LIMBARUH HIJAU, Sabtu- KAUM wanita sering dikaitkan dengan stress dan mengikut kajian wanita lebih banyak terlibat dengan stress dan beban stress mereka sering berpunca daripada kaum lelaki termasuklah jika mereka mengalami masalah penderaan, penganiyaan, terlalu banyak tanggungjawab dan sebagainya.
Wanita yang menderita mengalami tekanan lazimnya tidak boleh tidur lena, suka menyendiri, lekas tersinggung, bersikap seperti keanak-anakan, penakut, lesu, cemburu, dan yang paling teruk ada sesetengahnya yang mengatakan jika wanita mengalami stress akan kehilangan minat seks yang mana boleh meranggangkan hubungan dengan pasangan mereka, sehingga berlakulah keruntuhan rumahtangga dan sebagainya.
Ketua Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa Dyg Hjh Sa’emah binti Hj Kepli berkata kita semua cemas dengan pengaruh stress yang boleh membuat orang cepat tua, ada juga yang stress apabila menghadapi keputusan haid atau monopouse, dan kita terus sedar dan faham apa itu stress tetapi kita tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang stress.
Berucap menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Majlis Ceramah Motivasi Menangani Stress anjuran Hawa Pusat diadakan di Anjung Syura Limbaruh Hijau hari ini, beliau menyatakan sehubungan dengan itu Hawa Pusat telah mengorak langkah setapak lagi dalam mempertingkatkan pengetahuan kaum wanita khususnya dan di kalangan ahli-ahli NDP pada amnya untuk menganjurkan majlis tersebut.
Beliau juga turut merakamkan penghargaan dan terima kaseh atas kerjasama yang diberikan oleh penceramah-penceramah undangan terdiri daripada Pegawai Jururawat daripada bahagian Promosi Kesihatan Mental RIPAS Pengiran Haji Sabtu bin Pengiran Haji Tuah dan Pegawai Jururawat Jabatan Psikiatri RIPAS Awang Haji Zulkefli bin Haji Dullah dan seterusnya menyampaikan ceramah yang diharapkan akan dapat sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan mengenai dengan bahaya stress dan bagaimana kita menanganinya.
Sementara itu Pengiran Haji Sabtu dalam ceramahnya menekankan dalam carta statistik jabatan mereka yang agak tinggi mengalami stress ialah di kalangan guru-guru selain penuntut-penuntut pada masa hendak menempuhi peperiksaan di samping ketua-ketua jabatan, ketua-ketua pertubuhan dan ketua-ketua keluarga.
Menurutnya cabaran yang selalu diterima oleh seorang ketua ialah tomahan, cacian, hinaan, putus asa apabila pekerja atau yang dipimpin lemah, prestasi menurun, bermasalah dengan disiplin di pejabat dan mutu kerja serta produktiviti tidak memuaskan merasa tidak puas hati dan sebagainya dan katanya ini adalah kezaliman dan kejahilan masyarakat yang ada pada masa ini.
Beliau juga menyatakan tanda-tanda awal individu itu mengalami stress ialah apabila prestasi kerja yang menurun, suka menghilang diri daripada terus aktif atau komited, mempunyai perasaan sensitif, suka mencari kesalahan orang lain, penggunaan dadah dan merokok yang berlebihan.
Selain itu katanya antara punca ke arah stress ialah kurangnya keimanan pada diri individu, bekerja atau berhubungan dengan mereka yang terlalu ego, kepimpinan yang tidak begitu disenangi, punyai rakan sekerja yang kaki pembangkang, serba tahu, pembohong dan sebagainya yang negatif.
Beliau kemudiannya turut memberikan serba sedikit tips bagaimana langkah-langkah menangani tekanan mental seperti perlu sentiasa bersikap realistik terhadap pekerjaan diri sendiri, merancangkan kerja umpamanya kendalikan masa dengan bijak, berikan keutamaan kepada kerja yang penting, jangan bertangguh, elakkan membawa sebarang tugasan balik kerumah dan mengagihkan kerja dengan baik.
Majlis hari ini juga telah menyaksikan demo bagaimana mengurangkan stress secara baring terlentang di atas katil atau lantai yang rata atau duduk di atas kerusi yang ditunjukkan oleh Awang Haji Zulkefli bin Haji Dullah Pegawai daripada Jabatan Psikiatri RIPAS.
Cenderahati kepada penceramah-penceramah telah disempurnakan penyampaiannya oleh Ketua HAWA Pusat Dyg Hjh Sa’emah binti Hj Kepli di akhir majlis tersebut pada hari ini yang telah dihadiri oleh seramai lebih 30 orang di kalangan ahli-ahli wanita, puteri, pemuda dan ahli-ahli lainnya. (HSZ)