MANILA: Mahkamah Agung Filipina semalam, mengeluarkan arahan melarang kerajaan daripada menandatangani persetujuan mengenai peluasan tanah kepada pemisah Islam berikutan bantahan besar-besaran oleh penduduk bukan Islam di jalan raya, kata pegawai.
“Mahkamah mengeluarkan arahan penangguhan sementara (TRO) bagi menahan responden daripada menandatangani memorandum persetujuan (MOA),” kata jurucakap mahkamah, Midas Marquez kepada wartawan.
Arahan Mahkamah Agung itu adalah sebagai reaksi kepada petisyen yang difailkan pegawai di selatan Filipina membantah persetujuan di antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan.
Di bawah persetujuan di antara MILF dan kerajaan yang dicapai di Malaysia akhir minggu lalu, sejumlah besar wilayah selatan Mindanao akan menjadi sebahagian daripada negeri Islam yang dikuasai dan ditadbir penduduk Islam.
Wilayah autonomi itu akan mempunyai sistem perundangan, perbankan, pendidikan, pentadbiran awam dan pasukan keselamatan dalam negerinya sendiri yang dilihat bakal memberi laluan kepada perjanjian damai rasmi dengan pemisah.
Anggota Kongres, Erico Fabian yang memfailkan petisyen persetujuan itu berkata, arahan mahkamah itu adalah ‘berita baik’ kepada rakyat di selatan Filipina yang menentang draf perjanjian itu.
Arahan mahkamah dikeluarkan beberapa jam selepas kira-kira 15,000 orang kebanyakannya bukan Islam membuat bantahan di jalan raya di bandar Zamboanga bagi menentang persetujuan itu yang dijadual ditandatangani di Malaysia.
Datuk Bandar Zamboanga, Celso Lobregat yang mengetuai bantahan dengan penunjuk perasaan memegang sepanduk berbunyi, ‘Gloria, Jangan Jual Kami’, merayu kepada Presiden Gloria Macapagal Arroyo supaya tidak membenarkan perjanjian ditandatangani.
Datuk Bandar dan sekutunya menandatangani iklan muka penuh dalam akhbar Philippine Daily Inquirer membantah kemasukan bandar di pulau Mindanao dalam mana-mana rantau pembesaran wilayah Islam.
Di Iligan, sebuah lagi bandar di Mindanao, kira-kira 3,000 orang turut mengadakan tunjuk perasaan membantah perjanjian itu berikutan ia mungkin menyebabkan tanah mereka, termasuk ke dalam wilayah autonomi Islam.
Kerajaan Filipina sebelum ini berharap perjanjian berkenaan apabila ditandatangani akan mengakhiri pemberontakan yang sudah meragut lebih 120,000 nyawa. - AFP