Kesempatan berkunjung ke kampong air amat menggembirakan lebih-lebih lagi dapat menyusuri Kampong Air dari Sungai Damuan hingga ke Kampong Saba dengan melintasi kampong-kampong di kiri kanan sungai berkenaan.
Di kuala Sungai Damuan kelihatan pulau kecil penuh legenda Jong Batu yang kian mengecil oleh hakisan ombak perahu bermotor para nelayan yang melintasinya selain ombak kapal batu yang membawa batu-batu kelikir dari Temburong ke pengkalannya di Kampong Medewa.
Kilauan kubah Istana Nurul Iman tersergam indah dikelilingi rimbunan pokok bakau yang subur. Hampir melintasi Jong Batu sudah ternampak sinar kubah Masjid Omar Ali Saifuddien yang cantik lambang negara yang sudah dikenali sejak sekian lama.
Kunjungan tersebut terdiri daripada rombongan beberapa orang ahli Majlis Tertinggi yang diketuai oleh Setiausaha Agung Saudara Juned Haji Ramli telah sempat singgah menziarahi beberapa orang ahli NDP yang mendiami beberapa buah kampong. Turut serta ialah Saudara Mahmud Morshidi Awang Othman, Mantan Timbalan Presiden NDP.
Kehadiran rombongan tersebut dialu-alukan oleh ahli-ahli NDP dan penduduk Kampong Air dengan penuh mesra dan mereka yang ditemui telah mengambil kesempatan mengadukan beberapa hal kepada rombongan NDP yang diketuai oleh Setiausaha Agung NDP Saudara Juned Haji Ramli.
Rata-rata mereka meluahkan harapan agar Sekolah Melayu Lela Mencanai (SMLM) yang terbakar dibangunkan semula mengikut model bangunan asalnya. Mereka berpendapat bangunan sekolah itu adalah penting sebagai simbol pembangunan pendidikan di Kampong Air kerana ianya sekolah pertama didirikan di Kampong Air sekitar awal tahun 1950an, malah Saudara Juned Haji Ramli sendiri merasa tersentuh dengan saranan itu kerana beliau sendiri pernah mengajar di situ dari tahun 1967 hingga 1972.
Penduduk-penduduk yang ditemui juga berharap pihak berkenaan akan membangunkan semula rumah-rumah tersusun di kawasan-kawasan yang lapang akibat ditimpa kebakaran sebagai titik mula pembangunan di Kampong Air tersusun dan moden yang akan menjadi tarikan pelancong dan kebangaan negara.
Mereka juga merayu kepada pihak berkenaan agar merobohkan rumah-rumah yang ditinggalkan dan mencabut tunggul-tunggul tiang rumah yang begitu banyak kerana ianya adalah membahayakan pengguna-pengguna sungai berkenaan selain menjejekkan pandangan.
Rata-rata penduduk juga melahirkan rimas mereka kerana mendapati masih ramai lagi penagih-penagih dadah di kampong-kampong mereka terutama di rumah-rumah kosong yang ditinggalkan sebagai tempat kegiatan mereka , justeru itu mereka berharap pihak-pihak berkenaan akan terus menerus memantau keadaan ini.
Dewan-dewan orang ramai yang boleh digunakan untuk kenduri kendara juga diharapkan akan dapat dibina di tempat-tempat yang bersesuaian bagi kegunaan orang-orang kampong disamping membangunkan kegiatan ekonomi dan perdagangan kampong air seperti pembinaan rumah-rumah tumpangan, bangunan-bangunan rumah kedai, memberikan bantuan kewangan dan bantuan khidmat nasihat kepada pemilik-pemilik muzium kecil persendirian, memberikan bantuan sewajarnya kepada industri kotej seperti pembuatan kueh mueh tradisional, tenunan dan kraf tangan, dan makanan berasaskan makanan laut.
Bagi penduduk kampong air yang setiap hari turun naik di pengkalan bot tambang Sungai Kianggeh ,rata-rata mereka terkilan kerana sudah beberapa kali seruan NDP supaya nama Panggung Hassanal Bolkiah ditukar kepada satu nama yang lebih sesuai tidak diindahkan oleh pihak berkenaan.
Mereka mencadangkan, jika pun pihak berkenaan ingin mengekalkan nama PANGGUNG HASSANAL BOLKIAH atas sebab-sebab tertentu, maka wajarlah bangunan panggung tersebut diubahsuai kegiatannya seperti menjadikan “Panggung Budaya Hassanal Bolkiah” atau seumpamanya. Mengekalkan nama dan identiti panggung tersebut amat menyinggung perasaan mereka.
Diakhir lawatan, rombongan berkenaan sempat melihat deretan memanjang timbunan sampah yang mendampar di tepi tembok dekat pengkalan bot tambang ke Temburong di Jalan Residancy. (Ditulis oleh sdra Juned Ramli)