APABILA Mahkamah Agung Filipina bertindak membatalkan proses damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada awal Ogos lalu, ia tidak seharusnya dilihat sekadar perkembangan biasa.
Sebaliknya, ia harus dilihat dalam skop berbeza iaitu kenapa proses damai itu dibatalkan pada saat akhir sebelum ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.
Sesungguhnya berita pembatalan proses damai itu amat mengejutkan dan mengecewakan banyak pihak yang berkepentingan dalam konflik di Wilayah Mindanao, Selatan Filipina.
Bagi penduduk Islam bangsa Moro, ia menggelapkan terus impian untuk membina kembali kehidupan yang musnah dek peperangan yang berlaku.
Bagi pejuang MILF, ia adalah satu lagi muslihat kotor yang mempermainkan keikhlasan dan kesanggupan mereka untuk berunding bagi menamatkan konflik.
Kesanggupan MILF berunding memperlihatkan mereka sebenarnya mencintai keamanan dan bukannya menolak perdamaian seperti didakwa beberapa pihak berkepentingan.
Bagi masyarakat antarabangsa pula, harapan untuk melihat proses demokrasi berjalan sempurna dan menghentikan tragedi yang meragut ratusan ribu nyawa berakhir dengan kehampaan.
Malaysia yang bertindak sebagai orang tengah bagi mengatur rundingan damai antara kedua-dua belah pihak bertelagah juga amat kecewa.
Dengan pembatalan itu, bermakna Kuala Lumpur hanya mampu melihat penderitaan di kalangan umat Islam di wilayah berkaitan, akan berterusan.
Realitinya jelas bahawa konflik yang berlarutan sejak 30 tahun lalu dan meragut lebih 120,000 nyawa akan terus membantutkan pertumbuhan ekonomi di wilayah yang sedia berada dalam keadaan miskin tetapi kaya dengan sumber bahan asli.
Namun persoalan yang timbul ialah apakah punca sebenar proses damai itu dibatalkan? Siapakah dalang sebenarnya berada di belakang pembatalan proses damai itu?
Kerajaan Filipina dilihat sengaja tidak mahu proses damai berkenaan berjalan lancar. Kerajaan Filipina juga dilihat sanggup bertindak membatalkannya cuma atas desakan segelintir ahli politik Kristian.
Ia juga disebut atas kepentingan politik Presiden Filipina, Gloria Arroyo.
Namun, adakah itu saja faktor yang mendorong pembatalan itu?
Di mana pula letaknya peranan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha pembatalan ini?
Perlu kita akui bahawa AS banyak memainkan peranan di Selatan Filipina. Tentera Filipina banyak menerima bantuan ketenteraan AS dalam tindakan agresif mereka untuk menghapuskan perjuangan bersenjata Moro di Mindanao.
Bukan saja sistem canggih yang dibekalkan, malah AS turut menghantar pakar perisikan serta pakar ketenteraan membantu operasi tentera Filipina yang meliputi pulau berdekatan sempadan perairan Sabah.
Jika itulah pendirian AS sebenarnya, kenapa tidak saja bertindak menentukan perjanjian damai yang sepatutnya ditandatangani, diteruskan.
Wujudnya tekanan daripada AS sudah semestinya dapat menyekat Arroyo daripada membuat keputusan membatalkan rancangan perdamaian yang sangat dinantikan itu.
Sekali lagi AS boleh dilihat sedia mempunyai agenda tersendiri khususnya di Mindanao.
Berlarutan kemelut yang berlaku sudah tentu dapat terus menghalalkan kehadiran elemen ketenteraan AS di wilayah itu dan sekali gus membenarkan pelaksanaan agenda tersirat mereka.
Kedudukan geopolitik Mindanao sesuai dijadikan pangkalan hadapan untuk menempatkan ketumbukan tentera bagi memantau rantau ini.
Kita perlu sedar bahawa di mana juga bumi Islam yang AS terbabit, keadaan sekitarnya tidak ada yang tenteram.
Lihat saja apa yang sedang berlaku di Afghanistan. Di Iraq pula, umat Islam saling berbunuhan. Kemelut di Palestin masih berterusan. Begitu juga dengan apa sudah dan sedang berlaku di Pakistan.
Oleh itu, jika AS ikhlas untuk membawa kedamaian, ruang untuknya di Mindanao sudah pun terbuka luas. Kenapa pada saat akhir segala persediaan untuk menerima keamanan dan kedamaian berkecai begitu saja. (BH) |