LIMBARUH HIJAU 04 SEPTEMBER 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat mengalu-alukan dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas usaha gigih dan tidak putus-putus Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam untuk mempastikan proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang telah berjalan lebih 11 tahun menjadi kenyataan.
Brunei telah melibatkan diri dalam proses damai tersebut dengan menyertai bersama Malaysia dan Libya dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (International Monitoring Team) yang telah dibentuk sejak 2003.
Sejak itu Brunei secara konsisten terus menunjukkan komitmen yang tinggi kepada misi IMT menyokong rundingan damai kerajaan Filipina dan MILF serta penyelesaian konflik di Mindanao.
Dalam satu perkembangan terbaru, delegasi dari Brunei yang diketuai oleh Pehin Datu Singamenteri Dato Seri Paduka Mohd Yasmin bin Haji Umar, Timbalan Menteri Pertahanan Negara Brunei telah mebuat lawatan ke Kem Darapanan MILF yang terletak di Sultan Kudarat, Maguindanao.
Dalam lawatan pada hari Isnin 31 Ogos 2009 tersebut delegasi dari Brunei yang terdiri dari Hajah Malai Halimah binti Malai Haji Yussof, Duta Brunei di Filipina, Pengiran Haji Maidin bin Pengiran Haji Said, defense attaché di Kedutaan brunei di Filipina, Dayang Siti binti Othman, penolong defense attaché; Colonel Pengiran Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail; Colonel Muzri bin Haji Moksin; Lt Colonel Haji Abidin bin Harris; and Capt Haji Fadzly bin Haji Abdullah, telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi MILF Al-Hajj Murad Ebrahim dan beberapa pemimpin-pemimpin MILF yang lain.
Menurut laporan dari Manila lawatan delegasi Brunei tersebut dibuat berikutan seruan dari beberapa pihak dalam negara Filipina dan juga dari arena serantau dan antarabangsa agar perundingan damai antara Kerajaan Filipina dan MILF yang telah terbantut dipulihkan semula.
Laporan akhbar Manila Bulletin menyatakan pertemuan antara delegasi Brunei dengan MILF telah menyaksikan perbincangan mengenai perkembangan terbaru proses damai tersebut.
Pengerusi MILF Murad dilaporkan telah mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan MILF dan Bangsamoro yang tidak terhingga atas kepimpinan KDYMM dan rakyat Brunei yang terus menunjukkan komitmen yang tinggi kepada proses damai tersebut.
"Dari sudut ideologi dan dasar, MILF terus yakin pendekatan yang sivik dan praktikal dalam penyelesian konflik di Mindanao ialah melalui perdamaian dan demokrasi", Murad di laporkan sebagai berkata.
Sementara itu laman web MILF Luwaran melaporkan Pehin Dato Yasmin sebagai berkata bahawa Brunei dan rakyatnya akan terus memberikan sokongan yang padu kepada proses damai antara Kerajaan Filipina dan MILF.
Timbalan Menteri Pertahanan Brunei itu juga mengambil kesempatan mengalu-alukan deklarasai SOMO (Penggantungan ofensif militari Kerajaan Filipina) dan SOMA (Penggantugan kegiatan militari MILF) yang telah dibuat baru-baru ini dalam mesyuarat khas antara Kerajaan Filipina dan MILF.
Deklarasi SOMO telah dibuat oleh Presiden Presiden Gloria Macapagal Arroyo pada 23 Julai lalu dan disambut oleh MILF dengan membuat deklarasi SOMA pada 25 Julai.
Sehubungan dengan perkembangan terbaru ini NDP berharap proses damai di Mindanao akan segera dipulihkan agar kestablian dan keamanan serantau dapat terus di pertahankan.
NDP melihat pentingnya kesetabilan terus di pelihara demi kepentingan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di Midanao serta negara-negara yang berjiran dengannya.
NDP berharap kedua-dua pihak MILF dan Kerajaan Filipina akan terus berusaha dengan penuh kejujuran dan keikhlasan kearah penyelesaian rundingan damai antara mereka.
NDP berpandangan kegagalan proses damai yang telah berjalan dengan baiknya sejak kehadiran IMT di Mindanao tidak akan mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak bahkan akan boleh menjejaskan hubungan mesra dan semangat saling hormat antara Negara Filipina dengan negara-negara yang cintakan keamanan dan kedamaian sejagat. |