LIMBARUH HIJAU 17 OGOS 2009 - BADAN Perhubungan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Tutong telah mengumumkan rancangan untuk membentuk ranting baru di Mukim Rambai Tutong.
"Jumlah keahlian di Rambai telah meningkat dan ini membolehkan ahli-ahli di kawasan tersebut menubuhkan ranting sendiri", menurut Sdra Haji Mustafa bin Abdidn, Naib Ketua Badan Perhubungan NDP Tutong semasa bercakap di sesi muzakarah dengan ahli-ahli di Mukim Rambai dan Ranting Ukong 2 bertempat di kediaman Dayang Zumriani binte Paun baru-baru ini.
Menurut beliau Badan Perhubungan NDP Tutong telah bermesyuarat dengan ahli-ahli NDP Rambai bagi pembentukkan Jawatankuasa Majlis Eksekutif Ranting Rambai 1.
"Di mesyuarat tersebut barisan AJK MER Rambai telah dipersetujui dan Badan Perhubungan NDP Tutong telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Setiausaha Agung NDP (NDP) untuk proses selanjutnya", jelas sdra Haji Mustafa sambil mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli NDP Rambai atas komitmen untuk mengerakkan parti di Rambai.
Sementara itu sesi muzakarah juga mendengar kata-kata nasihat dari Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy yang antara lain mengingatkan ahli-ahli agar terus memperkukuhkan semangat dengan merapatkan lagi saf-saf barisan di peringkat akar umbi dalam usaha memajukan parti demi kepentingan bangsa dan negara.
Juga turut berucap Timbalan Presiden NDP, Malai Hassan Othman, sdra Haji Mohammad Ali Yusuf, Ketua Biro Penerangan dan Aduan Awam, sdra Haji Ismail Ibrahim, Ketua Biro Kesejahteraan dan Kebajikkan Insan (KeKin), sdra Abdullah Bahjou bin Abdullah Bundan, Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Menyusur Desa, sdra Haji Ismail Kasim, Ketua Biro Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KeKWa), sdra Mantar Perayam, Ketua Biro Hubungan Antara Kaum, sdra Serudin Pungut, Ketua Himpunan Hal Ehwal Non-Muslim, Dayang Hajah Saemah Kefli, Ketua HAWA, sdra Ak Shahrilan bin Pg Ahmad, Ketua Pemuda serta sdra Buah bin Nipah, Ketua Ranting Ukong 2 selaku pengerusi sesi muzakarah.
Sesi muzakarah diikuti dengan lawatan ke ladang kepunyaan keluarga Dayang Zumriani binte Paun dan ke Muzium Warisan Tasek Merimbun.
Disebelah petang sesi soal jawab juga di adakan bagi mendengarkan masalah yang dihadapi oleh anak-anak kampong dipersekitaran kawasan tersebut.
Lebih 80 ahli-ahli dari Rambai, Kuala Ungar dan Ranting Ukong 2 turut menjayakan program yang diusahakan oleh Ranting Ukong 2 itu.