SELEPAS tamat menjalani ibadat puasa Ramadan, Aidilfitri dirai lambang kemenangan melawan keinginan naluri dan hawa nafsu sebulan berpuasa.
Puasa Ramadan mampu menjadikan kita orang bertakwa. Ia masih dapat kita praktik melalui puasa selepas 1 Syawal.
Sunat mengerjakan puasa enam pada Syawal yang boleh dilakukan mulai 2 hingga 7 Syawal secara berterusan atau enam hari pada bulan itu.
Nabi Muhammad SAW, bersabda: “Siapa berpuasa Ramadan diikuti puasa enam hari pada Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh.”
Amalan sunat adalah penampal kekurangan ibadat fardu. Puasa sunat Syawal selain mendapat pahala puasa setahun, juga dapat memperbaiki kekurangan puasa Ramadan. Kebiasaan mentaakhirkan qada sehingga hampir Ramadan akan datang tidak patut dilakukan.
Amalan wajib jika ditinggal mesti disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri terhadap Allah.
Rasulullah mengajarkan kita amal yang sangat baik iaitu berpuasa enam hari pada Syawal sebagai kesinambungan bahawa Islam tidak hanya mewajibkan puasa pada Ramadan semata-mata.
Allah memberikan ganjaran besar kepada mereka berpuasa enam hari sebagai galakan tidak hanya melaksanakan puasa wajib ketika Ramadan. Puasa enam hari digandakan pahalanya seperti berpuasa sepanjang masa.
Secara logiknya sudah tentu tidak akan mampu difikirkan akal kita sebagai makhluk Allah. Namun Allah untuk memberikan ganjaran lebih hebat jika kita istiqamah dalam melaksanakan ibadat kepada-Nya. Pada pertengahan Syawal, kita masih meraikan Aidilfitri dan tidak terlepas daripada undangan rumah terbuka atau ziarah.
Apa yang lebih penting jangan jadikan ia alasan untuk tidak menunaikan ibadat sunat ini kerana pahalanya yang berganda.
(Dipetik dari Berita Harian)