25 OGOS 2008 - KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Rundingan Tahunan Brunei-Malaysia ke-12 dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang di jadualkan bermula besok 26 Ogos 2008.
Baginda Sultan diiringi oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar.
Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-12 akan berlangsung di Pulai Spring Resorts di Johor, menurut kenyataan akhbar dari Kementerian Luar Negeri Malaysia.
Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei tersebut, menurut kenyataan rasmi itu lagi, merupakan pelantar peringkat tertinggi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua-dua negara dan tempat pemimpin-pemimpin tertinggi Brunei-Malaysia bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama.
Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei tersebut telah memanifestasikan ikatan persahabatan yang erat pemimpin-pemimpin atasan kedua-dua buah negara, tambah kenyataan tersebut lagi.
Maklumat terkini belum diperolehi mengenai agenda dan isu-isu yang akan menjadi bahan perbincangan antara Baginda Sultan dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sesi rundingan tahunan ke-12 tersebut.
Di tahun lepas Brunei menjadi tuan rumah bagi Rundingan Tahunan ke-11.
Rundingan Tahunan ke-11 berakhir dengan pemimpin tertinggi kedua-dua negara sepakat untuk terus meningkatkan dan mengertakan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara yang berjiran, serumpun, seagama dan sebangsa serta berkogsi banyak sejarah yang sama.
Negara Brunei Darussalam dan Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan dan mengeratkan kerjasama pelbagai bidang selain meneruskan komitmen bersama dalam semua perkara yang sudah dipersetujui sebelum ini, termasuk perkongsian pandangan berhubung isu antarabangsa.
Perkembangan yang dijangkakan ini telah dipenakan dalam kenyataan bersama Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-11 yang berakhir pada Selasa 14 Ogos baru ini.
Dalam kenyataan bersama tersebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan rasa amat berpuas-hati atas hubungan mesra dan persahabatan yang erat kedua-dua buah negara dan bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan itu.
Antaranya Baginda Sultan dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Badawi menyatakan komitmen bersama untuk meneruskan kerjasama erat dalam perdagangan, pelaburan, kewangan, pengangkutan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Turut digariskan dalam kenyataan bersama itu ialah:
- Keperluan membentuk persekitaran perniagaan lebih memberangsangkan terutama bagi Brunei, Sabah dan Sarawak
- Meneruskan kerjasama dalam sektor pengangkutan udara dan bersetuju menambah kekerapan operasi penerbangan
- Meneruskan komitmen Deklarasi Jantung Borneo yang ditandatangani di Cebu, Filipina pada 12 Januari lalu ke arah pengurusan hutan merentasi sempadan dan pemuliharaan rangkaian kawasan dilindungi serta hutan simpan
- Menerima draf akhir Piagam Asean dan pengesahannya oleh ketua negara Asean, selain mengakui kepentingannya dalam menjadikan Asean gagasan lebih berkesan
- Menyambut baik usaha masyarakat termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantu menyelesaikan konflik di Darfur, Sudan
- Menyokong segala usaha membawa keamanan dan kestabilan di Asia Barat, terutama Palestin
- Menyokong kajian semula terhadap Piagam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi menjadikannya lebih relevan terhadap cabaran semasa.
- Kenyataan juga menyebut Baginda Sultan, kerajaan dan rakyat Brunei juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Abdullah dan seluruh rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-50 Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos ini.
|
Sementara itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada persidangan akhbar menyentuh mengenai isu sempadan maritim antara Brunei dan Malaysia yang menjadi pertikaian.
Datuk Seri Abdullah membayangkan kedua-dua negara semakin hampir ke arah menyelesaikan isu berkenaan yang tertangguh sejak sekian lama.
Menurutnya rundingan mengenai perkara itu berjalan dengan baik dengan pegawai kedua-dua buah negara sedang "menyelesaikan beberapa isu kecil" dan resolusi berhubungan dengan isu akan dapat dicapai tidak lama lagi.
Isu sempadan maritim merupakan salah satu isu penting yang dibincangkan dalam Rundingan Tahunan ke-11 antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Datuk Seri Abdullah.
Majlis mengadap berlangsung pada Isnin antara kedua-dua pemimpin diikuti rundingan tertutup empat mata.
Datuk Seri Abdullah berkata rundingan mengenai perkara itu dibincangkan dalam sesi berkenaan dan perkembangan "yang amat menggalakkan dicapai.
"Beberapa perkara kecil harus di selesaikan dan perkara-perkara itu diharap dapat diselesaikan secepat mungkin. Adalah amat perlu untuk menyelesaikan perkara itu dan kami bersetuju supaya pegawai-pegawai membincangkan beberapa perkara yang diperlukan yang akan ditentukan oleh Brunei dan Malaysia. Saya percaya ia tidak akan mengambil masa yang lama," katanya.
|