Bertongkat Paruh Terbang Jua

 
 

PRB Kembali Beraksi

Azahari tidak segera datang ke Kuala Lumpur untuk bersama dengan rakan-rakan seperjuangannya yang telah berjaya membebaskan diri dari Kem Tahanan Berakas dan negara yang masih dalam cengkaman Inggeris itu.

Ini kerana Malaysia semasa dibawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia telah menyenarai hitamkan Azahari yang telah menentang keras Brunei masuk Malaysia. Azahari diberikan status 'persona non-grata' iaitu sebagai orang yang tidak dikehendaki dan tidak dibenarkan menjejakkan kakinya ke Malaysia.

Dan sebagai seorang pejuang yang bijak dan berhemah Azahari sekarang menunggu untuk melihat sama ada Malaysia dibawah pentadbiran Tun Abdul Razak akan memenuhi pra syarat kedua yang telah ditetapkannya iaitu mengiktiraf beliau sebagai seorang pemimpin PRB yang sedang berjuang bagi kemerdekaan Brunei bukannya sebagai pejuang yang kalah perang.

Azahari selaku Ketua Umum PRB tidak pernah mengisytiharkan perletakkan jawatanya atau mengisytiharkan PRB bubar dan berakhir. Yang mengharamkan cuma penjajah Inggeris.

Beliau juga tidak pernah mengisytiharkan berhenti dari menjadi Perdana Menteri Negara Kesataun Kalimantan Utara (NKKU) yang terdiri dari Brunei, Sabah dan Sarawak.

Beliau hanya berdiam diri dan tidak menjalankan tugas selaku Perdana Menteri NKKU dan Ketua Umum PRB. Belaiu sebenarnya tidak berhak membubarkan semua itu kerana ia bukan miliknya seorang.

Yasin Affandy yang sudah bebas kembali memulakan tugasnya selaku Setiausaha Agung PRB.

Beliau segera berangkat ke Bogor untuk melapor diri kepada Ketua Umum PRB dan untuk menerima amanat dan arahan sambil melaporkan kerja dan persiapan mereka di Kuala Lumpur.

Dengan arahan Azahari dari Bogor, pemimpin-pemimpin PRB yang berada di Kuala Lumpur memulakan perjumpaan dengan menteri-menteri kabinet Malaysia, dengan Tun Datu Mustafa, Ketua Menteri Sabah dan Tun Petinggi Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak, pemimpin-pemimpin politik di Malaysia dan duta-duta asing yang ada di Kuala Lumpur.

Suasana berubah setelah lebih satu dekad berlalu. Perjuangan PRB sekarang bukan lagi isu Brunei masuk Malaysia atau untuk menyatukan Brunei, Sabah dan Sarawak menjadi Negara Kesatuan Kalimantan Utara semata untuk memerdekakan Brunei dari cengkaman Inggeris.

Kini anjakan pemikiran dan paradigma pemimpin-pemimpin PRB ditumpukan kearah agenda yang lebih besar dan global yang lebih satu dekad dulu belum sesuai untuk diketengahkan walaupun ianya merupakan antara wawasan PRB.

Sekarang agenda teratas ialah untuk membawa Brunei keluar dari cengakaman Inggeris dan menjadi anggota masyarakat serantau dan antarabagsa yang merdeka dan berdaulat.

Kini mereka bercakap semula mengenai kesatuan dan kekuatan umat Melayu seluruhnya dimana sahaja mereka berada.

Pemimpin-pemimpin besar Melayu tidak lagi membatasi perjuangan Melayunya sekadar batas suku kaum dalam wilayahnya.

Mereka kini bercakap mengenai isu 'regionalisma' sebagai wadah memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara-negara di nusantara. Mereka bercakap mengenai keamanan dan kestabilan serantau sebagai penjamin survival bangsa dan negara yang merdeka dan berdaulat.

Pada bulan Mei 1974 setelah status Azahari sebagai 'persona non-grata' digugurkan beliau datang ke Malaysia dan terus menggerakan PRB dengan mempengerusikan mesyuarat pertama PRB sejak peristiwa 8 Disember 1962.

Secara rasmi kegiatan PRB dihidupkan semula pada 17 Jun 1974 yang berpusat di 146 Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

Strategi perjuangan PRB sekarang ditumpukan di arena antarabangsa khusunya di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia yang menjadi hos kepada perjuangan PRB bersetuju memberikan perkhidmatan melalui Kementerian Luarnya untuk membangkitkan isu kemerdekaan Brunei di PBB.

Malaysia juga memberikan bantuan yang gigih untuk PRB menjalankan kerja-kerja melobi diplomat-diplomat dan pemmpin-peimpin negara yang menganggotai Pertubuhan Setiakawan Rakyat Asia-Afrika (AAPSO) untuk menjadi penaja bersama mengenegahkan perjuangan kemerdekaan Brunei.

PRB mula mengetuk jendela dunia melobi badan-badan dunia seprti OIC dan memberikan tekanan kepada pertubuhan Commonwealth Head of States Meeting (CHOGM)

Akhirnya perjuangan PRB mencapai kejayaan di PBB. Pada bulan Julai 1975 anggota-anggota Sub-Komiti ll dari Jawatankuasa Khas Mengenai Situasi Berhubung Perlaksanaan Perisytiharan Kemerdekaan Kepada Negara-Negara dan Rakyat Yang Terjajah PBB mengadakan persidangan dengan perwakilan PRB yang terdiri dari Azahari, Zaini Haji Ahmad dan Yasin Affandy

Berikutan persidangan itu dan setelah draf resolusi mengenai Brunei diluluskan oleh Komiti Empat, perhimpunan agung PBB pada mesyuaratnya ke 2170 kemudian di sidang Pleno ke 2431, Perhimpunan Agung PBB pada 8 Disember 1975 meluluskan dan mensahkan resolusi tersebut dengan 119 buah negara anggota menyokong, 12 negara berkecuali dan tidak ada yang menentang. Resolusi itu kemudiannya dikenali sebagai Resolusi 3424 (XXXX) 8 Disember 1975.

Kalau 8 Disember 1962 merupakan detik sejarah hitam PRB, 8 Disember 1975 pula merupakan satu detik sejarah gemilang kepada PRB.

Demikianlah legenda 8 Disember, satu tarikh bersejarah yang mewaranai hidup bangun dan cerah gelapnya perjuangan PRB bagi melahirkan sebuah kemeredekaan Brunei.

Rebah, Bangun Perjuangan PRB

Belum pun lama berada dipuncak kejayaan, PRB menghadapi lagi pukulan demi pukulan untuk merebahkan perjuangannya. Pukulan maut ialah apabila PRB kehilangan penyokong kuat perjuangannya iaitu Tun Abdul Razak yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 di London.

Tun Abdul Razak meninggal dunia lima minggu selepas Perhimpunan Agung PBB ke 30 meluluskan resolusi mengenai perjuangan kemerdekaan Brunei yang dipelopori oleh PRB.

Tun Abdul Razak telah memberikan suntikan baru yang menyegarkan kembali perjuangan kemerdekaan Brunei hingga bergema di PBB sekurang-kurangnya selama tiga tahun berturut-turut bermula dari Perhimpunan Agung ke 30 pada tahun 1975.

Tun Abdul Razak pergi ketika bara perjuangan PRB memuncak semula dan mula dibincangkan secara tegs dan lantang di PBB.

Perjuangan menjadikan Asia Tenggara sebagai sebuah rantau aman, bebas dan berkecuali adalah isu besar yang menguasai rantau ini mengantikan isu konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia dan ZOPFAN menjadi agenda paling atas kepada Tun Abdul Razak.

ZOPFAN sebagai konsep rantau aman, bebas dan berkecuali bagi Asia Tenggara sudah pun diterima oleh lima negara Asean. Walaupun demikian, diplomasi Tun Abdul Razak itu belum terlaksana selagi Inggersi mencekam Brunei.

Bagaimana sekarang kedudukan PRB dan perjuangannya tanpa Tun Abdul Razak? Apakah nasib yang akan menimpa pejuang-pejuang kemerdekaan Brunei di era Tun Hussien Onn yang mengambil alih sebagai Perdana Menteri Malaysia?

Tukar tangan tukar pandangan. Dalam politik tiada yang kekal.

Kalau Tun Abdul Razak seorang idealist Tun Hussien Onn pula yang menyambung tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kosong berikutan kepergian Tun Abdul Razak ialah seorang realist yang meletak kepentingan nasional paling teratas.

Tun Hussien Onn tidak bersedia meneruskan dasar Tun Abdul Razak membantu PRB meneruskan perjuangannya.

Sejak mengambi alaih tampuk pimpinan, Tun Hussien Onn mempromosikan dasar berbaik-baik dengan Inggersi dan Brunei sehingga tergamak 'menyembelih' PRB dan pemimpin-pemimpinnya semata untuk menjayakan dasarnya.

Langkah Tun Hussien ini menyenagkan Inggeris dan Sultan Brunei yang selama ini menganggap tindakan Malaysia dibawah pimpinan Tun Abdul Razak sebagai campur tangan urusan dalaman negeri Brunei.

Dengan perubahan dasar dan pendekatan dari pihak Malaysia ini, segala langkah berterusan PRB tidak lagi mendapat bantuan sewajarnya dari Kerajaan Malaysia walaupu pada dasarnya Malaysia penaja perjuangan kemerdekaan Brunei di PBB.

Azahari pula telah dikenakan semula status 'persona non grata oleh Kerajaan Malaysia manakala beberapa orang pimpinan PRB di Malaysia, antaranya Yasin Aandy, Umar Tmin dan Misir Kerudin, dikenakan tahanan ISA untuk beberapa bulan.

Walaupun demikian bak kata pepatah, 'patah tumbuh hilang berganti'.

Berikutan kemelut yang menimpa PRB, pimpinan PRB di Kuala Lumpur ditakdirkan Allah SWT dikemudikan pula oleh Dr Mahmud Saedon selaku penjawat terkanan dalam Dewan Harian Partai ketka itu yang memegang portfolio Ketua Biro Urusan Antarabangsa.

PRB dengan segala tekanan dan kesempitan yang dihadapi meneruskan perjuangan di badan dunia itu.

Tiga tahun berturut-turtut dari tahun 1975, 1976 dan 1976 PBB meluluskan Resousi mengenai kemerdekaan Brunei yang dipelopori oleh PRB itu.

Akhirnya atas kesengsaraan pemimpin-pemimpin dan pengikut-pengikut setia PRB, Kuasa Pentadbir di Brunei pun mula menunjukkan kesediaan untuk mendapatkan kembali kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Bersetujulah Kuasa Pentadbir dan golongan monarki-aristokrtat untuk memberi dan menerima kemerdekaan penuh buat Brunei melalui perjanjian 1979 antara Kerajaan Inggeris dengan Sultan yang menjanjikan sesuatu yang dinantikan oleh rakyat jelata.

Ingerris pula tidak ada pilihan lagi. Pada tengah-tengah dunia demokrasi Asia Tenggara yang merdeka iaitu Asean, badan serantau yang paling berpengaruh secara lantang mendaullatlan ZOPFAN bagi menjadikan kawasan serantau aman, bebas, dan berkecuali.

Secara terhormat prinsip tersebut memberi isyarat supaya Inggeris membebaskan Brunei dari cengkamannya. Berdasarkan prinsip itulah Malaysia, Indonesia dan Filipina menjadi peaja bersama kepada resolusi kemerdekaan Brunei di PBB yang dianjurkan oleh PRB.

Kemerdekaan negara bukan dihidang atas dulang emas

Begitu mahal harganya untuk memujuk Kuasa Pentadbr agar menerima saranan pendapat umum dunia supaya membebaskan tanah jajahan terakhirnya di rantau ini iaitu Brunei.

PRB menjadi korban kepentingan nasional dan tersungkur dipukul oleh teman sendiri.

Azahari menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai orang biasa yang tidak dikenali di Bogor di tempat bermulanya bibit-bibit semangat nasionalisme dan patriotisme nya kepada bangsa dan negara berkembang apabila beliau di hantar oleh Kuasa Penjajah Jepun di Brunei pada 1940an untuk meneruskan pelajaran di bidang Veterinary Science.

A.M Azahari pulang ke rahmatullah pada 30 Mei 2002 membawa bersamanya kisah perjuangan rakyat untuk menuntut kemerdekaan dari British, untuk tidak masuk Malaysia, dan untuk menyatukan semula dan mendaulatkan Brunei, Sarawak dan Sabah sebagai sebuah negara dan bangsa Kesatuan Kalimantan Utara dengan Sultan sebagai raja.

Beliau meninggal dunia sebagai Ketua Umum PRB dan juga sebagai Presiden NKKU, jawatan-jawatan yang tidak pernah dilepaskannya walaupun perjuangannya menghadapi berbagai cabran dan tekanan.

Amanat terakhirnya kepada pengikut-pengikunya ialah agar tidak sekali-kali menderhaka kepada raja, bangsa dan negara serta agar pengikut-pengikutnya sentiasa 'mencurahkan setulus hati kecintaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Bagidna Sultan kerana itulah dasar dan intipati perjuangan PRB.

Atas kesengsaraan dan pengorbanan pejuang-pejuang lama sejak 30 tahun yang lalu itu pula lahirlah semula Brunei sebagai sebuah negara yang merdeka dan penuh berdaulat dengan falsafah Melayu Islam Beraja yang telah dipertahankan oleh pejuang-pejuang lama itu masih utuh.

Rakyat dan penduduk Brunei sekarang sudah 24 tahun menghirup udara nyaman kemerdekaan dan berdaulat sebagai anggota masyarakat serantau dan antarabangsa yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Sempena kita memperingati 40 tahun penubuhan Asean ini marilah kita sama-sama berdoa memohon kepada Allah untuk memberikan rahmat dan ketenangan kepada roh-roh Al Marhum Sultan Haji Omar Ali Saiffudien Khairi Waddien dan A.M Azahari serta pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain yang telah berkorban jiwa raga hingga generasi kita hari ini mampu hidup dengan penuh ketenangan dan kesejahteraan di bumi Brunei yang indah permai, medeka dan berdaulat di tengah-tengah ranatu yang didiami oleh jiran-jiran yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Mudah-mudahan dengan kesediaan dan kesudian kita menoleh kebalakang untuk memahami, mengakui dan menghormati sejarah perjuangan raja, bangsa dan negara kita ini akan memberikan kita kekuatan untuk memasuki era baru ini dengan jayanya. Amin

"...untuk kita memasuki era baru ini dengan penuh keyakinan kita perlu meningat kembali sejarah lampau kita, mengakuinya dan menghormatinya".

"Itulah apa yang telah dlakukan oleh pengasas-pengasas ASEAN yang lalu dan saya rasa itulah yang patut kita terus lakukan"

"Dalam konteks Brunei, ini bererti kita mesti berani berhadapan dan berdamai dengan apa yang telah berlaku 45 tahun yang lalu..." ( DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dalam buku bertajuk 'Remember, Remember...The 8th of December')

(Artikel-artikel '40 Tahun Membentuk Masyarakat ASEAN', 'Asia Tenggara 40 Tahun Lalu', 'Brunei Satu Cabaran Kepada ZOPFAN', 'Tiada Musuh Yang Kekal', 'Di Mana Azahari', 'Operation Liberty' dan 'Bedrtongkat Paruh Terbang Jua: Dokumentasi PRB di PBB 1975 - 1977' yang mengungkap kembali sejarah lampau perjuangan rakyat yang belu terungkap ini bersandarkan maklumat-maklumat dari: 'Remember, remember...The 8th Of Deceber' olh Mohamad Bolkiah, Brunei 1839-1983 - The Problems of Political Survival by D.S Ranjit Singh, Brunei Revival of 1906 - A Popular History by B.A Hussainmiya, The Constitution of 1959 - An Inside History by B.S Hussainmiya, The Genesis of Konforntasi - Malaysia Brunei Indonesia oleh Greg Poulgrain, Bertongkat Paruh Terbang Jua: Dokumentasi PRB di PBB 1975 - 1977 oleh Mahud Morshidi Othman, Brunei Merdeka - Sejarah dan Budaya Politik oleh Dr Haji Zaini Haji Ahmad dan temuramah dengan Yasin Affandy).(MMO-MHO)
 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.