JABATAN Pertanian mencatatkan hasil pengeluaran buah-buahan yang dihasilkan oleh kumpulan peladang luar bandar di daerah Belait menurun kepada 39 peratus pada tahun 2006.
Hasil pengeluaran sejumlah 141 tan metrik pada tahun 2005 di catatkan menurun kepada sejumlah hanya 91 tan metrik hasil buah-buahan pada tahun lalu.
Pegawai Daerah Belait Awang Haji Mohamad bin Haji Abd Rahman semasa berucap pada Majlis Pesta Agri-Makanan 2007 sempena sambutan perayaan ulangtahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam ke 61tahun bagi daerah Belait Rabu lalu menyatakan penurunan hasil keluaran itu adalah berpunca daripada sebahagian besar kawasan KPLB tidak diusahakan dengan penuh komitmen oleh peladang-peladangnya.
Menurutnya terdapat sebanyak tiga ladang KPLB telah diluluskan di daerah ini yang melibatkan kawasan tanah seluas 317 hektar dan seramai 392 peserta peladang yang mengusahakannya, bagaimanapun daripada jumlah tersebut hanya kira-kira 66 peratus sahaja yang aktif.
Bagaimanapun menyentuh tentang padi beliau menyatakan hasil pengeluarannya pada musim 2005/2006 telah meningkat kepada tiga peratus berjumlah 475 tan metrik berbanding dengan 462 tan metrik pada tahun sebelumnya.
Pesta Agri-Makanan yang diadakan selama seminggu di kawasan letak kereta Tudong Saji Kuala Belait dijangka berakhir pada 1hb Ogos.
Sepanjang pesta yang bertema Ke Arah Kecemerlangan Dalam Agribisnes telah memfokuskan konsep pertanian kepada makanan asas tani bagi mengetengahkan peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang bergiat aktif dalam memproses asas tani.
Penyertaan pengusaha-pengusaha tersebut juga dipertandingkan melalui kategori pertandingan gerai jualan yang dibahagikan kepada enam kumpulan, produk makanan yang diproses, peralatan untuk memproses, pembungkusan dan bahan input pertanian, makanan segera, lanskap, tanaman hiasan dan semaian, kraftangan dan anyaman dan buah-buahan, sayur-sayuran dan lain-lain produk tanaman.
Salah seorang daripada wanita ahli Parti Pembangunan Bangsa yang kini sedang menggiatkan perusahaan pembuatan mee di daerah ini, Dayang Hajah Saibah binti Haji Hassan juga merupaka di kalangan peniaga-peniaga yang menyertai gerai jualan dan pameran sepanjang pesta Agri-Makanan tersebut.
Beliau merupakan wanita Ibu Tunggal yang bergiat aktif dalam bidang perniagaan, menunjukkan kemampuannya menyaingi pengusaha-pengusaha lain dengan penuh ketekunan dan keberanian dengan membawa satu harapan maju terus maju.
Pada masa ini beliau sedang giat memajukan perusahaan kilang pembuatan mee kuning, mee teow dan makanan lainnya dengan di bantu oleh beberapa orang pekerjanya.(HSK)