LIMBARUH HIJAU 19 OKTOBER 2011 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat mengalu-alukan langkah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam menitahkan perlaksanaan undang-undang Syariah di negara ini.
Titah perkenaan baginda Sultan agar langkah untuk melaksanakan undang-undang Syraiah yang merupakan tuntutan ugama mestilah dilaksanakan dengan segera tanpa sebarang alasan merupakan satu perkara yang dinanti-nantikan oleh NDP.
NDP telah mencadangkan perkara yang sama dalam Manifesto parti 2006-2016, jelas beliau.
Tegasnya dibawah tajuk Pendemokrasian Keadilan NDP telah mencadangkan agar diwujudkan pendemokrasian keadilan di Negara Brunei Darussalam di mana rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam diberikan hak mereka untuk diadili sepenuhnya secara saksama mengikut Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW atau Syariat Islam di dalam semua aspek perundangan, termasuk sivil, jenayah dan lain-lain, melalui kaedah berperingkat-peringkat (tadarruj).
NDP, tambahnya juga telah mencadangkan agar ditubuhkan Jawatankuasa Tetap (Kehakiman dan Undang-undang) di dalam Majlis Mesyuarat Negara yang bertindak memantau sistem kehakiman dan keadilan di Negara Brunei Darussalam, serta memantau penerapan kesaksamaan di dalam keadilan dan kesaksamaan di bawah undang-undang, dan pengukuhan serta pelaksanaan peraturan undang-undang (rule of law) dengan penuh ketelusan yang berteraskan sistem keadilan Islam.
"Alhamdullilah kita rasa bersyukur kerana cadangan NDP dan titah perkenaan baginda Sultan ada persamaan. Persoalannya sekarang apakah tugas kita seterusnya? Apakah cukup titah tersebut disambut dengan bertepuk sorak bergembira atas perkembangan tersebut?, ujar sdra Malai Hassan Othman dalam ucapanya selaku Tetamu Kehormat ketika mersamikan mesyuarat Masjli Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) bagi Suku Kedua Tahun 2011 (Q2 2011)
MPPD Q2 2011 berlangsung di Dewan Syura Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong. Kira-kira 50 orang ahli badan Perhubungan seluruh negara menghadiri mesyuarat tersebut yang telah diadakan pada 15 Oktober 2011 hari Sabtu lepas. Majlis kali ini dikendalikan oleh Badan Perhubungan Belait.
Dalam ucapan persamian, sdra Malai Hassan Othman mengingatkan ahli-ahli MPPD akan tugas dan tanggungjawab mereka yang belum selesai.
Kita bukan sahaja perlu terus memantau perlaksaan dasar-dasar yang dititahkan akan tetapi dalam masa sama kita juga perlu terus mengenegahkan lagi cadangan-cadangan lain yang belum disambut seperti yang digariskan dalam Manifesto parti dan usul-usul di Kongres Tahunan yang belum bersambut.
Contohnya, ujar beliau, ialah dibidang ekonomi, program penswastaan dan dasar pelaburan asing di negara ini...apakah ia benar-benar mendatangkan manfaat kepada rakyat atau hanya menguntungkan satu pihak sahaja?
Apakah ia selaras dengan syariah Islam?
Dalam isu ini, NDP menurut Pemangku Presiden, telah mengariskan dalam Manifesto cadangan agar diwujudkan dasar dan sistem ekonomi yang bebas, bermoral, liberal, mesra-pasaran (market-friendly), mengutamakan sistem perkongsian keuntungan dan kerugian yang sekali gus mengenepikan sistem riba, selagi kesemuanya tidak bertentangan dengan Syariat Islam dan keadilan sosial.
NDP juga telah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Anti-Monopoli yang akan bertanggungjawab kepada Majlis Mesyuarat Negara.
Suruhnjaya ini, tambah beliau, akan bertanggungjawab memastikan keadilan ekonomi wujud di Negara Brunei Darussalam. Kita mahu melihat semua pihak mendapat peluang yang saksama dalam memajukan kepentingan ekonomi masing-masing dan tidak ada pihak yang memperolehi bahagian yang melebihi daripada apa yang dinilai munasabah, sama ada secara keseluruhan atau pun sebaliknya, sehingga menguasai dan berupaya mengancam kepentingan-kepentingan nasional, termasuk di dalam industri-industri penting negara, seperti industri minyak dan gas, komunikasi, dan sebagainya.
|