Pensejarahan semula penawar wabak trauma politik

 
 
LIMBARUH HIJAU 07 APRIL 2007: Sangat penting bagi pihak-pihak yang berkenaan dan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk parti-parti politik mengambil langkah serious untuk membetulkan sejarah dengan memuliakan dan memurnikan semangat nasionalisma dan patriotisma generasi terdahulu termasuk pejuang-pejuang kemerdekaan yang sudah pergi meninggalkan kita.

Sdra Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menekankan perkara ini di sesi muzakarah antara ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP, Ketua-ketua Jawatankuasa dalam MT dengan Pengerusi Tetap NDP dan beberapa orang ahli Lembaga Penasihat NDP yang berlangsung baru-baru ini di Fresh Air Café di Kampong Lumut.

Perbincangan hangat mengenai pensejarahan sambil Timbalan Presiden sdra Morshidi mendengarkan dengan teliti
“Sejak kebelakangan ini NDP terutama sekali saya sendiri selalu mengungkap kembali tentang sejarah perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu iaitu Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, A.M Azahari dan rakyat sendiri melalui pelantar Parti Rakyat Brunei yang merupakan parti politik terbesar di zaman 50an dan 60an”.

“Tujuan kita semata-mata untuk membetulkan sejarah perjuangan yang seghaja diputar belitkan oleh pejajah yang telah melabel dan memberus muka-muka pejuang yang terdahulu sebagai penderhaka sehingga mengabui mata hati kita untuk melihat dan memurnikan semangat perjuangan mulia orang-orang terdahulu".

" Usha ini juga telah berjaya menjarakkan hubungan erat yang tulen yang telah lama wujud antara Istana dan rakyat. Dalam masa yang sama kita ingin mengenegahkan kesamaan dan kesatuan semangat antara Istana dengan rakyat dalam memperjuangkan kemerdekaan negara agar ianya menjadi pemangkin dalam usaha kita mengukuhkan jati diri kita sekarang dan generasi akan datang”.

“Usaha pensejarahan semula ini juga merupakan salah satu usaha penting dalam usaha kita memperkasa iltizam kita menjunjung titah membangun bangsa. Dalam usaha pensejarahan semula ini kita lebih cenderung melihat elemen-elemen perjuangan yang sihat diketengahkan bukannya perkara-perkara negatif yang remeh temeh dan berupa fitnah semata yang hanya boleh menjadikan penghalang kepada generasi sekarang untuk berani bangkit memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan raja, negara, bangsa dan agama jika digugat oleh anasir-anasir jahat”.


“Setentunya dalam apa jua pergolakkan politik dan insiden yang tercetus akan terdapat mangsa keadaan (victims of circumstances). Masalah sekarang isu-isu mangsa keadaan berikutan tercetusnya insiden 8 Disember 1962 menjadi isu utama sehingga mengabui pemandangan kita semua terutama generasi selepas 1960an akan kemuliaan dan kemurniaan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu itu”, jelas sdra Morshidi.

Beliau menekankan persepsi yang salah ini membuatkan kita gagal melihat siapa sebenarnya dalang hingga tercetusnya insiden tersebut dan ianya akan terus menjadi halangan psikologi kepada usaha untuk mengubati luka lama yang masih terbuku dihati pejuang-pejuang terdahulu yang masih hidup dan anak cucu pejuang-pejuang yang terdahulu yang terus bernafas dengan stigma insiden 8 Disember 1962 itu.

Dalam masa yang sama, tambahnya, persepsi yang salah ini juga akan terus menyuburkan trauma yang dihadapi oleh pejuang-pejuang lama yang masih hidup, anak-anak cucu mereka dan anak-anak cucu pejuang-pejuang yang lebih awal meninggalkan kita hingga ia berjaya menjangkiti semua lapisan rakyat terutama sekali generasi baru.

Justeru dalam konteks inilah kita perlu berusaha membetulkan sejarah yang tidak tepat dan menimbulkan elemen–elemen positif dalam sejarah perjuangan pemimpin-pemimpin dan rakyat terdahulu agar ia dapat menjadi pendorong kepada generasi sekarang dan akan datang untuk terus berpegang kepada semangat cintakan raja, negara dan bangsa dengan penuh tulus ikhlas dan tulen, bukannya dibuat-buat dan disuburkan dengan elemen-elemen yang tidak dapat menjamin cinta sejati rakyat kepada raja, negara dan bangsa, ujar sdra Morshidi.

Tambahnya lagi dengan adanya semangat seperti ini akan dapat memudahkan kita menggerakkan semangat nasionalisma dan patriotisma rakyat hingga menjadi kekuatan dan power base yang kukuh bagi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan zuriat Baginda untuk terus memimpin negara kearah kecemerlangan sebagai sea negara yang terus merdeka, berdaulat, aman, makmur dan sejahtera dibawah perlindungan Allah S.A.T.

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.