Lebih 100 pejuang pemisah terbunuh dalam pertempuran 4 hari
ZAMBOANGA: Pertembungan di antara pemisah Islam dan tentera Filipina semakin memuncak semalam, memalapkan harapan permulaan semula rundingan damai, kata kerajaan dan pihak berkuasa tentera.
Lebih 100 pejuang pemisah terbunuh dalam pertembungan empat hari dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di pulau Mindanao, kata jurucakap tentera Kolonel Julieto Ando.
Kira-kira 90,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka akibat peningkatan serangan, menurut agensi bantuan asing dan tempatan yang beroperasi di rantau di mana tentera kerajaan memerangi pemisah selama 40 tahun.
“Peperangan memuncak semalaman berhampiran bandar Datu Saudi Ampatuan dan Datu Piang, semuanya di wilayah Mindanao,” kata Ando yang menyalahkan serangan terbaru pemisah terhadap situasi yang semakin buruk.
“Kami melakukan yang terbaik untuk berdamai, namun MILF memulakan permusuhan dengan merompak kampung dan membunuh orang awam tidak berdosa di Mindanao,” kata Ando.
“Kini kami melaksanakan undang-undang sepenuhnya dan kami akan menahan mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan khianat ke atas orang awam.”
Ketua rundingan damai MILF Mohagher Iqbal memberi amaran kembalinya permusuhan skala besar.
“Ia adalah senario menakutkan dan saya tidak mahu memikirkannya, namun jika rundingan damai gagal justeru perang akan kembali di Mindanao,” katanya kepada AFP.
Iqbal menyalahkan penyokong serpihan kerajaan Presiden Gloria Arroyo dan ahli politik Kristian tempatan yang membangkang pembentukan tanah air Islam.
“Suara puncanya ditenggelami suara kebencian dan prejudis,” katanya.
“Rundingan damai secara perlahan berpecah dan jika ia berterusan, semoga Tuhan membantu kami semua.”
Rundingan bagi mengakhiri pemberontakan 40 tahun berlangsung selama kira-kira 11 tahun dengan gencatan senjata secara rasmi berkuat kuasa sejak 2003.
Perjanjian damai akan memberi penduduk Islam tanah air mereka sendiri di lebih 700 kampung di Mindanao, namun Mahkamah Agung 4 Ogos lalu menghentikan apa yang digelar Memorandum Perjanjian berhubung Kuasa Warisan.
Perancangan damai itu mencetuskan beberapa siri bantahan daripada hampir keseluruhan ahli politik dan penduduk Kristian yang membantah kawasan mereka dimasukkan dalam Entiti Pentadbiran Bangsamoro (Islam).
Beberapa komander pemisah MILF sejak itu tidak mengendahkan gesaan berulang kali pemimpin mereka supaya menarik diri dan melancarkan serangan ke atas orang awam di bandar dan kampung di kebanyakan bahagian Mindanao Islam. -AFP