LIMBARUH HIJAU 20 MEI 2007: PERJUANGAN adalah satu perjalanan yang tidak ada noktahnya dan dalam perjalanan yang panjang ini perlu ada pada diri satu peggangan yang kuat dan iltizam yang tinggi untuk terus mengabdikan diri kepada agama, bangsa, negara dan raja tanpa mengharapkan imbalan yang berbentuk kebendaan seperti pangkat dan harta kekayaan.
Kita berjuang dan mengabdikan diri kepada bangsa dan negara bukan untuk mencari nama akan tetapi mencari kebahagiaan sejati dan keredhaan Allah apabila dapat memenuhi fitrah kita sebagai manusia yang dijadikan Allah sebagai khalifah di muka bumi ini untuk memakmurkan bumiNya.
Akan tetapi dalam perjalanan kita menuju kearah kebahagiaan ini, apatah lagi jika kita berjalan diatas pelantar parti politik, kita akan banyak mengahadapi cabaran dan pahit maung yang memerlukan kita mempunyai kekuatan dan iltizam yang tinggi untuk terus melihat kearah matlamat yan dituju itu.
"Ia umpama satu pelayaran. Dalam pelayaran itu kita akan mengharungi angin ribut dan ombak besar yang akan sentiasa memukul dan mengoncang bahtera kita. Apakah kita mesti terlalu risau dengan angin kencang dan ombak besar atau kita seharusnya bertenang menumpukan perhatian kepada usaha mengemudi bahtera kita melalui badai dan ombak besar itu hingga kita samapai ke penghujung dengan selamatnya?", tanya Ayanda Yasin Affandy.
"Pahit maung hidup dalam perjuangan adalah perkara biasa dan bagi saya dua pertiga dari hidup saya sudah melaluinya. Alhamdullilah ianya tidak pernah melunturkan semangat saya untuk terus memberikan khidmat bakti saya kepada agama, bangsa, negara dan raja dan jika di izinkan biarlah hingga ke akhir hayat saya", tambahnya lagi.
"Pahit maung yang saya lalui inilah yang menjadi pendorong kepada diri saya untuk terus berjuang dan menjadi satu kekuatan kepada saya untuk terus memberikan khidmat saya kepada raja, bangsa dan negara yang saya cintai ini", ujarnya kemarin di majlis kecil sempena memperinagti hari kelahiran beliau 85 tahun yang lalu.
Majlis hari jadi untuk Ayahnda Presiden NDP itu adalah satu kejutan bagi beliau yang tidak menyangka sedikitpun apabila beliau datang ke Limbaruh Hijau, makas NDP di Jerudong untuk menjalankan tugas seperti biasa.
Dalam ucapannya yang ringkas itu Ayahnda Yasin Affandy berpesan kepada seluruh ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin NDP agar tidak mudah goyah apabila melalui badai dan ombak besar yang sentiasa menghambat bahtera NDP yang sedang dalam pelayaran menuju kearah menjadikan dan memastikan negara Brunei Darussalam selama-lamanya menjadi negara Melayu, Islam, Beraja, bermaruah, berdaulat, sentiasa aman makmur sejahtera dan mendapat kampunan Allah seperti yang di hasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan rakyat Baginda.