LIMBARUH HIJAU 29 OGOS 2008 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) amat mengalu-alukan langkah bijaksana Negara Brunei Darussalam dan Malaysia untuk menyelesaikan pertikaian bertindih melibatkan kawasan-kawasan di sempadan perairan dan daratan kedua-dua buah negara.
 |
Kedua buah negara telah mencapai kata sepakat ini di Masjlis Rundingan Tahunan kali ke 12 di Johor Baharu 26 Ogos lalu yang di hadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.
Di rundingan tersebut Baginda Sultan dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju untuk menyertakan perkara-perkara yang dipersetujui tentang isu
|
pertikaian kawasan sempadan di dalam surat dan pertukaran surat di antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan yang di buat oleh Perdana Menteri Malaysia surat yang di maksudkan akan di tandatangani oleh kedua-dua buah negara sedikit masa lagi di satu majlis yang akan diadakan sama ada di Brunei atau di Malaysia.
Berikutan perkembangan terbaru ini NDP dengan rendah hati menjunjung kasih kehadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan untuk merakamkan rasa gembira rakyat terutama sekali ahli-ahli parti atas pencapain awal yang sangat menggalakkan berhubung pertikaian sempadan bertindih antara kedua-dua buah negara yang sudah berlarutan buat sekian lamanya.
"Isu pertikaian sempadan bertindih ini merupakan isu yang sangat dekat di hati NDP. NDP menyedari ianya bukanlah satu isu kecil yang hanya melibatkan kemaslahatan penduduk-penduduk di kampong-kampong yang terjejas oleh isu pertikaian sempadan tersebut bahkan lebih jauh dari itu ianya melibatkan isu keutuhan wilayah negara, kedaulatan serta survival bangsa dan negara, jelas Ayahnda Yasin Affandy", Presiden NDP.
"Justeru NDP berpandangan dan yakin apa pun persetujuan yang di capai setentunya bertepatan dengan tuntutan-tuntutan untuk memelihara integeriti wilayah, kedaulatan dan survival bangsa dan negara, tambah Presiden NDP ketika membuat kenyataan berkenaan pencapain awal yang dibuat dalam Rundingan Tahunan Brunei-Malaysia ke-12 tersebut".
Katanya dalam masa sama NDP juga berpegang pada prinsip keadilan, bahawa kita hendaklah mengambalikan apa jua hak kepada yang berhak.
Dalam konteks isu ini, NDP berharap sebarang persetujuan yang bakal dicapai antara kedua-dua negara sewajarnya berasaskan prinsip tersebut, tegas Presiden NDP lagi.
Tambahnya,"demikian juga sebarang perbincangan dan persetujuan mengenai pembangunan bersama sempadan hendaklah bertolak dari prinsip di atas selaras dengan prinsip-prinsip Islam yang menjadi pegangan teras kepimpinan dan pemerintahan kedua-dua negara".
Presiden NDP seterusnya berpandangan bahawa semua pihak perlu mengiktiraf bahawa dari segi sejarah wilayah Limbang adalah hak milik dan sebahagian daripada wilayah Brunei.
"Hak dan kedaulatan Brunei ke atas Limbang itu tidak pernah menjadi pertikaian", tegas Presiden NDP.
Walau bagaimanapun, tambahnya, disebabkan manipulasi dan tekanan penjajah ke atas pemerintahan Brunei, hak dan kedaulatan Brunei ke atas sebahagian wilayahnya di Sarawak telah terhakis.
"Tidak syak lagi keadaan ini adalah satu perencanaan penjajah untuk menjaga kepentingan strategik dan ekonomi mereka. Perancanaan ini boleh dilihat dengan jelas bagaimana keluasan wilayah Brunei menguncup dari masa kesemasa dalam tempoh 31 tahun pertama Brunei di bawah penjajahan British", menurut Presiden NDP lagi.
Menurutnya pada tahun 1906, semasa Brunei menanda tangani perjanjian pernaungan dengan Great Britain, wilayah Brunei yang diiktiraf ketika itu ialah “The state of Brunei comprises and estimated area of about 3,000 sq miles, with a coast line of about 100 miles, and lies between Lubok Pulai, the Eastern boundry of the Baram District (Sarawak) and Tanjong Puan, at the mouth of the River Trusan”
"Keluasan 3,000 batu persegi itu adalah bersumberkan Report on Brune For 1906 oleh Residen British yang pertama di Brunei, iaitu S. McArthur. Keluasan wilayah Brunei yang 3,000 batu persegi itu menguncup kepada 2,500 batu persegi pada tahun 1924 berdasarkan Report. On The State of Brunei For the Year 1924 oleh E.E.F. Pretty, British Resident di Brunei ketika itu. Ini bermakna dalam tempoh 18 tahun pemerintahan British, Brunei telah kehilangan wilayah seluas 500 batu persegi".
Katanya lagi, "berdasarkan Annual Report For The Year For 1936 oleh J. Graham Black, Residen British di Brunei ketika itu, keluasan wilayah Brunei menyusut kepada 2,280 batu persegi. Ini bermakna, dalam tempoh 12 tahun berikutnya, Brunei telah kehilangan wilayah seluas 220 batu persegi lagi".
"Wilayah Brunei terus menguncup kepada 2,226 batu persegi berdasarkan Annual Report For The Year 1937 oleh British Residen yang sama. Ini bermakna. dalam masa setahun berikutnya, Brunei terus kehilangan wilayah seluas 54 batu persegi lagi", jelas Presiden NDP.
"Berdasarkan fakta-fakta sejarah di atas, dalam tempoh 31 tahun pertama di bawah pemerintahan British, Brunei telah kehilangan hak dan kedaulatan ke atas wilayah persempadanan Brunei – Sarawak seluas 774 batu persegi atau 25.8%".
"NDP berpandangan kehilangan hak dan kedaulatan ke atas wilayah seluas 774 batu persegi atau 25.8% adalah disebabkan manipulasi yang batil oleh penjajah British, iaitu penjajah yang sama menjajah Sarawak dan Sabah ketika itu", tegas Presiden NDP.
Berdasarkan fakta-fakta di atas, tambahnya, NDP berpandangan bahawa keluasan wilayah Brunei dari segi hak dan kedaulatannya ialah 3,000 batu persegi seperti yang diiktiraf oleh British pada tahun 1906, dan bukannya 2,226 batu persegi seperti sekarang ini.
"Apa pun alasan yang diberikan mengenai penguncupan wilayah Brunei itu, adalah sama sekali tidak dapat diterima. Ini adalah berdasarkan kepada hakikat, bahawa Brunei adalah di bawah naungan British yang berkuasa ke atas hal ehwal negeri Brunei. Di samping itu, Brunei juga berada di bawah tekanan politik penjajah British (political duress)", ujar Presiden NDP.
"Dengan segala rendah hati NDP menyatakan bahawa pandangan ini bukanlah satu desakan atau tekanan kepada mana-mana pihak, tetapi dilahirkan atas keinsafan dan kesedaran kita untuk terus memelihara hubungan akrab kedua negara dan rakyat", tambah Presiden NDP.
Kita selaku rakyat negara yang di cintai ini juga mempunyai tanggungjawab bernegara dan memelihara keutuhan wilayah demi kepentingan generasi akan datang, tekan Presiden NDP.
Sehubungan dengan itu, Ayahnda Yasin Affandy berseru kepada para pengkaji sejarah, golongan akademik, ahli-ahli koporat dan lain-lain yang berkenaan agar maju kehadapan membantu KDYMM Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda dengan menyumbangkan buah fikiran selaras dengan bidang-bidang mereka.
Contohnya, tambah Presiden NDP, pakar dan pengkaji sejarah haruslah mendepani isu ini dengan menyumbangkan dan menyebarluaskan kepada umum dapatan kajian-kajian sejarah berhubung isu pertikaian bertindih melibatkan kawasan-kawasan sempadan perairan dan daratan kedua-dua buah negara.
Kita perlu memberikan kefahaman kepada rakyat dan penduduk yang juga merupakan 'stakeholders' dalam isu tersebut, tegasnya lagi.
Mudah-mudahan dengan adanya sokongan dan dokongan seperti ini akan bukan sahaja memberikan kekuatan kepada Baginda Sultan dan kerajaan Baginda, bahkan akan dapat membantu rakyat dan penduduk menjalanakan tugas dan tanggungjawab bernegara dan memelihara keutuhan wilayah demi kepentingan generasi akan datang, ujar Presiden NDP.