JOHOR BAHARU, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Brunei telah mencapai beberapa persetujuan untuk menyelesaikan pertikaian bertindih melibatkan kawasan-kawasan di sempadan perairan dan daratan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, kedua-dua negara akan menyertakan perkara-perkara yang dipersetujui tentang isu pertikaian kawasan sempadan di dalam surat dan saling ditukar-tukarkan di antara kedua-dua negara.
"Saya dan baginda Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah telah bersetuju supaya apa yang dipersetujui (tentang isu sempadan perairan dan darat) dimasukkan dalam surat atau 'pertukaran surat', yang akan ditandatangani di dalam masa yang terdekat," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Abdullah berkata demikian selepas selesai mengadakan perjumpaan empat mata dengan Sultan Brunei sempena dengan Majlis Rundingan Malaysia-Brunei kali ke-12 yang berlangsung di sini.
Masalah pertikaian kawasan di antara Malaysia dan Brunei membabitkan kawasan-kawasan perairan laut dalam yang kaya dengan sumber minyak dan gas di sempadan kedua-dua negara serta kawasan sempadan darat di Limbang, Sarawak.
Berikutan pertikaian di kawasan sempadan perairan itu, usaha penerokaan minyak dan gas di kawasan terbabit telah dihentikan bagi memberi peluang kepada proses rundingan di antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berharap majlis menandatangani surat itu akan dapat dilakukan dalam jangka masa terdekat manakala venuenya sama ada di Brunei atau Malaysia akan ditentukan kelak.
Beliau berkata cadangan spesifik tentang perkara berkenaan akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk pertimbangan dan persetujuan.
Kepada soalan sama ada pertukaran surat di antara kedua-dua negara itu boleh dianggap bahawa masalah pertikaian sempadan di antara kedua-dua negara telah selesai, Abdullah berkata:
"Kalau sudah ditandatangani nanti, ia akan menjadi satu tanda bahawa perkara-perkara yang dibincangkan itu telah mendapat persetujuan bersama, dan kalau sudah dipersetujui bolehlah dikatakan sudah selesai."
Mengenai sama ada syarikat minyak negara, Petronas akan dibenarkan menyambung operasinya di kawasan pertikaian kedua-dua negara itu, Perdana Menteri berkata ia bergantung kepada apa yang akan dipersetujui oleh kedua-dua negara.
"Ia bergantung kepada apa yang dipersetujui," katanya.
Perdana Menteri juga berkata, perbincangan antara beliau dan Sultan Brunei juga menyentuh mengenai Frequent Travellers Card (FTC) yang dilancarkan tahun lepas untuk meningkatkan lagi hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Katanya, beliau dan Sultan Hassanal Bolkiah telah bersetuju supaya FTC dipertingkatkan untuk digunakan oleh lebih ramai rakyat Malaysia dan Brunei.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga berkata kerajaan Brunei telah menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan sebarang peluang pelaburan di wilayah pembangunan ekonomi Iskandar Malaysia di sini.
Perdana Menteri berkata hasrat itu dinyatakan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan baginda dengan beliau hari ini.
“Baginda dah nyatakan keinginan untuk mempertimbangkan apa-apa peluang yang ada bagi pelaburan di kawasan itu. Dan lawatan baginda ini juga beri kesempatan kepada baginda untuk melihat pembangunan yang sekarang dah bermula di Iskandar Malaysia ini,” katanya pada sidang akhbar selepas perbincangan tahunan ke-12 Malaysia-Brunei, di sini.
KDYMM Sultan yang tiba di sini tengah hari ini dijadual meninjau kawasan Iskandar Malaysia selain mendengar taklimat mengenainya esok.
“Insya Allah dengan apa yang baginda lihat nanti baginda akan dapat mempertimbangkan tindakan kerjasama yang akan diambil,” kata Abdullah yang juga Pengerusi Bersama Iskandar Malaysia.
Abdullah berkata selain itu Brunei juga telah menyatakan keinginan untuk melabur di koridor pembangunan ekonomi Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun katanya, Brunei tidak menyatakan hasrat untuk melihat perkembangan di koridor ekonomi lain di negara ini.
“Tak ada. Tak bermakna baginda datang tengok ini maka baginda nak lihat koridor ekonomi Utara dan (koridor ekonomi) Pantai Timur pula,” katanya.
Menjawab satu lagi soalan, Abdullah yang sebelum itu mendengar taklimat mengenai Iskandar Malaysia berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai di kawasan tersebut.
“Saya berpuas hati pada waktu ini dengan progres yang telahpun diperoleh oleh pihak berkuasa bagi Iskandar Malaysia ini,” katanya. - Bernama
| Sila lihat artikel-artikel berhubung isu sempadan |