NDP sedia sumbangkan pemimpin-pemimpin

 
 

LIMBARUH HIJAU 4 FEBRUARI 2007: HARAPAN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) menjadikan Limbaruh Hijau sebagai pusat melahirkan pemimpin-pemimpin akar umbi yang benar-benar berjiwa rakyat, berjiwa nasional dan bersemangat patriotisma yang tinggi yang bersedia berkhidmat secara langsung kepada negara melalui pelantar-pelantar non-politik dibawah naungan panji-panji kerajaan semakin menjadi kenyataan.

Sehingga kehari ini, 3 orang pemimpin-pemimpin kanan NDP yang hampir setahun berbasah, berkaring berluai di arena politik bersama pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP yang lain telah diserapkan menjadi ahli Lembaga Bandaran; iaitu 2 dari mereka menjadi Lembaga Bandaran Tutong dan 1 lagi menjadi ahli Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Selaku ahli-ahli Lembaga Bandaran pemimpin-pemimpin berkenaan tidak lagi dibolehkan bergiat aktif memberikan khidmat jasa baik mereka kepada bangsa, negara dan raja melalui pelantar NDP atau mana-mana pelantar politik yang lain. Sebagai ahli Lembaga Bandaran, mereka terikat dengan Akta Perkhidmatan Awam yang tidak membenarkan mana-mana pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam menjalin hubungan dan menjadi ahli kepada mana-mana badan politik di negara ini dan juga diluar negara.

Justeru kesediaan mereka meninggalkan dunia politik demi untuk meneruskan perjuangan mereka memberikan khidmat kepada bangsa, negara dan raja merupakan satu pengorbanan besar.

Sehubungan dengan itu, Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy ketika diminta memberikan pandangan mengenai perkembangan ini merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pemimpin-pemimpin berkenaan atas penghormatan dilantik menjadi ahli-ahli Lembaga-lembaga Bandaran tersebut.

Beliau juga mengucapan syabas atas pengorbanan mereka meninggalkan dunia politik untuk merebut peluang meneruskan perjuangan mereka membela bangsa dan negara melalui pelantar Lembaga Bandaran.

"Walaupun mereka sudah di 'gomen' kan dan tidak lagi diberikan kebebasan berpolitik tidak bererti mereka tidak boleh meneruskan usaha memberikan khidmat mereka kepada bangsa, negara dan raja. Mereka masih lagi boleh memainkan peranan masing-masing tidak kira dari atas pelantar mana sekali pun", tegas Ayahnda Yasin Affandy.

Kepada Lembaga-lembaga Bandaran tersebut, Ayahnda Yasin Affandy juga mengucapkan tahniah kerana dengan bijak memilih pemimpin-pemimpin NDP untuk diserapkan kedalam badan-badan kerajaan.

"NDP akan terus bersedia melepaskan lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin parti kepada agensi-agensi kerajaan jika diperlukan", ujar Ayahnda Yasin Affandy.

"Antara harapan NDP ialah untuk melahirkan pemimpin-pemimpin baru keluaran Limbaruh Hijau. Aspirasi NDP ialah untuk menjadikan Limbaruh Hijau umpama tasek hijau yang melahirkan pemimpin-pemimpin yang berkaliber, berjiwa rakyat, berjiwa nasionalis dan bersemangat patriotisma yang tinggi".

"Kita senghaja megabadikan markas NDP dengan nama Limbaruh Hijau iaitu sebuah nama yang diilhamkan dari nama Limbaruh Buntar di Subok. Limbaruh Buntar ialah sebuah tasek yang indah yang menyimpan sejarahnya tersendiri. Air tasek Limbaruh Buntar mengalir ke Sungai Kianggeh. Sumber air Limbaruh Buntar dan juga Sungai Kianggeh pernah membasahi tubuh-tubuh ramai tokoh-tokoh pemimpin negara dan juga pejuang-pejuang bangsa tanah air. Limbaruh Buntar dan Sungai Kianggeh pada satu ketika dulu ialah tempat bergalau tokoh-tokoh seperti H.M Saleh, Allahyarham Professor Mahmud Saedon Othman, A.M Azahari, YAM Pengiran Sanggamara Diraja (Retired) Major General Pengiran Haji Ibnu Basaith, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, YAM Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin, bekas Menteri Undang-undang dan YAM Pengiran Putera Negara Pengiran Haji Umar, bekas Pesuruhjaya Polis", ujar Ayahnda Yasin Affandy lagi.

Tambahnya sejarah tersendiri Limbaruh Buntar tersebut memberikan inspirasi untuk menjadikan markas NDP sebagai sebuah limbaruh hijau yang akan melahirkan pemimpin-pemimpin yang berjiwa rakyat dan bersemangat patriotisma. Kita mahu melihat dari limbaruh hijau ini nanti mengalir semangat bernegara, berbangsa dan bermasyarakat yang tinggi dan tercetus dari limbaruh hijau ini keseluruh pelusuk negara semangat cintakan bangsa, negara dan raja yang mendalam, tambah Ayahnda Yasin Affandy lagi.

Dari itu inisiatif yang diambil oleh Lembaga Bandaran sangat bertepatan dengan semangat NDP untuk menyalurkan khidmat bakti kepada bangsa, negara dan raja sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dengan langkah menyerapan pemimpin-pemimpin NDP kedalam agensi-agensi kerajaan memberikan semacam perangsang kepada NDP untuk melahirkan lagi lebih ramai pemimpin yang boleh dipinjamkan kepada kerajaan, tambahnya.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.