'Meng-gomen-kan' politikus menghambat usaha pembaharuan politik

 
 

LIMBARUH HIJAU 26 JANUARI 2007: Pentafsiran salah dasar Kerajaan tidak membenarkan anggota-anggota perkhidmatan awam terlibat dengan kegiatan politik atau dengan mana-mana pertubuhan politik terus menghambat perkembangan pertubuhan politik di negara ini yang dibenihkan dengan semangat pembaharuan politik yang dilaungkan sejak lebih 2 tahun lepas.


AJK Panitia Kongres rancak membincangkan agenda Kongres Agong NDP Kedua

Sejak lebih 2 tahun lepas isyarat-isyarat terus dihantar kepada rakyat bahawa proses pembaharuan dalam arena politik sedang dijalankan di negara ini. Majlis Mesyuarat Negara yang digantung sejak lebih 20 tahun lalu dihidupkan semula dan sebuah bangunan parlimen pertama sedang dalam proses pembinaan.

Kedua-dua institusi ini melambangkan komitmen KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan yang Di Pertuan dan Kerajaan Baginda membawa perubahan kepada arena politik tanah air dimana rakyat sebelum ini hanya berperanan sebagai penonton yang hanya pandai bersorak menyokong dan mengeritik jika ada kepincangan di kedai-kedai kopi dan di kenduri kendara.

Dasar kerajaan tidak membenarkan anggota-anggota perkhidmatan awam yang masih berkhidmat bergiat dalam politik sangat bertepatan sekali dalam proses pembaharuan politik; Ini jika diambil kira pentingnya kedudukan mereka sebagai kakitangan kerajaan semestinya tidak berkecuali dan diatas politik.

Dasar ini sebenarnya tidak menjadi persoalan kepada pelaku-pelaku di arena politik tanah air yang semakin rancak 'bermain' politik dalam krangka ideologi Melayu, Islam, Beraja.

Apa yang sebenarnya menjadi persoalan dan membuatkan ahli-ahli parti politik terkilan ialah, dalam pentafsiran dan perlaksanaan dasar tersebut terdapat semacam usaha 'meng-gomenkan' atau 'meng-kerajaankan' orang politik.

Isu 'meng-gomenkan' orang politik ini telah dibincangkan kemarin di mesyuarat ketiga ahli-ahli Jawatankuasa Panitia Kongres NDP Kedua apabila perbincangan beralih kepada agenda mengenai penyusunan usul-usul yang akan dibawa ke kongres nanti.

Mengenai perkara ini ahli-ahli JK Panitia Kongres NDP Kedua dimaklumkan bahawa satu berita telah diterima mengenai kemungkinan NDP akan kehilangan seorang lagi pemimpinnya yang berwibawa yang kononnya akan ditawarkan jawatan selaku ahli Lembaga Bandaran Daerah Tutong.

Sebelum ini NDP telah kehilangan 2 orang pemimpin tertingginya yang juga telah ditawarkan jawatan selaku ahli Lembaga Bandaran; seorang di Daerah Belait dan seorang lagi di Daerah Tutong.

Kedua-dua mereka telah terpaksa mengundurkan diri dari NDP kerana perlantikan tersebut dengan sendirinya mendefinasikan kedudukan mereka dalam Lembaga Bandaran sebagai kakitangan perkhidmatan awam walaupun pada dasarnya mereka duduk atas kapisiti mereka sebagai wakil sektor swasta. Dan selaku anggota perkhidmatan awam, mereka tertakluk dibawah akta perkhidmatan awam dimana salah satu prasyaratnya apabila mereka masuk gomen, mereka tidak dibenarkan melibatkan diri dalam mana-mana pergerakkan politik.

Apa yang menjadi kemuskilan NDP, 'peng-gomenan' orang politik melalui perlantikkan mereka menduduki 8 kerusi yang disediakan bagi sektor swasta dalam Lembaga Bandaran menyekat lagi peluang ahl-ahli badan-badan politik berpartisipasi secara langsung dalam pembangunan bangsa dan negara melalui pelantar dibawah pentadbiran kerajaan yang diwujudkan khusus untuk memberikan perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

Dalam erti kata yang lain perwakilan rakyat dalam badan-badan kerajaan seperti dalam Lembaga Bandaran dan juga dalam Majlis Perundingan Mukim dan Kampong hanya dihadkan kepada mereka yang tidak bergiat dalam politik. Ahli-ahli perniagaan, wakil-wakil badan korporat, pemimpin-pemimpin pertubuhan NGO atau non-gomen (non-kerajaan) dan individu yang non-politikal antaraya yang boleh duduk sebagai wakil masyarakat masing-masing akan tetapi bagi mereka yang begiat dalam politik dan mewakili golongan masyarakat berpolitik, mereka hanya boleh memainkan peranan masing-masing dari luar 'pagar' sahaja.

NDP melihat pentafsiran dan perlaksanaan dasar ini sangat bercanggah dengan semangat pembaharuan politik yang cendrung kepada memberikan ruang dan peluang yang lebih meluas kepada rakyat memainkan peranan dan berpartisipasi dalam usaha bersama menyokong KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Kerajaan Baginda membangun bangsa dan negara. Ini dalam kontek jika sekiranya kewujudan badan-badan kerajaan seperti Lembaga Bandaran, Majlis Perundingan Mukim dan Kampong dihasratkan untuk memberikan peluang kepada konsep muzakarah dan muafakat antara kerajaan dan semua lapisan masyarakat dihayati dalam merealisasikan objektif penubuhan badan-badan tersebut dan perlaksanaan misi-misi nya.

Apa yang menjadi kekhuatiran ahli-ahli NDP ialah kemungkinan-kemungkinan perlaksanaan dasar ini boleh dipeluaskan dan dilaratkan kepada keahlian dalam Majlis Mesyuarat Negara yang juga merupakan institusi kerajaan.

Ahli-ahli JK Panitia Kongres NDP Kedua dalam perbinacangan mereka meluahkan kerisauan jika perkara ini berlaku, Majlis Mesyuarat Negara dan bagunan parlimen akan tinggal menjadi lambang sahaja dan menjadi momokan bukan sahaja dalam negeri malahan di arena antarabangsa. mho

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.