LIMBARUH HIJAU 13 OGOS 2009 -
Bagi sama-sama mendukung falsafah negara MIB, Biro Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KeKWA) telah menyusun beberapa aktiviti budaya yang bertujuan meningkatkan kerjasama dan perpaduan di kalangan ahli.
Budaya yang ditakrifkan sebagai cara memang amat sesuai untuk memupuk perpaduan dan kerjasama di kalangan ahli parti yang terdiri daripada berbagai etnik dan kepercayaan namun mereka tetap satu rumpun iaitu Melayu.
Aktiviti utama KeKWA ialah mempertaguh dan memperkasa falsafah negara Melayu Islam Beraja supaya ia tetap utuh dan bertahan menjadi warisan yang tentunya akan dapat dihayati dan dinikmati oleh generasi yang akan datang.
Warisan budaya etnik yang hampir hilang minta segera diselamatkan daripada kepupusan, agar generasi masa kini dan akan datang tidak kehilangan budaya yang menjadi kebanggaan dan identity mereka.
Sebagai langkah permulaan KeKWA akan mengadakan satu Bengkel Pengumpulan Tradisi Lisan bagi Etnik Murut dan Dayak.
Tradisi lisan yang terbentuk dalam dua corak berbentuk cerita dan bukan cerita akan hilang jika tiada langkah membukukan dilakukan, kemungkinan telah banyak dilupakan dan ada pula yang tidak diketahui langsung. Ini kemungkinan ianya tidak diperturunkan.Tokoh-tokoh tradisi lisan adalah pemikir budaya yang prihatin terhadap perkembangan kebudayaan, ekonomi, pendidikan dan politik sezaman serta menampilkan idea-idea positif yang melangkaui zamannya.
Usaha KeKWA itu amatlah baik dan berharga demi menjaga warisan budaya tersebut tidak akan hilang dan akan dapat dipusakai turun temurun dalam pembentukan budaya Melayu itu sendiri. Dalam bidang bahasa KeKWA juga akan mengadakan Bengkel Pengumpulan Perbendaharaan Kata sebagai usaha untuk menerbitkan kamus etnik, agar kata-kata dialek etnik berkenaan akan mudah dipelajari dan dikongsikan bersama dengan etnik-etnik yang lain.
Bagi merealisasikan impian itu pihak KeKWA telahpun membentuk satu pasukan penyelidikan yang terdiri daripada beberapa orang ahli yang berpengelaman dan berkebolehan dalam bidang penyelidikan.
Dua lokasi utama akan dijadikan pusat penyelidikan iaitu daerah Tutong dan Temburong.
Rombongan tersebut dijangka akan memulakan tugasan mereka selepas bulan Ramadhan nanti. (Laporan Juned Ramli)