PERANG 34 HARI ISRAEL-LUBNAN: IKTIBAR YANG BOLEH DIPELAJARI

 
 

Mukaddimah

Untuk sekian kalinya, bumi Lubnan dihujani peluru-peluru berpandu dan bom-bom dari udara dan darat Pasukan Pertahanan Israel (IDF). Jika dalam Intifada, hanya bumi Palestine dilanda perang, tetapi keganasan perang kali ini turut melebar luas sehingga melibatkan negara jiran, Lubnan dengan mendapat tentangan hebat daripada Hezbollah.

Meneliti perangai Israel, operasi peperangan seperti ini memang sudah dijangka. Dengan menjadikan tindakan penangkapan dua orang tentera Israel pada 12 Julai 2006 oleh Hezbollah sebagai alasan, pihak Israel memperbesarkannya sebagai justifikasi sah untuk memulakan gerakan ofensif yang merentasi Palestine dan mencerobohi bumi Lubnan sehingga memaksa hampir satu juta penduduknya menjadi pelarian. Ini belum dinilai dari sudut kemusnahan hartabenda yang besar mencecah kos USD 3 bilion kesan operasi darat dan udara pihak Israel yang turut mengorbankan lebih seribu nyawa penduduk Palestine dan Lubnan keseluruhannya.

Israel menyembunyikan kenyataan sebenar betapa tindakan Hezbollah mencolek dua orang tenterannya itu adalah urutan dari penaklukannya keatas wilayah Ladang Shabaa milik Lubnan, penanahan dan pencolekan ribuan warga Lubnan yang kini berada dalam tahanan Israel. Propaganda perang Israel dan sekutu-sekutunya menggambarkan seolah-olah ofensif IDF itu hanya bermula dengan penculikan dua tentera tersebut dan tindakan Hezbollah itu dilebalkan sebagai provokator.

Ramai yang termakan propaganda Israel ini terutama masyarakat barat. Kelebihan Israel ialah berjaya menguasi hampir seluruh media barat dan pendapat publiknya, justeru hampir keseluruhan dunia barat menyebelahi Israel, sedang media negara Arab ada yang pasif terhadap apa yang berlaku atau jangkauan keatas publik dunia amat terbatas.

Pengamat politik dan pelajar peperangan moden (modern warfare), atau disebut juga peperangan era baru, mendapati, perang 34 hari Israel/Lubnan kali ini banyak memberikan pengajaran dan boleh dijadikan iktibar. Antara lainnya, seperti titah Kebawah DYMM sempena sambuta Israk Mikraj baru-baru ini:

"Peperangan pada era baru ini dimana pihak yang kuat boleh dengan sesuka hati menggugurkan bom dan peluru ke sasaran yang tidak sepatutnya menjadi sasaran seperti rumah dan bangunan penempatan awam, pasar, lapangan terbang, jambatan, lebuh raya dan ladang tempat orang mencari rezeki".

Faktor Dalaman

Tindakan Israel memerangi Lubnan boleh dianalisis dari dua perspektif, dalaman dan luaran.

Faktor dalaman yang jelas ialah, kerajaan pimpinan Ehud Olmert yang baru ditubuhkan ingin mengambil kesempatan dari krisis penculikan dua orang tenteranya oleh Hezbollah untuk “mengajar” Hezbollah dengan memerangi mereka.

Tujuan reaksi yang melampau itu diharapkan oleh Ehud Olmert boleh mempamirkan dan seterusnya meyakinkan rakyatnya bahawa pimpinannya adalah pimpinan yang tegas, kuat dan mampu melindungi rakyat Israel dari serangan musuh.

Seperti yang diketahui, Parti Kadima pimpinan Ehud Olmert adalah sebuah parti yang baru, terhasil daripada gagasan idea Sharon. Jadi mereka tiada pilihan lain, melainkan menggunakan kekerasan sebagai jalan pintas untuk meningkatkan populariti parti tersebut. Dengan menurut tuntutan pihak Hezbollah supaya melepaskan tahanan di penjara-penjara Israel, ia secara tidak langsung hanya menunjukkan kelemahan kerajaan pimpinan Ehud Olmert sekarang.

Dalam usahanya untuk meraih sokongan rakyat Israel, Ehud Olmert bertindak ganas terhadap rakyat Palastine. Tindakan merobohkan kediaman-kediaman rakyat Palastine dan menangkap pemimpin-pemimpin Hamas, yang secara sah memimpin kerajaan di Palestine, dilihat sebagai pendekatan terdesak Israel untuk melemahkan kerajaan Hamas yang dianggap mengancam keselamatan Israel.

Sehingga kini sekitar 60 pemimpin kanan Hamas yang menerajui kerajaan baru di Palestine masih dalam tahanan Israel termasuklah Timbalan Perdana Menterinya, Nasser Shaer selain lebih 10,000 rakyat Palastine termasuk orang-orang, tua, perempuan dan kanank kanak.

Faktor Luaran

Faktor luaran pula, tidak lain untuk mengukuhkan kedudukan Israel di rantau Asia Barat. Israel tidak mampu menerima beban kemungkinan kekalahan, memandangkan kedudukannya di celah-celah negara-negara Arab yang sebahagiannya bersifat ‘hostile’ dan tidak mengiktiraf Israel.

Justeru, selain bergantungharap kepada kemampuan sendiri melakukan tindakan offensive, Israel amat memerlukan sokongan termasuklah dengan menguasai pentadbiran Amerika Syarikat melalui pelobi terkenalnya, AIPAC. Justeru, selain memiliki kekuatan disegi ketenteraan dan kecanggihan persenjataan, negara Israel yang kecil itu turut menjadikan diplomasi dan lobi sebagai sebahagian dari sistem pertahanan dan dasar luarnya yang berkesan.

Resolusi PBB 1701

Setelah berlalu sebulan, barulah pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berjaya mencapai persetujuan meluluskan Resolusi 1701 untuk menamatkan konflik berdarah tersebut. Proses perdebatan mengambil masa yang panjang. Ini kerana pihak Lubnan mahukan pengunduran Israel tanpa syarat (unconditional) sedangkan Israel meminta sebaliknya; antaranya mensyaratkan pembebasan dua tenteranya dan perlucutan senjata pihak Hezbollah.

Resolusi 1701 menggesa pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari bumi Lubnan, diikuti dengan kemasukan 15,000 tentera Lubnan menggantikan tentera Hezbollah di sempadan Israel/Lubnan serta menerima kemasukan pasukan pengaman yang akan bertanggungjawab mengawasi keamanan selepas perang.

Israel sehingga kini masih mengutarakan tuntutan agar pasukan pengaman diberikan kuasa untuk melucutkan persenjataan Hezbollah yang dianggap sebagai ancaman besar terhadap keselamatan Israel. Disatu pihak lain mereka menutup mata untuk mengakui hakikat bahawa tindakan pencerobohan keatas Lubnan tersebut jelas bertentangan dengan Piagam PBB Artikel 2 yang mengiktiraf kedaulatan sesebuah negara. Namun, ia bukanlah persoalan besar bagi Israel yang angkuh itu.

Penguasaan Teknologi Tinggi Ketenteraan

Konflik Israel – Lubnan / Palestine memaparkan kisah perbezaan nyata dari aspek penguasaan teknologi ketenteraan. Bagi umat islam, Israel itu sinonim dengan Amerika Syarikat kerana pergantungannya dalam pelbagai segi kepada Amerika. Amerika pula dilihat oleh sebahagian besar umat Islam sebagai kuasa yang telah melumpuhkan umat Islam melalui berbagai kaedah termasuk military technology ciptaannya.

Dalam peperangan berdepan dengan Hezbollah, Israel mampu melancarkan serangan dari laut, darat dan udara. Kali ini penekanan diberikan kepada operasi udara. Malah, pelantikan Dan Halutz yang sebelum ini merupakan Lt. General Tentera Udara Israel sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Israel (IDF) juga memperlihatkan keyakinan mereka terhadap kemenangan melalui penguasaan peperangan udara. Ini belum lagi dinilai dari aspek penguasaan teknologi tentera darat, dari sudut small arms sehinggalah kepada senjata berat seperti kereta kebal dan peluru berpandu.

Israel memiliki kereta kebal antara yang paling canggih di dunia iaitu Merkava IV. Walaupun ada di antaranya berjaya dimusnahkan Hezbollah, masih banyak perkara perlu dilakukan. Israel berjaya memenangi hampir semua peperangan dengan negara-negara Arab/Palestine sebelum ini. Israel sentiasa berada dalam keadaan superior berdepan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia tidak lain dan tidak bukan, disebabkan penguasaan teknologi sokongan Amerika. Bagaimana datangnya penguasaan teknologi?

Adakah dari duit? Ya! tetapi duit bukan segala-galannya. Teknologi hanya datang bersama penguasaan ilmu dan penguasaan ilmu boleh diperolehi dari kuasa duit.

Menguasai Sistem Pertahanan Udara Yang Canggih

Konflik Israel/Arab ini dapat menjelaskan keperluan dan gagasan negara-negara yang belum menguasai teknologi tinggi ketenteraan agar segera membangunkan sistem pertahanan udara yang canggih jika mahu “selamat“ dalam sebuah peperangan moden.

Sistem pertahanan negara canggih melibatkan pemilikan sistem radar, atau pembangunan sistem pertahanan anti peluru berpandu balistik (ABM).

Sehingga kini juga, tiada negara Islam yang mampu membangunkan sistem pertahanan negara yang canggih dalam bentuk sistem anti peluru berpandu (ABM) kecuali, kemungkinan satu-satunya hanyalah Iran.

Walau bagaimanapun, limitasi pembangunan ABM termaktub di dalam perjanjian ABM 1972 yang turut menghadkan pemasangan sistem pertahanan peluru berpandu taktikal secara terhad untuk mengurangkan kelebihan sesebuah negara dengan terlalu ketara.

Antara sistem ABM yang telah dibangunkan kini ialah oleh Russia A-35 (sekarang A-135 setelah di-upgrade) dan Ground-Based Midcourse Defense (GMD) atau dengan nama lain National Missile Defence (NMD) oleh Amerika Syarikat.

Peperangan antara Israel – Hezbollah/Lebanon menunjukkan peri pentingnya pemilikan sistem pertahanan udara yang canggih. ABM adalah salah satu daripadanya.

Kejayaan besar Hezbollah yang paling ketara adalah kemampuan mereka mengaplikasikan strategi peperangan gerilla.

Kemampuan melancarkan peluru berpandu (missile) menghujani beberapa lokasi di Israel cukup membanggakan, malahan ia adalah peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah konflik antara Israel-Arab sebelum ini yang telah melalui tiga peperangan besar. Selebihnya, mereka jelas lumpuh dan gagal mempertahankan Lubnan daripada serangan udara.

Pertahanan udara juga bukan bererti penguasaan teknologi ABM semata-mata tetapi juga bererti kemampuan menguasai ruang udara daripada ancaman dan serangan pihak musuh.

Inilah kelemahan utama yang amat ketara dipihak Hezbollah. Lantaran itu, Israel dengan mudah menyerang dari udara dan seterusnya diikuti dengan kemasukan tentera daratnya.

Kerosakan besar dihadapi Lubnan adalah berpunca daripada superioriti Israel melancarkan serangan udara tanpa digugat oleh Hezbollah.

Penguasaan Ilmu

Hari ini, jika disebut mengenai penguasaan ilmu, apakah yang dimiliki oleh umat Islam untuk dibanggakan?

Umat islam amat jauh ketinggalan dari sudut penguasaan ilmu termasuk ilmu pengurusan kekayaan, sains dan teknologi tinggi ketenteraan. Kita masih lagi dibayangi oleh memori silam kejayaan tamadun Islam lampau.

Sedarkah kita di mana kita berada?

Kita kini berada di alaf ke 21, sedangkan kerajaan Islam terakhir Kerajaan Turki Ottoman telah lama jatuh sejak 1920an lagi.

Kerana itulah menurut Dr Farrukh Saleem, dari Islamic Research Foundation International, Inc.(IRFI), Pakistan, kaum Yahudi walaupun hanya berjumlah 14 juta diseluruh dunia; 7 juta di benua Amerika, 5 juta di Asia, 2 juta di Eropah dan 100,000 di Africa, tetapi jauh lebih berkuasa berbanding dengan masyarakat Islam yang lebih seratus kali ganda banyaknya dari masyarakat Yahudi kerana mereka berjaya mengurus dana mereka, lobi mereka kuat dan mereka turut meneroka segala cabang ilmu termasuk melahirkan orientalis-orientalis yang menjadi rujukan sebilangan pelajar islam sendiri.

Amat menyedihkan. Kalau kita fokuskan kedalam masyarakat kita, bagaimana kita masih belum dapat menyelesaikan isu penghasilan padi yang mencukupi untuk keperluan negara dan masih berjihad dengan sayur mayur, jauh sekali berupaya mencipta selaras senapang!

Apa yang seharusnya dilakukan ialah, masyarakat Islam mesti mencintai ilmu. Kita mesti bekerja kuat untuk membangunkan sektor ekonomi, sains dan teknologi yang boleh digembleng untuk kemajuan dan keamanan umat Islam.

Kita tidak harus takut berbelanja untuk R & D, sifat memperbesarkan perbezaan dan berbalah sesama sendiri kerana masaalah kecil atau kerana perasangka harus dihentikan segera kerana ia hanya menimbulkan perpecahan dan membawa kemunduran.

Strategi Asymmetrical

Pada adatnya adalah mudah untuk Israel memenangi peperangan tersebut terutama dengan hasil sokongan padu Amerika Syarikat. Pihak Israel memiliki pasukan pertahanan yang terkuat di rantau Timur Tengah, selain daripada memiliki kelebihan dari sudut pemilikan senjata nuklear. Justeru, adalah tidak mustahil tindakan sekatan udara dan laut boleh dilakukan oleh mereka sepanjang peperangan berlaku untuk melumpuhkan operasi tentera Hezbollah.

Berbeza dengan pendekatan Israel, Hezbollah menggunakan pendekatan bersifat asymmetrical melalui peperangan secara gerilla. Keadaan ini amat bersesuaian dan sudah semestinya kerana perbezaan jauh kemampuan persenjataan kedua-dua pihak.

Penulis terkenal Alvin Toffler dalam bukunya War and Anti-War pernah mengatakan bahawa peperangan melibatkan perbezaan pendekatan (kerana perbezaan kemampuan dan teknologi) sekiranya tidak dirancang dengan betul akan mengakibatkan kegagalan dipihak penyerang walaupun mereka memiliki kemampuan teknologi yang lebih baik. Kerana itu, hasilnya, dengan penguasaan dan pengetahuan terhadap geografi lokaliti di Lubnan, pihak Hezbollah dianggap sebagai pemenang.

Menurut The Economist (Aug 17th 2006) Hezbollah dalam hal ini boleh diiktiraf menang. Ini kerana Ehud Olmert sendiri secara terang-terangan menjelaskan matlamat peperangan untuk menghapuskan pengaruh Hezbollah di bumi Lebanon, tetapi akhirnya gagal melakukannya. Lebih malang lagi 158 tentera Israel terbunuh dalam peperangan tersebut.

Diperingkat awal peperangan, Israel mengumumkan matlamat serangannya keatas Lubnan hanyalah sekadar untuk membebaskan dua orang tenteranya yang dicolek oleh Hezbollah dan melucutkan senjata Hezbollah.

Namun, sehingga hari ini, keduanya belum tercapai. Justeru misi ketenteraannya keatas Lubnan tetap dianggap gagal sebaliknya kejayaan dilihat berpihak kepada Hezbollah kerana masih survive biarpun diserang secara bertalu-talu oleh pihak Israel. Sehingga hari terakhir peperangan Hezbollah juga masih berjaya melancarkan 246 roket ke Israel khususnya di kawasan Haifa.

Samada Hezbollah diakui menang secara ketenteraan atau psikologi, namun strategi bersifat asymmetric masih berkesan dalam peperangan moden ini.

Keistimewaan yang dimiliki Hezbollah ialah kemampuan mereka menguasai setiap muka bumi Lubnan dengan baik.

Walaupun menggunakan persenjataan yang jauh ketinggalan berbanding Israel, ia memanfaatkan keupayaan mereka yang semaksima mungkin. Module peperangan gerilla samada dihutan belantara atau dibandar tetap releven dan applicable, justeru tidak boleh diabaikan dalam pendekatan strategi peperangan terutama sekali bagi negara-negara yang belum menguasai teknologi persenjataan yang canggih.

Dan Halutz, Ketua Turus Tentera Israel yang baru sebenarnya terpengaruh dengan andaian penguasaan melalui serangan udara untuk melumpuhkan kemampuan Hezbollah, tetapi andaian itu jauh meleset.

Kesan yang ketara hanyalah peningkatan jumlah kemalangan nyawa dan kerosakan hartabenda masyarakat awam yang tidak berdosa. Kerana itu, tidak hairanlah selepas gencatan senjata dilakukan majoriti rakyat Israel menunding jari kepada pihak kerajaan yang didakwa gagal merencanakan misi ketenteraan dengan baik. Malah ada yang menyalahkan perisikan tentera Israel lemah.

Justeru, adalah wajar difikirkan oleh sesetengah penggubal dasar pertahanan untuk memberikan pendedahan dan latihan sebaiknya kepada pasukan tentera mereka bagi menguasai pertempuran bersifat asymmetric dengan berkesan seperti yang dilakukan Hezbollah untuk menghalang kemaraan tentera Israel di Lubnan.

Metod peperangan cara ini juga yang telah menyaksikan kekalahan kuasa-kuasa besar seperti AS di Vietnam, di Iraq dan Soviet Union di Afghanistan. Dalam menghuraikan kelebihan taktik ini, Carlos Marighella menghuraikannya seperti berikut ;

'The urban guerrilla's weapons are inferior to the enemy's, but from the moral point of view, the urban guerrilla has an undeniable superiority. This moral superiority is what sustains the urban guerrilla. Thanks to it, the urban guerrilla can accomplish his principle duty, which is to attack and survive'.

Nasionalisme Tetap Releven

Dalam Krisis Pengalaman perang Lubnan turut mengajar kita bahawa semangat patriotik dan kecintaan rakyat Lubnan kepada tanah air mereka telah dijana oleh falsafah kebangsaan Arab, Islam dan institusi presiden.

Mereka telah sepakat meletakkan ketiga-tiga unsur itu pada tempatnya yang betul ketika krisis sehingga ia boleh membakar semangat patriotik yang tinggi dan menjadi sebahagian dari strategi peperangan mereka menghadapi Israel sehingga berjaya menghalang dan mengundurkan tentera musuh.

Para ulama Islam baik dari Sunni maupun Syiah tetap bersatu mengenepikan prebezaan mazhab dibawah lambang jihad. Umat Islam dan penganut Kristian bersatu dibawah lambang arabism dan Kota Beirut. Seluruh rakyat Lubnan patuh kepada keputusan pucuk Pimpinan di Beirut, hatta, Hassan Nasarallah, Setiausaha Agung Hezbollah pun akur dengan keputusan kepimpinan pusat. Seluruh rakyatnya bersatu dibawah pemimpinnya yang berwibawa dan bijaksana.

Kesetiaaan yang bulat dan mapan kepada pemimpin, kecintaan pada agama, nasionalisme yang luas dan kesanggupan berkorban menjadi pendorong utama rasa cinta dan semangat untuk mempertahankan tanahair daripada dijajah. Hezbollah telah dipandang tinggi di atas semangat juang mereka dan dianggap menjadi wira selepas perang dalam menentang musuh bersama iaitu Israel.

Hari ini kita melihat masyarakat Lubnan yang berbagai bangsa dan agama meraikan kejayaan mereka menewaskan Israel. Islam juga mengajar kita bahawa mempertahankan tanahair daripada penjajahan adalah sebahagian daripada ciri keimanan, dan sesiapa yang lari dari medan peperangan berhak dihukum sekeras-kerasnya kerana belot.

Justeru, masyarakat Islam wajar ditanam unsur nasionalisme seperti ini, apatah lagi dalam konteks sebuah negara yang membangun dan kecil.

Islam agama persaudaraan, persaudaraan islam mengatasi segala yang lain. Jika semangat ini dapat dihayati oleh rakyat sesebuah negara, pastinya ia telah berjaya melepasi halangan psikologi dan ras yang amat berat itu dan akan memacu negara dan bangsa kemedan jaya.

Pendekatan Pembangunan Holistik

Lain-lain iktibar yang mungkin boleh dipelajari dari senario peperangan Lubnan ini ialah bagaimana kita melihat roket-roket ketyuser Hezbollah dilancarkan dari bawah pepohon delima dan apel yang rimbun sehingga gagal dikesan oleh rader pesawat Israel. Kita juga melihat betapa besarnya kemusnahan harta benda dan nyawa akibat dari kemusnahan bangunan-bangunan yang tinggi.

Justeru itu, pembangunan bandar hendaklah mengambil kira semua ini umpamannya perlunya sebuah bandaraya yang berkonsepkan dalam taman, bangunan-bangunan dibina mengambil kira ketinggian dan jarak keselematan antara satu sama lain. Pembinaan terowong-terowong pejalan kaki yang luas dan seumpamanya.

Kesimpulan

Peperangan Israel/Lubnan kali ini amat penting dalam kalendar sejarah pertelingkahan antara Arab/Israel.

Dalam derita berdepan dengan kesan peperangan, mereka boleh bersyukur kerana mampu bertahan menghadapi tindakan agresif Israel. Namun, untuk terus mara dengan bermaruah, masyarakat Islam juga harus mengambil iktibar daripada konflik, dengan kesedaran untuk membaiki dan menambah kekuatan melalui penguasaan ilmu, kesetiaaan kepada pemimpin negara dan pengurusan negara yang baik. Kejayaan Hezbollah adalah manifestasi ciri keberanian dan semangat ingin berkorban di yang harus dipuji. Disinilah mungkin apa yang tersirat disebalik titah Kebawah DYMM agar kita semua “melihat situasi ini dengan mata dan hati“. Wallahwaalam.

Merkava Mk 4 ialah produk terkini daripada generasi siri kereta kebal Merkava Israel yang main battle tanks series, in service since 2004.
The ABM Treaty was signed at Moscow May 26, 1972 by the US and the USSR to reduce the number of ABM deployment areas from two to one, deployed either around each parties national capital area or, alternatively, at a single ICBM deployment area. (Anti Ballistic Missile Treaty, diakses pada 24 Ogos 2006 di http://www.fas.org/nuke/control/abmt/ ) Sistem ini menggunakan dua peluru berpandu (interceptor) iaitu Gorgon dan Gazelle. Sila rujuk : The Economist, Nasrallah wins the war, Edisi Aug 17th 2006.
Dr Farrukh Saleem, Why are Jews so powerful?, diakses pada 22 Ogos 2006, di http://www.irfi.org/articles/articles_501_550/why_are_jews_so_powerful.htm, sila lawati laman web : Islamic Research Foundation International, Inc.(IRFI) www.irfi.org
Lieut-General Halutz, an air-force man, is said to have persuaded Israel's militarily inexperienced prime minister, Ehud Olmert, that the task of destroying Hizbullah in Lebanon was the perfect job for aircraft.
Carlos Marighella, (1969), Minimanual of the Urban Guerrilla, diakses pada 22 Ogos 2006 : di http://www.baader-meinhof.com/students/resources/print/minimanual/manualtext.html

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.