Pemuda NDP di seru ta'at setia kepada Sultan

 
 
SUNGAI PANDAN KB 15 DISEMBER 2006: Pemuda-pemuda Parti Pembangunan Bangsa (NDP) di seru agar terus ta'at setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullahm, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan zuriat Baginda.

Mereka juga di seru agar terus memperkukuhkan semangat nationalis dan patriotik terhadap bangsa dan negara.


"Kita hanya ada satu raja iaitu KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Baginda merupakan raja yang adil dan sangat perihatin terhadap kemaslahatan rakyat dan penduduk negara ini. Baginda seorang raja yang sentiasa berusaha memelihara kesucian Islam. Dari itu kita wajib ta'at dan setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda".

"Pemuda-pemuda NDP wajib punya semangat yang tinggi dan bersedia mempertahankan dan meperjuangkan kedaulatan KDYMM dan zuriat Baginda sebagai pengganti Baginda. Dengan semangat yang jitu ini pemuda-pemuda NDP tidak akan rela melihat kedaulatan raja dicabar", tegas sdra Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP di sesi muzakarah dengan belia-belia NDP Belait pada petang Selasa baru ini.

Sesi muzakarah berlangsung di markas NDP Belait di Jalan Sungai Pandan Kuala Belait.

Dalam sesi muzakarah itu sdra Morshidi juga menyeru belia-belia NDP Belait supaya terus menyuburkan semangat nasionalisma dan semangat patriotik dengan menghormati dan menanai konsep bernegara Melayu Islam Beraja.

Ujarnya belia-belia wajib terus berwaspada terhadap anasir-anasir negatif yang cuba mempengaruhi mereka dengan konsep-konsep asing yang tidak sesuai dengan konsep bernegara kita yang sudah sekian lama memberikan jaminan keamanan dan kemakmuran kepada negara dan bangsa.
Beliau juga menekankan pentingnya belia-belia menyedari nilai diri mereka sebagai aset negara dan modal insan yang perlu terus maju dan membangun dan bersedia mengambil tanggungjawab memastikan Brunei selama-lamanya menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja, aman makmur dan sentiasa mendapat keampunan Allah.
Tidak kurang penting, tambah sdra Morshidi, belia-belia mestilah sentiasa menyedari bahawa mereka mempunyai potensi masing-masing yang boleh dikembang majukan. Tegasnya NDP akan sentiasa mendampingi mereka dan membantu mereka mengunakan potensi mereka untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.
Sementara itu Tuan Haji Abdul Rahman Yusuf, Pemangku Pengerusi Tetap NDP juga turut menyeru belia-belia NDP agar tidak lalai dengan keseronokkan-keseronokkan dunia hingga membuatkan mereka kurang jelas dengan hak-hak mereka selaku rakyat di negara ini.

"Adalah sangat penting bagi kamu mengenali hak-hak kamu dan juga tanggungjawab kamu sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam", tegas Tuan Haji Abdul Rahman.
Untuk menyuntik belia-belia dengan semangat perjuangan yang tinggi, Ayahnda Yasin Affand pula menekankan pentingnya belia-belia tidak mudah putus asa dan jemu dalam perjuangan membela nasib rakyat dan masa depan negara.

"Walaupun sudah lebih 40 tahun saya berjuang namun semangat saya masih kuat. Mungkin fisikal saya sudah tidak sekuat seperti dahulu dan sekarang bertongkat, akan tetapi semangat saya belum bertongkat", ujar Ayahnda Yasin Affandy.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.