LIMBARUH HIJAU 09 NOVEMBER 2007 - MASALAH PENURUNAN kutipan zakat harta yang sangat ketara pada tahun 2007 menarik perhatian sirius Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan membuatkan Baginda terkilan kenapa, mengapa dan apa yang menyebabkan perkara itu berlaku.
Adakah ia berpunca dari penurunan ekonomi ataupun ada kaitan dengan perubahan sikap? Jika disebabkan perubahan sikap mengapakah ia berubah? tanya Baginda sambil merujuk statistik pada 2006 yang memaparkan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat hanya berhasil mengutip $8.8 juta berbanding pada 2005 dengan kutipan sebanyak $18.9 juta.
Justeru dalam titah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2007 Baginda Sultan menggesa pihak yang berkenaan supaya menangani masalah itu dengan mengadakan kajian yang terperinci untuk mencari punca mengapa kemerosotan atau penurunan itu berlaku.
Baginda Sultan berpendapat tentu ada faktor yang menyebabkannya berubah sama ada faktor dalaman daripada dalam diri masyarakat sendiri ataupun faktor lain.
Adapun faktor dalaman itu, titah Baginda Sultan mungkin saja bersebab daripada keyakinan masyarakat terhadap mekanisme zakat yang belum lagi mantap, yang menjadikannya satu daripada punca hasil kutipan zakat tidak tetap atau turun naik dengan ketara.
"Jika betul ia berpunca daripada faktor dalaman yang bernama 'keyakinan', maka kita amat bimbang ia akan berlarutan jika tidak dipedulikan."
Sehubungan itu titah Baginda Sultan pihak berkenaan seharusnya tidak hanya setakat mengemukakan fakta dan data tetapi lebih penting lagi menanganinya dengan mengadakan kajian terperinci mengapa kemerosotan atau penurunan itu berlaku.
"Ini akan memberikan kita maklumat yang berguna dan seterusnya membuka jalan ke arah mengesankan lagi cara pengendalian zakat serta sekali gus mengatasi masalah," titah Baginda Sultan.
Apa yang dipersoalkan Baginda Sultan itu tepat sekali iaitu terdapatnya kepincangan dalam sistem pengendalian zakat di negara ini dan pihak-pihak tertentu Alhamdulillah sekarang sudah memberikan perhatian sirius kepada isu ini dengan matlamat untuk meperbaki lagi keberkesanan sistem pengurusan dan pengendalian zakat di negara ini.
Baru-baru ini Kementerian Hal Ehwal Ugama mengambil inisitif mengadakan mesyuarat bersama pegawai-pegawai kanan di Kementrian dan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat untuk membincangkan masalah tersebut.
Walaupun kita terkilan kenapa baru ini hendak mengkaji dan memperbaiki sistem pengendalian zakat setelah di tegur oleh Baginda Sultan namun kita berharap pihak kementerian akan berjaya dalam usaha memberikan perkhidmatan yang berkualiti dalam mengendali zakat di negara ini.
Kita yakin pihak kementerian yang telah berjaya memperbaiki sistem penempatan jenazah-jenazah di tanah-tanah perkuburan seluruh negara dengan memperkenalkan sistem berkomputer juga mempunyai keupayaan untuk menginovasi dan melaksanakan sistem pengurusan dan pengendalian zakat dengan menggunakan teknologi moden yang lebih canggih.
Parti Pembanguna Bangsa (NDP) dalam hal ini telah mencadangkan dalam Manifesto politik parti bagi 2006 - 2016 agar pihak-pihak berkenaan dapat
melaksanakan sistem pemungutan dan agihan zakat mengikut kaedah yang lebih efektif.
Pihak-pihak berkenaan perlu menilai semula sama ada sistem yang digunakan sekarang terlalu konservatif dan perlu di modenkan agar lebih sesuai dan dapat memenuhi kehendak masa dan zaman info komunikasi yang mencabar ini.
NDP melihat dengan sistem yang lebih canggih dan melalui peruntukan undang-undang serta penggunaan teknologi moden, dapat dipastikan mereka yang wajib mengeluarkan zakat akan melunaskannya tanpa gagal dan mereka yang berhak akan menerimanya mengikut lunas-lunas syarak.
Dalam memastikan pungutan zakat akan terus mengingkat dan masa ke semasa NDP juga melihat perlunya sisem yang disediakan bukan sahaja canggih dari segi teknologinya malahan mempunyai sistem bayaran zakat yang mudah dan mesra pengguna.
Selain pengunaan teknologi moden NDP juga melihat perlunya langkah meningkatan lagi sistem pengurusan dan pengendalian zakat dengan memperkenalkan satu sistem pengurusan berbentuk koporat yang berdaya maju.
Dengan memperkenalkan cara korporat dalam pengurusan zakat akan dapat mengikis pandangan masyarakat terhadap institusi keagamaan sebagai institusi yang terus mengamalkan sistem konservatif.
Dalam masa sama kita juga yakin dengan memperkenalkan sistem pengurusan yang mesra koporat ini nanti Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat akan lebih mudah mendekati sektor korporat yang merupakan antara penyumbang kutipan zakat di negara ini.