Semua pihak, baik rakyat Malaysia, hatta beberapa kelompok masyarakat antara bangsa termasuk kita di Negara Brunei Darussalam ini nampaknya memberikan sepenuh perhatian kepada pilihan raya kecil kawasan parlimen Permatang Pauh yang akan berlangsung pada 26 Ogos 2008 ini.
Pada tahap ini tiada mana-mana media perdana, hatta media picisan di Malaysia yang mengelak daripada membuat liputan terhadap pilihan raya berkenaan. Pengemaskinian berita sentiasa dibuat dari masa ke semasa, apa lagi sekiranya penyaluran berita dibuat menerusi saluran internet.
Mengapa begitu hebat dan penting sekali pilihan raya kecil Permatang Pauh ini sehingga ia seolah-olah mengambil tempat sebagai ibu segala berita di negara jiran kita, Malaysia?.
Jawabnya ialah kerana dalam pilihan raya itu Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), penaung Parti Keadilan Rakyat atau ringkasnya PKR, yang merupakan salah sebuah daripada tiga komponen parti pembangkang di Malaysia, bertanding untuk membolehkan beliau kembali ke parlimen.
DSAI bukanlah seperti seperti calon biasa mana-mana parti politik. Dia adalah simbol penyatuan kepada perjuangan parti pembangkang ‘Pakatan Rakyat’ di Malaysia pada masa ini.
Kemenangan beliau akan dilihat sebagai memberi mesej kemenangan kepada pembangkang. Sebaliknya, jika beliau kalah, kesannnya juga dijangka boleh mendatangkan kesan kemudharatan kepada perpaduan dan kekuatan keseluruhan parti-parti pembangkang di Malaysia.
Ada pandangan yang berpendapat, jika DSAI menang dan dengan kemenangan itu akan membawa beliau kembali ke dalam parlimen, ia bakal memberi petanda yang tidak baik terhadap kerajaan Barisan Nasional yang memerintah.
Sebabnya, DSAI pandai berhujah. Dan dengan kepetahannya itu dia akan dapat mematahkan dengan mudah hujah-hujah yang akan dibawa oleh ahli-ahli parlimen dari kerajaan.
Mereka cuba memberi contoh bagaimana dalam debat mengenai isu harga minyak antara DSAI dengan Datuk Shabery Cheek yang disiarkan kepada umum bulan lalu, jarak kepatahan behujah antara mereka begitu jauh sehingga menampakkan Datuk Shabery seolah-olah seorang anak murid yang sedang berdebat dengan gurunya.
Lebih jauh dari itu, DSAI dengan segala pengalaman yang ada pada diri beliau selaku bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dikhuatiri oleh sesetengah kalangan sebagai mempunyai banyak maklumat serta pengalaman yang akan membolehkannya mempersoalkan apa saja dasar serta keputusan yang mahu diambil oleh kerajaan.
Jika ini berlaku maka akan sukarlah bagi kerajaan untuk melaksanakan sesuatu dasar atau tindakan yang telah dirancangkan.
Dalam pada itu, ada juga pandangan yang mengatakan kemenangan DSAI mampu memberikan impak yang kuat dari sudut perpaduan dan kekuatan parti-parti pembangkang dalam usaha mereka untuk mengambil alih kerajaan.
Slogan-slogan seperti “dari Permatang Pauh ke Putrajaya” dan tarikh pertukaran kerajaan yang diwar-warkan oleh DSAI pada 15 September 2008 misalnya, dilihat sebagai antara bentuk keazaman pembangkang untuk mengambil alih teraju pemerintahan Malaysia dari kerajaan Barisan Nasional yang memerintah pada masa ini.
Di kalangan beberapa blog pula, wujud dakwaan bahawa terdapat beberapa anggota parlimen dari BN terutama dari Sabah dan Sarawak hanya menunggu masa untuk menyeberang ke Pakatan Pembangkang sekiranya DSAI menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh itu.
Mereka ini dikatakan begitu yakin dengan kemenangan itu kelak, DSAI akan berupaya mengumpulkan sokongan yang akan membolehkannya mengambil alih kerajaan pada tarikh sasaran yang ditetapkan itu. Sejauh mana dakwaan ini benar belum ada pihak yang dapat mengesahkannya.
Dari satu sudut lain, kalah atau menang DSAI dalam pilihan raya ini nanti turut dilihat oleh beberapa pihak sebagai boleh memberi kesan tersendiri terhadap dakwaan salah laku liwat yang dihadapi oleh DSAI pada masa ini.
Mereka cenderung untuk mengutarakan hujah bahawa sememangnya mahkamahlah yang akan memutuskan samada DSAI bersalah atau tidak. Bagaimanapun, sekiranya DSAI menang, lebih-lebih lagi kemenangannya itu dicapai melalui majoriti yang lebih besar, maka sedikit sebanyak sebarang keputusan mensabitkan DSAI sebagai bersalah akan turut ditafsirkan oleh pembangkang sebagai bermotifkan politik.
Dengan kata lain, pengikut serta penyokong DSAI, juga barisan pembangkang dijangka tidak akan mudah menerima kenyataan sekiranya keputusan yang dibuat oleh mahkamah nanti tidak berpihak kepada DSAI. Mereka mungkin akan mengaitkannya sebagai bertujuan untuk menghalang DSAI daripada menjadi perdana menteri.
Apapun, marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan pilihan raya kecil di Permatang Pauh itu nanti berjalan dengan baik dan sempurna dengan semua pihak menghormati peraturan pilihan raya dan juga sebarang keputusan yang bakal dilahirkannya.
Apa yang penting ialah mandat majoriti rakyat diterima dan dihormati.
Selepas pilihan raya nanti, kita berharap dan berdoa agar semua saf persaudaraan Islam akan segera dipulih dan dirapatkan kembali. Insya-Allah, melaluinya kita berdoa agar Allah akan menurunkan rahmatNya jua – Wallahu a’alam. (mmo) |