BANDAR SERI BEGAWAN - Kertas Putih Pertahanan yang akan dilancarkan pada 2011 antara lain akan memuatkan strategi dan perancangan Kementerian Pertahanan menangani ancaman bukan tradisional dan cabaran yang sedang dan akan dihadapi serta mempertingkatkan lagi proses transformasi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Transformasi itu bukan mudah malah terpaksa melalui pelbagai kesulitan yang pasti memberi kesan negatif kepada sumber yang terbatas jika tidak diuruskan dengan betul, kata Timbalan Menteri Pertahanan Pehin Kolonel (B) Dato Seri Paduka Haji Mohammad Yasmin Haji Umar.
Ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekspo Pertahanan Antarabangsa Brunei Darussalam (BRIDEX) 2009 hari ini, katanya usaha besar itu turut dicabar oleh pelbagai operasi selain peperangan yang memerlukan keupayaan angkatan bersenjata yang moden.
Beliau percaya persidangan itu akan menyumbang secara positif ke arah menjadikan Kertas Putih Pertahanan lebih komprehensif dan mempunyai wawasan jelas serta menyumbang ke arah perancangan agensi dan negara lain dalam menghadapi ancaman dan cabaran keselamatan yang sedang muncul dan di masa kana datang.
Dalam tempoh dua dekad lalu masyarakat antarabangsa menyaksikan semakin luas dan dalamnya konsep keselamatan sehingga turut memuatkan isu keselamatan bukan tradisional, katanya pada majlis di Pusat BRIDEX, Jerudong itu.
Isu seperti bencana alam dan degradasi alam sekitar seperti tsunami dan perubahan iklim, krisis ekonomi dan kewangan, pengganasan antarabangsa, penyakit pembawa maut antara negara dan jenayah semuanya memberikan ancaman kepada masyarakat, tambahnya.
Menurutnya lagi sempadan negara tidak lagi kedap kepada isu keselamatan bukan tradisional berkenaan dan menimbulkan desakan terbaru bagi angkatan pertahanan sesebuah negara itu dan agensi tanah air untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan.
"Operasi menjaga keamanan, proses damai dan bantuan bencana kemanusiaan selain daripada peperangan kini semakin menjadi tugasan biasa bagi angkatan bersenjata kita," katanya.
Menurutnya dalam memenuhi dan menjalankan kedua-dua tugasan tradisional dan yang baru muncul secara berkesan, angkatan bersenjata ketika ini perlu untuk melihat kaedah ke arah lebih mempersiapkan, memajukan dan mempertingkat lagi keupayaan mereka.
Perkara berkenaan boleh dilaksanakan dengan kewujudan pelbagai kemajuan teknologi terkini yang walaupun kompleks membolehkan beberapa angkatan bersenjata melalui proses transformasi dengan jayanya, bukan saja untuk menjadi lebih fleksibel dan boleh melaksanakan pelbagai tugas, tetapi juga mewujudkan jaringan pusat yang membolehkan operasi dijalankan secara lebih selaras.
Sehubungan itu beliau percaya persidangan hari ini akan memberikan ganjaran yang besar lebih lagi perbincangan akan meliputi transformasi angkatan, keselamatan tanah air, menjaga keamanan dan bantuan bencana kemanusiaan.
Menurutnya kerajaan negara ini melalui Kementerian Pertahanan akan berterusan mengambil langkah dalam mempersiapkan ABDB bagi menghadapi cabaran keselamatan yang muncul kini dan pada masa akan datang.
"Negara ini juga sudah melebarkan lagi sayapnya dalam aktiviti pemantauan keamanan dan menjaga keamanan dalam sama-sama menyumbang ke arah dunia dan keamanan.
"Bermula dengan penghantaran anggota tentera menyertai Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Selatan Filipina dan baru-baru ini operasi menjaga keamanan di bawah Angkatan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu - United Nations Interim Force (UNIFIL) di Lebanon.
"Dalam dunia hari ini, kita tidak dapat walau sedikit pun untuk berasa selesa kerana ancaman masalah keselamatan tradisional dan bukan tradisional kekal wujud, maka persidangan hari ini akan banyak membantu kita ke arah menyediakan angkatan bersenjata kita untuk menjalankan peranan dan fungsi penting mereka yang nantinya akan memastikan dunia yang aman dan makmur," ujarnya.
Seramai 380 peserta menghadiri persidangan sehari yang menyaksikan Mantan Pengerusi, Ketua Bersama Jawatankuasa Kakitangan, Pakistan, Jeneral (B) Ehsan Ul Haq memulakan Persidangan itu dengan ucaptama beliau mengenai tema Kemunculan Ancaman dan Cabaran Keselamatan Akan Datang.