Tarikh 5 Ogos 2008 pada awalnya diharap akan menjadi satu tarikh keramat oleh penduduk Islam Mindanao. Ini kerana pada tarikh itulah sebuah perjanjian yang dikenal sebagai perjanjian persefahaman mengenai tanah pusaka turun temurun Bangsa Moro dijadual akan ditandatangani di antara kedua-dua belah pihak, Moro Islamic Liberation Front (MILF) dan kerajaan Filipina (GRP).
Perjanjian ini, yang dianggap kemuncak kepada pencapaian MILF dalam usaha perdamaiannya dengan kerajaan Filipina sejak tahun 2002, diharap akan menyumbang kepada berakhirnya segala sengketa dan masalah yang berlaku selama lebih 40 tahun di wilayah Mindanao itu.
Apa yang nyata, sepanjang empat dekad berlangsungnya kekacauan di wilayah selatan Filipina itu lebih 120,000 nyawa telah terkorban sementara ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal.
Maka atas sebab itulah harapan yang begitu tinggi diletakkan oleh pemimpin-pemimpin MILF terhadap perjajian tersebut, lebih-lebih lagi mengambil kira kerajaan Filipina, setelah melalui beberapa proses konsultasi yang begitu panjang dan berulang-ulang, akhirnya bersetuju untuk menandatangani perjanjian berkenaan.
Antara elemen penting yang terkandung dalam perjanjian yang bakal ditandatangani itu ialah persetujuan kerajaan pusat Filipina untuk memberi hak otonomi kepada penduduk Islam Mindanao dalam konteks hak mereka ke atas tanah pusaka turun temurun Bangsa Moro.
Bagaimanapun, perjanjian tersebut turut memperuntukkan satu konsultasi ala referendum akan di adakan di semua kawasan terlibat bertujuan untuk mendapatkan persetujuan penduduk setempat samada ingin dimasukkan di bawah kawasan perjanjian atau tidak.
Ini bagi mengelakkan adanya pandangan bahawa kawasan berkenaan dimasukkan secara paksaan.
Proses ini dijadual akan dilakukan dalam tempoh masa 12 tahun selepas perjanjian ditandatangani.
Selanjutnya, perjanjian tersebut memperuntukkan bahawa proses perbincangan untuk mendapatkan penyelesaian politik akan diadakan dalam tempoh masa 18 bulan.
Momentum yang terhasil daripada kelangsungan perjanjian ini pula kelak akan digunakan untuk mencari penyelesaian mutlak kepada konflik di Mindanao itu.
Malangnya, pada 4 Ogos 2008, Mahkamah Agung di Manila mengeluarkan perintah menghentikan buat sementara proses perdamaian antara kerajaan Filipina dengan MILF, sekaligus menghalang kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian hak otonomi yang telah diatur secara lebih awal itu.
Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Filipina itu dibuat selepas mahkamah menerima petisyen daripada beberapa pihak berkepentingan di wilayah Mindanao yang dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh wakil perunding di pihak kerajaan Filipina.
Mereka dikatakan melihat perjanjian tersebut sebagai boleh merugikan hak mereka.
Kelompok ini antara lain termasuklah Naib Gabenor Pinol, iaitu Naib Gabenor bagi wilayah utara Zamboanga yang termasuk dalam kawasan yang diliputi di bawah perjanjian, serta beberapa ahli kongres beragama Kristian.
Mereka melihat sebarang tindakan untuk memasukkan kawasan mereka di bawah kawasan perjanjian tersebut boleh menyebabkan mereka kelak akan kehilangan kuasa dan terpaksa hidup di bawah pemerintahan MILF. Atas sebab itulah mereka bertindak cepat dalam menghalang perjanjian tersebut daripada ditandatangani.
Di pihak MILF, tindakan kerajaan Filipina membatalkan di saat-saat akhir rancangan untuk menandatangani perjanjian otonomi itu telah ditafsirkan sebagai sesuatu yang sama sekali tidak dapat diterima.
Apa lagi setelah mengambil kira perjanjian tersebut telahpun beberapa kali melalui proses pindaan dan pembetulan di pihak kerajaan Filipina. Ini termasuklah di pihak pembuat undang-undang yang memberikan isyarat perjanjian tersebut boleh ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada hari yang dijadualkan.
Keenganan kerajaan Filipina untuk menanda tangani perjanjian otonomi pada hari yang ditetapkan itu juga turut mengundang adanya tafsiran yang lebih berat di kalangan beberapa pemimpin MILF yang cuba mengaitkannya sebagai mempunyai muslihat bertujuan untuk menggagalkan sama sekali proses rundingan damai yang sedia berjalan selama ini.
Pada mereka, apa yang diusahakan selama ini sebagai tidak kemana, sebaliknya seolah-olah kembali ke pangkal jalan, maka mereka juga terpaksa kembali kepada pendekatan asal dalam perjuangan menegakkan hak dan kedaulatan tanah air mereka itu.
Pendekatan asal itu tidak lain adalah melalui perjuangan peperangan!.
Di pihak kerajaan Malaysia yang menjadi fasilitator dalam rundingan antara kedua-dua belah itu, merasakan kewujudan perintah Mahkamah Agung Filipina yang sama sekali tidak pernah dijangkakan itu telah turut membuatkan pihak-pihak yang mengusahakan perdamaian kini berada dalam kebuntuan.
Walaupun Malaysia amat kecewa dengan perkembangan muktahir yang berlaku itu namun Menteri Luar Malaysia kemarin menyatakan bahawa, atas permintaan GRP dan MILF, Malaysia bersetuju melanjutkan tugas Pasukan Pengaman Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao sementara menunggu keputusan Mahkamah Agung Filippina terhadap pemetrian perjanjian antara kerajaan Filipina dan MILF.
Di Manila, selain beberapa pihak yang dikatakan bimbang akan terhakis kuasa dan pengaruh mereka sekiranya perjanjian otonomi ditandatangani, terdapat maklumat ada lagi beberapa pihak lain yang membantah keras keputusan kerajaan untuk menandatangani perjaniian dengan MILF itu.
Antara mereka termasuklah kumpulan parti-parti pembangkang di Filipina. Mereka melihat tindakan kerajaan untuk menandatangani perjanjian dengan MILF itu sebagai sesuatu yang tidak telus dan tidak demokratik.
Mereka mendakwa perjanjian tersebut cuba dilaksanakan sebagai salah satu usaha Presiden untuk membuat perubahan kepada struktur perlembagaan supaya struktur pemerintahan negara dapat ditukar.
Dengan itu, Presiden nanti akan dapat menyambung pemerintahannya dalam struktur yang baru.
Mereka jelasnya, cuba mentafsir tindakan kerajaan di sebalik persetujuan untuk menandatangani perjanjian dengan MILF itu sebagai mempunyai agenda peribadi Presiden dan kelompok penyokongnya.
Namun di pihak MILF, tiada sebab sebenarnya bagi kerajaan Filipina untuk gagal menandatangani perjanjian yang telah dipersetujui bersama secara lebih awal itu.
MILF berpandangan adalah menjadi tanggung jawab kerajaan Filipina untuk merujuk perjanjian berkenaan dengan semua pihak berkepentingan di Filipina sebelum memutuskan kesediaan untuk menanda tangani perjanjian tersebut.
Apa lagi sebelum inipun, kerajaan Filipina telah mengambil masa yang begitu lama untuk mengkaji dan membuat perubahan di atas deraf perjanjian berkenaan sebelum akhirnya bersetuju terhadap semua perkara yang termaktub dalam perjanjian yang bakal ditandatangani itu.
Justeru itu, tidak harus ada lagi sebarang sebab di pihak kerajaan Filipina untuk berdolak dalik dengan enggan menanda tangani perjanjian tersebut.
MILF juga mengambil pendirian tegas tidak rela melihat segala persetujuan yang telah termaktub dalam perjanjian itu dipinda bertujuan untuk memuaskan hati pihak-pihak tertentu di Manila.
MILF juga kini tidak menolak kemungkinan keputusan Mahkamah Agung menangguhkan buat sementara rundingan damai GRP-MILF boleh bertukar menjadi penghalang selama-lamanya kepada tercapainya impian MILF untuk mendapatkan hak otonomi bagi umat Islam di wilayah Filipina Selatan itu yang makmur dan aman damai.
Sekiranya ini berlaku maka sia-sia sahajalah segala usaha perdamaian yang cuba dirintis dengan kerajaan Filipina selama ini.
Ia sekaligus boleh menghilangkan kepercayaan penduduk Islam Mindanao terhadap kerajaan di samping boleh memberi gambaran seolah-olah MILF kalah dengan tipu muslihat di pihak kerajaan Filipina sekali gus memarakkan api kemarahan mereka terhadap kerajaan.
Justeru dengan berpegang kepada perhitungan seperti inilah beberapa orang komander perang MILF segera bertindak mengangkat kembali senjata sebagai tanda kekecewaan mereka terhadap kerajaan pusat di Manila.
Hal ini telah diakui sendiri oleh Pengerusi MILF, Hj Murad Ibrahim dalam satu sidang media beliau pada 25 Ogos 2008. Di sebalik melahirkan rasa kesal beliau di atas kekacuan terbaru yang berlaku di Lanao dan Cotabato Utara, Hj Murad menyatakan bahawa kejadian tersebut tidak syak lagi berlaku ekoran adanya kekecewaan sesetengah komander perang MILF di atas kegagalan berlangsungnya pemetraian perjanjian pada 5 Ogos 2008 lalu.
Namun demikian, beliau turut mengulangi komitmen MILF untuk terus terlibat dalam proses rundingan damai dengan kerajaan. Bagaimanapun, menurutnya, jika kerajaan gagal menunjukkan kesungguhan ke arah itu, MILF tidak lagi mempunyai pilihan lain kecuali terpaksa kembali mengangkat senjata.
Kita sesungguhnya merasa kecewa dengan apa yang berlaku. Harapan yang begitu tinggi diletakkan di sebalik usaha perdamaian yang diusahakan sejak sekian lama itu kini seolah-olah hancur ekoran perjanjian yang gagal direalisasikan itu.
Kita juga merasa amat kesal kerana di sebalik adanya kesungguhan di pihak kepimpinan Arroyo untuk menyelesaikan masalah yang ada, wujud pula pihak-pihak tertentu yang nampaknya lebih mengutamakan agenda peribadi dan kelompok masing-masing sehingga menggagalkan semua perancangan serta persetujuan yang telah dicapai oleh pihak-pihak yang terlibat dalam usaha perdamaian selama ini.
Harapan dan doa kita kini ialah untuk melihat wilayah Mindanao yang kembali bergolak itu akan dapat dihentikan segera.
Kita tidak rela melihat nyawa mereka yang tidak berdosa tergadai dek adanya perhitungan peribadi beberapa kelompok tertentu yang cuba membelakangi kehendak majoriti rakyat Filipina yang inginkan perdamaian.
Kearah itu, kita berharap komitmen Malaysia untuk mengekalkan pasukan IMT di Mindanao bersama pasukan Brunei Darussalam dan usaha untuk membawa semula kedua pihak yang betelagah ke meja rundingan akan diteruskan sehingga penyelesaian dan keamanan sejati wujud disana.
Dalam masa yang sama, kita juga berharap Brunei Darussalam akan mempersiapkan dirinya bagi mengambil alih peranan Malaysia sewaktu-waktu Malaysia memutuskan penarikan balik komitmennya untuk menjadi broker perdamaian diwilayah itu.
Dengan sokongan Malaysia mungkin Brunei Darussalam boleh menjadi hos perundingan perdamaian GRP – MILF seterusnya.
Kita yakin Malaysia tidak akan teragak-agak mengongsikan pengalamannya dengan Brunei Darussalam – Wallahu a’alam. (mmo).