Oleh Abdurrahman Haqqi
Peruntukan undang-undang perlu bagi kawal selia kutipan ikut kehendak syarak
TERNYATA permintaan terakhir manusia ketika tiba ajal mautnya ialah untuk hidup semula agar dia dapat bersedekah. Mari kita perhatikan firman Allah dalam al-Quran bermaksud: "Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke satu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang salih." (Surah al-Munafiqun: 10)
Dalam konteks al-Quran, pendermaan harta disebut dengan infaq, sadaqah, dan zakat. Ketiga-tiga kata ini saling berkaitan dari segi makna walaupun dari segi hukum berlainan.
Secara singkatnya, zakat ialah hak yang telah ditentukan besarnya yang wajib dikeluarkan daripada harta tertentu dan untuk diagihkan kepada pihak tertentu. Infaq ialah penggunaan harta untuk memenuhi keperluan. Dengan demikian, infaq mempunyai cakupan yang lebih luas dibanding zakat. Maka hibah, hadiah, wasiat, wakaf, nazar (untuk membelanjakan harta), nafkah kepada keluarga, kaffarah (denda) berupa harta adalah termasuk infaq. Bahkan zakat itu sendiri juga termasuk salah satu kegiatan infaq.
Istilah 'sadaqah' mempunyai tiga pengertian iaitu pertama, sadaqah ialah pemberian harta kepada orang fakir, orang yang memerlukan, atau pihak lain yang berhak menerimanya, tanpa disertai ganjaran; kedua, sadaqah ialah semakna dengan zakat; dan ketiga sadaqah ialah sesuatu yang makruf (benar dalam pandangan syarak). Pengertian ini didasarkan pada hadis sahih riwayat Imam Muslim bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Kullu ma'rufin sadaqah" (Setiap kebajikan ialah sadaqah). Berdasarkan ini, mencegah diri daripada perbuatan maksiat ialah sadaqah, memberi nafkah kepada keluarga sadaqah, beramar makruf nahi munkar juga sadaqah, menumpahkan syahwat kepada isteri adalah sadaqah, dan tersenyum kepada sesama Muslim pun sadaqah seperti dijelaskan dalam hadis yang lain.
Zakat sebagai salah satu rukun Islam yang lima ialah tonggak kehidupan bermasyarakat dalam bidang kewangan dan sosial. Menerusi zakat hubungan manusia dengan manusia akan lebih harmoni dan berkesan seperti harmoni dan berkesannya hubungan manusia dan Tuhannya dalam solat.