Permulaan baru ASEAN

 
 
Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar AFP

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyifatkan Piagam ASEAN sebagai "membawa permulaan baru bagi pertubuhan itu dan akan memastikan komitmen ASEAN dilaksanakan."

Baginda bertitah Piagam ASEAN akan mengukuhkan usaha negara ahli dalam mencapai matlamat serantau dalam pembangunan masyarakat ASEAN berlandaskan tiga rangka tindakan iaitu politik dan keselamatan, ekonomi ASEAN seperti Piagam dan pelan induk mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN.

Piagam ASEAN akan mengukuhkan lagi usaha negara-negara anggota dalam mencapai matlamat, titah baginda tetapi mengingatkan negara-negara anggota supaya sentiasa mengamalkan budaya dialog dan perbincangan, sikap saling hormat-menghormati dan memahami antara satu sama lain serta bertolak ansur.

Baginda bertitah Piagam ASEAN akan membolehkan pertubuhan serantau itu meneguhkan lagi perpaduan politik, ekonomi dan mementingkan tanggungjawab sosial terhadap orang ramai.

Baginda Sultan bertitah demikian pada Persidangan Kemuncak Ke-13 Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Singapura dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Serentak dengan persidangan kemuncak itu, ASEAN mencipta sejarah sejak penubuhannya 40 tahun lalu dengan pemimpin-pemimpin kelompok serantau itu menandatangani Piagam ASEAN.

Menurut kenyataan akhbar oleh Jabatan Perdana Menteri Brunei yang disiarkan di sini, Baginda Sultan juga bertitah Piagam itu dapat memastikan masa depan yang cerah bagi pertubuhan itu dan menyeru kepada komitmen dan kepatuhan terhadap pertubuhan itu.

Dalam titah itu, Baginda Sultan juga menarik tumpuan negara-negara anggota kepada beberapa perkara berhubung dengan pembangunan jangka panjang ASEAN terutama perubahan iklim, alam sekitar, tenaga dan perkembangan berdaya tahan.

Negara-negara anggota perlu bekerjasama melalui pertukaran maklumat, perkongsian kemahiran dan mengadakan pendekatan yang selaras dalam menangani cabaran-cabaran, tegas baginda.

Baginda Sultan memaklumkan mengenai sumbangan Brunei untuk mengatasi perubahan iklim dan menerangkan usaha yang dilaksanakan dengan Indonesia dan Malaysia dalam inisiatif Nadi Borneo seperti pengurusan perhutanan, perkongsian amalan terbaik dan langkah yang diambil bagi meningkatkan kemahiran.

Baginda Sultan juga mengalu-alukan deklarasi mengenai alam sekitar yang berdaya tahan dan persidangan di Bali, Indonesia yang ditandatangani pada sebelah petang.

Ia menunjukkan komitmen ASEAN untuk bekerjasama dalam mengatasi cabaran alam sekitar seperti pencemaran rentas sempadan, pemusnahan hutan dan pemuliharaan perairan pantai dan kepelbagaian bio marin.

Baginda Sultan berpendapat mengenai proses pembinaan kimuniti ASEAN dan melahirkan rasa puas hati atas pencapaian rangka tindakan ppolitik dan keselamatan serta ekonomi ASEAN seperti Piagam ASEAN dan 'Blueprint' mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN.

Baginda Sultan seterusnya menyatakan ASEAN juga perlu meningkatkan usaha dalam bidang kesihatan, pendidikan, alam sekitar dan pengurusan bencana alam untuk menjadikan ASEAN lebih responsif terhadap keperluan orang ramai.

Sejurus selepas sesi Retreat itu, Baginda Sultan berkenan menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Kerja dengan pemimpin ASEAN dan anggota Jawatankuasa Majlis Penasihat Perdagangan ASEAN.

Seterusnya Baginda Sultan dan Ketua Negara dan kerajaan menandatangani Declaration on the ASEAN economic Community Blueprint; ASEAN Declaration on Environmental Sustainability; ASEAN Declaration on the 13th Session of the Confrence of the Parties (CoP) to the United Nations Framework Convention on Climate Chang (UNFCC) and the 3rd Session of the Conference of the Parties Serving as the Meeting of the Parties (CMP) to the Kyoto Protocol; and the ASEAN Charter.

Baginda Sultan bersama dengan pemimpin ASEAN, Republik Rakyat China, Jepun dan Korea Selatan kemudian berangkat menghadiri Sidang Kemnucak ASEAN + 3 untuk menilai semual kerjasama yang dicapai sepanjang tahun ini di samping bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa.

Baginda Sultan melahirkan rasa gembira atas kerjasama yang dilaksanakan semenjak Sidang Kemuncak ASEAN + 3 diadakan di Cebu, Filipina dan malahirkan rasa pusa hati atas pencapaian kerjasama politik, ekonomi dan sosiobudaya semenjak Sidang Kemuncak itu diadakan 10 tahun lalu.

Sejurus itu, Baginda Sultan dan pemimpin ASEAN + 3 berangkat menghadiri majlis memperingati ulang tahun kerjasama ASEAN + 3 yang ke-10 dan diikuti dengan Unveiling of Medallions of ASEAN Plus Three 10 Years Cooperation.

Pada sebelah petang, Baginda Sultan dan pemimpin ASEAN dan Republik Rakyat China berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China di mana kedua-dua belah pihak menilai semula kerjasama ASEAN-China dan hala tuju hubungan di samping bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal rantau dan antarabangsa.

Baginda Sultan melahirkan rasa puas hati atas perkembangan kerjasama ASEAN-China sepanjang tahun ini dan menyatakan secara keseluruhannya hubungan dialog ASEAN-China berjaya menghasilkan pencapaian yang memuaskan terutama dalam bidang baru iaitu tenaga, pengangkutan, budaya, kesihatan awam dan pelancongan.

Sejurus selepas sidang itu, Baginda Sultan dan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan China menyaksikan penandatangan Memorandum of Understandingan between the People's Republic of China dan the Association of Southeast Asian Nation on Strengthening Sanitary and Phytosanitary Cooperation.

Setiausaha Agung ASEAN Ong Keng Yong menandatangani bagi pihak pertubuhan itu manakala Menteri Pentadbiran Awam Pengawasan dan Pemeriksaan Kualiti serta Kuarantin China, Li Changjiang mendatangani bagi pihak kerajaannya.

Pada sebelah malam, Baginda Sultan berangkat menghadiri jamuan makan malam yang diberikan oleh Perdana Menteri Lee dan isterinya, Puan Ho Ching bagi meraikan pemimpin-pemimpin yang menghadiri persidangan itu.

Yang berangkat sama ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar. (DI PETIK DARI MEDIA PERMATA)

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.