Perkembangan BIMP-EAGA memuaskan

 
 
Oleh Salawati Haji Yahya dan Sim Y H

NOVEMBER 20, 2007 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan Asia Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) keempat di Singapura.

Mesyuarat itu dihadiri ketua negara dan kerajaan dari Indonesia, Malaysia dan Filipina dengan pemimpin membincangkan perkembangan dan kerjasama BIMP-EAGA.

Pada mesyuarat itu, Baginda Sultan melahirkan rasa puas hati atas perkembangan yang dilaksanakan sepanjang tahun dan mengalu-alukan penandatanganan dua Memorandum Persefahaman dalam sektor pengangkutan yang dijangka akan meningkatkan lagi rangkaian perhubungan di rantau BIMP-EAGA.

Baginda Sultan juga mengalu-alukan inisiatif seperti Nadi Borneo (Heart of Borneo) dan Sulu-Sulawesi-Marine Eco Region yang mencerminkan sumbangan BIMP-EAGA dalam menangani perubahan iklim.

Dalam hubungan itu, Baginda Sultan juga mengalu-alukan negara anggota untuk bekerjasama bagi mendapatkan sokongan dan bantuan masyarakat antarabangsa.

Ketua negara dan kerajaan turut membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama di antara negara anggota BIMP-EAGA dalam pelbagai bidang termasuk memudahkan perdagangan, pengangkutan, pelancongan, alam sekitar serta bidang sosial dan kebudayaan.

Ketua negara dan kerajaan BIMP-EAGA dalam kenyataan bersama turut mengalu-alukan pencapaian yang diperolehi menerusi perlaksanaan Peta Jalan Pembangunan BIMP-EAGA 2006-2010 serta menyokong keputusan bagi menteri-menteri BIMP-EAGA untuk membuat Semakan Separuh Penggal yang komprehensif pada 2008 terhadap peta jalan itu bagi memastikan tindakan dan projek yang dijalankan adalah relevan.

Mereka turut mengalu-alukan menteri pengangkutan yang memeterai Memorandum Persefahaman terhadap Perjalanan Rentas Sempadan bagi Bas Komersial dan MOU terhadap Penubuhan dan Mempromosikan Rangkaian Hubungan Laut yang cekap dan bersepadu dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-13 di Singapura pada 2 November 2007.

Mereka juga menyatakan rasa yakin yang inisiatif pengangkutan berkenaan akan mempromosikan pertumbuhan pesat sistem pengangkutan pelbagai kaedah dalam EAGA dan memudahkan perjalanan barangan, perkhidmatan, pelaburan dan penduduk merentas sempadan serantau.

Ketua negara dan kerajaan BIMP-EAGA turut menyokong keputusan Menteri Pengangkutan untuk menetapkan lapangan terbang tambahan dengan Hak Kebebasan Penuh Kelima di bawah MOU Perluasan Rangkaian Penerbangan iaitu Manado dan Tarakan, Indonesia, Wilayah Persekutuan Labuan dan Miri, Malaysia serta Puerto Princesa dan General Santos, Filipina.

Mereka juga mengalu-alukan peningkatan jumlah perkhidmatan penerbangan yang berminat untuk memberikan perkhidmatan penerbangan di rantau BIMP-EAGA serta mengarahkan Menteri Pengangkutan dan Pelancongan untuk mengambil tindakan bersama dalam memastikan laluan yang sedia ada akan berkekalan serta memastikan laluan serantau yang baru ditubuhkan pada 2008.

Pemimpin menyarankan agensi kastam, imigresen, pengasingan dan keselamatan untuk mengukuhkan kerjasama secara berterusan dalam meningkatkan penubuhan sempadan mengikut keutamaan pelabuhan pilot dan merentas sempadan iaitu General Santos, Filipina-Bitung, Indonesia, Zamboanga, Filipina-Sandakan, Malaysia, Muara, Brunei-Labuan, Malaysia dan Entikong, Indonesia-Tebedu di Malaysia.

Pemimpin BIMP-EAGA menyokong cadangan menteri BIMP-EAGA untuk menggunakan Konsep Koridor Ekonomi yang memberikan keutamaan kepada bidang-bidang yang mempunyai lebih banyak hubungan dan kegiatan ekonomi. Mereka berkongsi harapan bahawa cadangan koridor ekonomi BIMP-EAGA itu akan mempercepatkan penyatuan pengangkutan, ekonomi serta inisiatif dan program sosial dengan penubuhan rangkaian zon ekonomi istimewa yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Pemimpin BIMP-EAGA juga akan memberikan sokongan berterusan kepada sektor swasta terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menjana peluang perniagaan yang akan meningkatkan jumlah pekerjaan dalam bidang ekopelancongan dan agroindustri termasuk menggalakkan penubuhan usaha sama syarikat perikanan di kalangan negara anggota.

Pada sebelah malam, Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri jamuan makan malam tidak formal yang diadakan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bagi ketua negara dan kerajaan ASEAN yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke 13 di Hotel Shangri-La Singapura.

Terdahulu daripada itu, Baginda Sultan berkenan berangkat mengadakan perjumpaan dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di Shangri-La Hotel Singapura.

Pada perjumpaan itu, Baginda Sultan dan Perdana Menteri Malaysia bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dengan kedua-dua pihak melahirkan rasa puas hati atas hubungan erat kedua-dua negara.

Baginda Sultan dan Perdana Menteri Malaysia turut membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam beberapa bidang seperti perdagangan, pelaburan asing dan hak kepentingan bersama.

Selain itu, Baginda Sultan dan Perdana Menteri Malaysia turut membincangkan hal ehwal serantau dan antarabangsa.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.