabaran dalam menahan marah disebut santun (hilm), lawannya disebut pemarah (tazammur)
Sabar dalam menghadapi bencana yang mencengkam disebut lapang dada (si'ah al-sadr), lawannya disebut sempit dadanya (diq al-sadr)
Sabar dalam mendengar gosip disebut mampu menyembunyikan rahsia (katum).
Sabar terhadap kemewahan disebut zuhud, lawannya disebut serakah, loba (al-hirsh).
Sabar dalam menerima yang sedikit disebut kaya hati (qana`ah), lawannya disebut tamak, rakus.
Mengisi kemerdekaan dengan mengamalkan sabar termasuk kategori qana'ah dalam lapan senarai ini. Kerana kita mesti juga sabar dalam mengharungi kenikmatan hidup yang selesa, makmur dan sejahtera dalam alam merdeka.
Secara psikologi, tingkatan orang sabar dapat dibahagikan menjadi tiga, iaitu orang yang sanggup meninggalkan dorongan syahwat. Mereka termasuk kategori orang yang bertaubat (al-taibin); orang yang reda menerima apapun yang dia terima daripada Allah, mereka termasuk kategori orang zuhud (al-zahidin); dan orang yang mencintai apapun yang diperbuat Allah untuk dirinya, mereka termasuk kategori (al-siddiqin).
Kita mesti saling mengingatkan dalam melaksanakan sabar, tawashau bi al-sabri dalam mengisi kemerdekaan supaya kita tidak menjadi golongan orang yang merugikan. (Surah al-'Ashr) Pemerintah sabar dalam menghadapi, mengatur dan mentadbir rakyatnya dan rakyat pula sabar dalam menghadapi, diatur dan ditadbir pemerintah. Pemerintah bersabar sesama sendiri dan rakyat pula bersabar sesama mereka.
Dan sebagai bukti kasih Allah kepada umat-Nya adalah Dia menetapkan pemimpin taqwa untuk membimbing mereka. Dia berfirman maksudnya: ”Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah al-Sajdah: 24)
Apabila kita sabar dalam konteks mengisi nikmat kemerdekaan dengan ketaatan dalam erti kata melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya maka kita dijanjikan untuk kehidupan akhirat kita dengan firman-Nya bermaksud: "Mereka itulah orang yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat yang tinggi di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat kepada Allah), dan mereka dialu-alukan di dalamnya (syurga) dengan penghormatan dan ucapan salam kesejahteraan (oleh para malaikat)". (Surah al-Fiuqan: 75)
Sabar adalah satu di antara kedudukan (maqamat) agama, dan satu anak tangga dari tangga seorang hamba dalam mendekatkan diri kepada Allah. Struktur maqamat agama terdiri dari pengetahuan (ma`arif) yang dapat dimisalkan sebagai pohon; sikap (ahwal) yang dapat dimisalkan sebagai cabangnya, dan perbuatan (a'mal) yang dapat dimisalkan sebagai buahnya. Seseorang boleh bersabar jika dalam dirinya sudah teratur maqamat itu.
Dalam usaha menyelesaikan permasalahan menyangkut pelbagai urusan kehidupan, sabar adalah kekuatan yang sangat besar dan efektif. Oleh itu, al-Quran secara jelas mengingatkan supaya dalam upaya memohon pertolongan kepada Allah, jangan lupa membangun infrastruktur psikologinya yang terdiri daripada kesabaran dan solat. “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Allah) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 153)
Orang sabar disayangi Allah begitu pula bangsa dan negara yang sabar juga disayangi Allah. Allah akan sentiasa bersama orang yang sabar begitu pula Allah akan sentiasa bersama bangsa dan negara yang sabar. Dalam al-Quran disebutkan maksudnya: ”Dan (ingatlah) Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal: 66)
Sebagai ucapan terima kasih kepada pejuang kemerdekaan yang berjasa dengan penuh keberanian dan kesabaran sehingga kita mesti bersabar pula dalam menikmati hasil jerih payah mereka, kita pun melaksanakan ajaran al-Quran dengan mendoakan mereka maksudnya: ”Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (Surah al-Hasyr: 10) Amin ya Rabbal 'Alamin!
INTI PATI
Pengisi kemerdekaan semestinya memiliki senjata keberanian dan kesabaran dalam mempertahankan nikmat kemerdekaan berkenaan supaya kekal cemerlang, gemilang, terbilang dalam percaturan masyarakat antarabangsa.
Al-Quran dengan jelas dan nyata memuji dan memberkati orang yang sabar dalam perjuangan mereka demi mencapai matlamat dan mereka dimasukkan dalam golongan orang yang melakukan kebajikan dengan sebenar-benarnya.
Kita mesti saling mengingatkan dalam melaksanakan sabar, tawashau bi al-sabri dalam mengisi kemerdekaan supaya kita tidak menjadi golongan orang yang merugikan.
Apabila kita sabar dalam konteks mengisi nikmat kemerdekaan dengan ketaatan dalam erti kata melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya maka kita dijanjikan untuk kehidupan yang sejatera diakhirat nanti