Pemimpin Asean Meterai Piagam

 
 

SINGAPURA, 21 Nov -- KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN Haji Hassanal Bolkiah Mu;izzaddin Waddaullah, Sultan danYang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan pemimpin-pemimpin Asean yang lain kelmarin menandatangani Piagam Asean yang memberikan kumpulan berusia 40 tahun itu satu landasan perundangan dan mengubah wajahnya daripada satu himpunan longgar negara-negara serantau kepada satu yang terikat dengan peraturan.

Baginda Sultan dan rakan-rakan Asean yang lain menurunkan tandatangan pada dokumen setebal 40 muka surat itu di akhir Sidang Kemuncak Asean ke-13 di sini.

Piagam itu menggariskan prinsip-prinsip pegangan Asean selain bagi menubuhkan sebuah badan hak asasi manusia Asean, mengukuhkan Sekretarik Asean di Jakarta serta menetapkan kriteria kemasukan anggota baru dan bagi menyelesaikan pertikaian.

Namun, piagam itu mendapat kritikan kerana tidak memasukkan tindakan hukuman seperti sekatan atau penyingkiran terhadap negara anggota yang ingkar.

Piagam itu memberi penekanan kepada pendirian Asean untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara anggota, dan ini dianggap oleh pengkritik sebagai melindungi negara anggota yang rekod hak asasinya boleh dipertikaikan seperti Myanmar. Ia juga mengulangi cara Asean membuat keputusan berdasarkan kepada rundingan dan pemuafakatan tetapi, jika pemuafakatan ini tidak dapat dicapai, Sidang Kemuncak Asean boleh membuat keputusan yang khusus.

Jika berlaku kes melanggar atau tidak mematuhi piagam ini secara serius, perkara itu boleh dirujuk kepada Sidang Kemuncak untuk mendapatkan keputusan, menurut piagam itu.

Selepas ditandatangani hari ini, piagam itu perlu pula mendapat pengesahan di setiap negara anggota dan ini dijangka mengambil masa setahun.

Myanmar yang menjadi perhatian ekoran tindakan kerasnya mematahkan perhimpunan anti-kerajaan pada September lepas, mungkin menjadi halangan kepada Asean dalam mendapatkan persetujuan yang menyeluruh.

Filipina sudahpun menyatakan ia tidak akan memberi pengesahan kepada piagam itu jika Myanmar tidak kembali mengamalkan demokrasi dan membebaskan pemimpin pembangkang Aung San Syu Kyi.

Setiausaha Agung Asean Ong Keng Yong mempertahankan piagam itu dengan berkata : "Piagam Asean memainkan peranannya dalam tiga kaedah iaitu memberikan Asean satu wajah perundangan, membolehkan sistem akauntabiliti dan sistem pematuhan institusi diperkukuhkan, dan memantapkan kedudukan Asean sebagai satu kuasa serantau yang serius.

Apabila perlu, Asean mungkin membentuk mekanisme baru bagi menyelesaikan pertikaian tetapi pertikaian dalam komuniti ekonomi Asean akan dirujuk kepada protokol Asean 2004.

Piagam itu juga membolehkan empat Timbalan Setiausaha Agung dilantik dengan status sebagai timbalan menteri. Mereka ini tidak dari negara yang sama dan juga bukan dari negara asal setiausaha agung.

Dua daripada mereka dilantik daripada kalangan negara Asean berdasarkan penggiliran mengikut abjad manakala dua lagi dipilih secara terbuka berdasarkan merit.

Mengenai kriteria bagi kemasukan anggota baru, piagam itu menetapkan bahawa negara itu hendaklah dari lokasi yang diterima sebagai rantau Asia Timur, diterima oleh semua negara Asean, dan mempunyai kemampuan dan kesanggupan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai negara anggota.

-- (SUMBER BERITA DARI BERNAMA)

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.