Limbaruh Hijau- Jumaat- Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA) telah mengadakan Majlis Khatam Al-quran yang berlangsung di Surau Limbaruh Hijau Jalan Jerudong kelmarin Khamis 17hb September 2009 bersamaan dengan 27Ramadhan 1430H.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut yang dikendalikan oleh bahagian ugama HAWA Pusat ialah Naib Presiden NDP Daerah Brunei Muara Awang Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Haji Othman.
Turut hadir ialah Ketua Himpunan Wanita Pusat Dyg Hajah Sa’emah Haji Kepli serta Majlis-Majlis Tertinggi Hawa Dr Hajah Rayah Haji Mohd Ali dan Dyg Hajah Armah binti Haji Othman serta beberapa orang ahli jawatankuasa tertinggi Biro Ugama NDP antaranya Haji Asbinin dan Haji Adinin bin Haji Mayalin, dan Mejar(B) Awang Haji Mohd Jaafar bin Haji Jeludin.
Majlis tersebut diadakan setelah tamatnya majlis bertadarus sepanjang bulan Ramadhan yang diadakan oleh Hawa NDP yang diadakan di Surau Limbaruh Hijau bermula awal bulan Ramadhan lalu.
Ianya merupakan salah satu daripada kegiatan yang dilakukan bagi menambah giatkan lagi pergerakkan kaum wanita dalam partai dan ianya juga antara lain bertujuan untuk menambah eratkan lagi tali siratulrahim di antara satu sama lain dan bagi mengimarahkan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan mubarak ini.
Seramai lebih 20 orang telah menghadiri majlis tersebut terdiri daripada wanita-wanita daripada daerah Brunei Muara dan Tutong, dalam ucapannya Ketua Himpunan Wanita Pusat menyatakan rasa terharunya atas kesungguhan wanita-wanita yang terlibat sehingga berjayanya di adakan majlis tersebut bagi tahun ini.
Bagaimanapun katanya, adalah diharapkan akan adanya penglibatan wanita-wanita daripada daerah lain seperti Kuala Belait dan Temburong menghadirikan diri pada majlis seperti itu di masa-masa akan datang.
Menurutnya ianya bukan saja Majlis Ilmu malahan untuk meluangkan sedikit waktu biarpun dalam keadaan sibuk hendak membuat persiapan sempena menyambut hari raya aidil fitri Insyallah akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT yang telah menjanjikan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dan menjanjikan pengurniaan rahmat jika ianya disemarakkan lagi dengan kegiatan-kegiatan berkebajikan terutama sekali membanyakkan membaca Al-quran dan bertakwa kepadaNya, “Dan kita sebagai hambanya tidak boleh melepaskan peluang yang telah Allah berikan” ujarnya.
Sementara itu Naib Presiden Daerah Brunei Muara pula dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kerana HAWA telah berjaya mengadakan majlis yang berkebajikan itu, dan menyarankan supaya Hawa NDP akan terus maju dalam segenap lapangan terutama sekali terhadap memajukan partai NDP.
Dan katanya, HAWA merupakan salah satu himpunan dalam partai ini yang telah begitu ketara keterampilannya yang bergiat aktif dalam melaksanakan berbagai kegiatan baik dalam kegiatan kebajikan, keagamaan, politik, kemahiran wanita, motivasi dan sebagainya demi terus membawa imej parti .
“Dan mudah-mudahan melalui usaha yang berterusan oleh HAWA NDP itu dalam masa yang sama akan menyebarluaskan wujudnya NDP di mata masyarakat di luar sana, yang mungkin ada yang masih belum kenal atau pasti apakah sebenarnya visi dan misi partai ini ditubuhkan di negara ini” ujarnya.
Majlis tersebut telah diusahakan pengendaliannya oleh Exco HAWA Pusat bahagian Ugama Islam Dayang Hajah Asmah binti Pulut dengan kerjasama Ketua Himpunan Wanita Daerah Brunei Muara Dayang Hajah Jamilah binti Haji Ahmad. Hadir sama ke majlis tersebut ialah Ketua Himpunan Wanita Daerah Tutong Dayang Merleina binti Abdullah dan beberapa orang wanita-wanita daripada Himpunan Non Muslim Daerah Tutong.
Majlis kemudiannya di selajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah di khususkan kepada dua orang ahli Hawa NDP yang telah kembali Ke Rahmatullah minggu ini iaitu Dayang Hajah Sabjant binti Bustan, ibu kepada bekas Naib Ketua 11 Wanita Ranting Pekan Seria 1 dan isteri kepada bekas Ketua Ranting pekan Tersebut Awang Mohamad bin Bahrom siapa yang pada masa ini juga dalam keadaan tenat menerima rawatan di Hospital Ripas, dan Dayang Rafidah bint Haji Abd Wahid, isteri kepada Pengiran Ismail bin Pengiran Ali, bekas Majlis Tertinggi Daerah Belait dan salah seorang daripada jawatankuasa SPU 2009 dan majlis diakhiri dengan berdikir.
Sama-samalah kita memanjatkan doa ke atas kedua-dua yang sudah lebih awal meninggalkan kita semua semoga roh mereka di cucuri Rahmat dan Diampunkan Dosa-Dosa Mereka dan Ditempatkan mereka bersama-sama dengan orang-orang Soleh...Amin .... Al-Fatihah.