Limbaruh Hijau Khamis 2 September 2010 (22 Ramadhan 1431) - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) lahir dalam suasana negara mengalami 'political vacuum' sejak mencapai kemerdekaan 26 tahun yang lalu.
Harapan melambung tinggi agar kelahiran NDP pada 31 Ogos 2005 dapat mengisikan kekosongan ini dengan menyumbang kearah mempercepatkan proses pembaharuan sistem politik negara seperti yang dihasratkan oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam sejak 1984 lagi.
|
|
Pada tahun 2004 hasrat yang murni ini semakin menjadi kenyataan dengan titah perkenan baginda Sultan mengwujudkan semula Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
Perkara ini disentuh oleh Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP dalam ucapan ringkas beliau di majlis memperingati hari ulang tahun penubuhan NDP pada 31 Ogos 2010.
Majlis diadakan di Dewan Syura Limbaruh Hijau dengan dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, Naib-Naib Presiden NDP dan juga beberapa ahli-ahli Lembaga Penasihat NDP.
Bebalik kepada ucapan ringkas Presiden, Ayahnda Yasin Affandy mengingatkan bahawa kelahiran NDP dihasilkan dari benih yang terpilih dan atas semangat dan kesedaran untuk sama-sama membangun negara dan bangsa. |
Persoalannya, tegas Presiden NDP, sejauh manakah sudah kejayaan barisan kepimp inan dan ahli-ahli parti berperanan memajukan parti selaras degan hasrat awal ianya ditubuhkan?
Sehubungan dengan itu, Ayahnda Yasin Affandy juga mengambil maklum akan cabaran-cabaran hebat yang telah dan sedang dilalui sepanjang perjalanan menghidupkan suasana politik rakyat di negara ini sejak 5 tahun yang lalu.
Dalam hal ini Ayahnda Presiden menasihatkan barisan kepimpinan dan juga ahli-ahli agar terus memperkuatkan semangat dan komitmen untuk terus memajukan parti.
Beliau menasihatkan agar barisan kepimpinan terus istiqamah dalam perjuangan dan mengikis sikap munafik dan berpura-pura.
Sementara itu, Setiausaha Agung NDP, sdra Haji Juned Ramli dalam ucapan alu-aluan beliau juga turut menyentuh mengenai kelahiran NDP di pesada politik tanah air.
"Sejak Negara merdeka 26 tahun yang lalu, selain pencapaian yang membanggakan dalam pembangunan Negara kita juga melihat tumbohnya politik Melayu yang lambat ,amat longlai dan lesu akibat tekanan dan dasar pecah dan perintah penjajah".
"Dengan terjadinya peristiwa 8 Disember 1962 perkembangan politik Melayu berkubor sama semantalahan lagi larangan berpolitik yang dikuatkuasakan oleh pemerintah".
"Sehingga peristiwa itu hingga kini beberapa buah parti politk telah ditubuhkan, namun kehadiran mereka tidak dapat bertahan lama akhirnya hilang satu demi satu sehinggalah munculnya Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang kita bersama didalamnya", ujar sdra Juned Ramli.
Hari ini, tambah beliau, genaplah sudah usia NDP lima tahun dengan keahlian melebehi 2,000 orang.
NDP tambah beliau merupakan satu-satu nya parti politik yang mempunyai ramai ahli dan terus wujud sebagai parti tunggal di Negara ini.
"Sebagai parti tunggal inilah saja platform orang Melayu khususnya rakyat Negara ini untuk menyalurkan hasrat dan cita-cita mereka dalam pelbagai isu, masalah dan cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu dalam konteks politik dan pembangunan orang Melayu. NDP merupakan parti politik yang bergerak cergas sebagai mengisi tuntutan sistem politik dan pemerintahan demokrasi", tegas beliau.
Katanya lagi sepanjang tempuh lima tahun bergerak di persada bangsa NDP tentunya menghadapi berbagai halangan dan rintangan bersifat luaran dan dalaman, situasi ini ditambah lagi dengan tekanan dan cabaran pihak pemerintah dalam berbagai perkara sehinggakan untuk menaikkan bendera di markas-markas pusat pun tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk mengibarkan bendera di markas-markas ranting di kampong-kampong. Ini ditambah lagi dengan undang-undang darurat yang melemaskan dan membantutkan pergerakan dan perkembangan parti.dalam arena politik tanah air, ujar sdra Juned Ramli.
"Cabaran mendatang untuk memperkasa NDP adalah mengisikan dengan aktibiti-aktibiti yang berperancangan, bersungguh-sungguh secara menyeluruh, agar kehadiran NDP dapat dirasai dan dikehendaki oleh masyarakat".
"Setiap ahli juga harus bersedia menyumbang harta, jiwa raga sekadar kemampuan yang sebenar. Peranan semua ahli daripada peringkat penasihat, majlis tertinggi, ketua-ketua ranting hendaklah sentiasa bersama keperluan terkini; dengan ilmu pengurusan dan pentadbiran yang sesuai untuk masa kini dan masa akan datang".
"Kepimpinan yang dipilih mestilah merancang, mentadbir dan mengatur strategi dan menggerakkan parti sepanjang masa tanpa menunggiu arahan atau selepas mesyuarat Dewan Harian dan Majlis Tertinggi", tegas beliau lagi.
Seterusnya beliau menyeru Himpunan Pemuda dan Puteri NDP sebagai tenaga pelapis dan pewaris masa depan perjuangan perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu, mempunyai jiwa perjuangan yang mantap dengan kekuatan fizikal dan semangat juang yang tinggi. Matang dalam bertindak dengan penuh hikmah. Perlu berganding tangan dengan kepimpinan lama.
"Naib-Naib Presiden selaku Ketua Badan Perhubunngan di daerah masing-masing haruslah menggerakkan Badan Perhubungan mereka melalui ranting-ranting dengan pengisian aktibiti terutama berusaha membanyakkan penubuhan ranting", tambah beliau.
Katanya sebagai sebuah organisasi politik NDP tidak dapat lepas daripada menghadapi perselisihan, sebagai orang Islam dan Ahli Sunah Wal Jemaah marilah kita menangani isu perselisihan dengan ilmu dan akhlak, bukan dengan ilmu bidaah yang sentiasa menjadikan perselisihan sebagai titik perpecahan.
"Bahkan kita menfaatkan perselisihan sebagai platform untuk menghindarkan dari memuat tuduhan, memfitnah dan mencaci. Bukan semua perselisihan membawa perpecahan, akan tetapi semua perpecahan bermula daripada perselisihan. Oleh itu segala bentuk perselisihan marilah kita tangani dengan hikmah dan kebijaksanaan bukan dengan kebodohan dan kejumudan. Berhati-hatilah menegur seseorang jangan ditegur secara terbuka", nasihat Setiausaha Agung NDP.
Sdra Juned Ramli dalam ucapan beliau berkata NDP sebenarnya mempunyai seorang Presiden yang berpengalaman, pejuang lama yang pernah mewarnai sejarah politik tanah air.
"Tanpa menoleh kebelakang beliau terus bergiat dalam politik yang telah menjadi darah dagingnya. Sejarah sebagai cermin masyarakat tentunya akan memancarkan kebenaran apabila kita di hadapannya. Kalau hitam di hadapannya maka hitam jugalah yang akan dilahirkannya. Cermin tidak pernah berbohong, ia meluahkan dan menzahirkan apa yang dihadapannya, sama ada sesuatu itu baik atau burok, merah atau hijau. Malah melalui cerminlah kita dapat melihat diri, menghias dan membetulkan pakaian, menyikat rambut dan lainnya".
|