LIMBARUH HIJAU 11 OGOS 2008 - DALAM satu sesi muzakarah tertutup baru-baru ini ahli-ahli akar umbi dan kepimpinan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah meluahkan kerisauan mengenai kedudukan hartanah milik orang Melayu di negara ini.
Mereka bimbang dalam masa negara sedang pesat membangun dan memodenkan kawasan-kawasan bandar, tanah orang Melayu terutama di kawasan bandar dan di persekitarannya akan berterusan terlepas ke tangan pemaju-pemaju bukan Melayu yang semakin rancak mengekploitasi peluang-peluang memajukan hartanah milik orang Melayu.
Setakat ini kurang pasti berapa buah rumah sewa, rumah kedai dan bangunan komersial yang di bangunkan di tapak tanah orang Melayu yang telah terlepas ke tangan pemaju-pemaju hartanah bukan Melayu.
Jika mengambil kira modus operandi pemaju-pemaju tersebut dan perjanjian memaju hartanah yang mereka gunapakai, boleh di anggarkan sekitar 70 peratus jumlah rumah-rumah sewa, bangunan rumah kedai dan bangunan komersial yang terdapat di seluruh negara di miliki pemaju-pemaju asing dan bukan Melayu.
Sebagai contoh jika sekiranya pemaju membina 100 unit rumah kedai, melalui perjanjian tersebut 70 unit akan jadi milik pemaju manakala bahagian selebihnya untuk pemilik tanah.
Sementara itu di percayai ada juga terdapat perjanjian memaju hartanah yang hanya memerlukan pemaju 'menghadiahkan' sebuah dua rumah kepada pemilik tanah manakala pemaju memiliki 100 peratus rumah-rumah sewa, rumah kedai atau bangunan komersial yang dibina.
Kalau ini di ambil kira bermakna jumlah rumah sewa, rumah kedai dan bangunan komersial milik orang bukan Melayu di negara ini mungkin lebih dari jumlah peratus yang di anggarkan awal tadi.
Ini tidak mustahil memandangkan tren memaju hartanah di negara ini jelas menunjukkan semakin ramai orang Melayu tidak ada pilhan selain menggunakan khidmat pemaju-pemaju bangsa asing dan bukan Melayu untuk memajukan tanah-tanah mereka.
Tren ini bukanlah satu perkara yang unik bagi Brunei sahaja. Ianya juga berlaku di negara-negara jiran seperti di Malaysia, Singapura dan Indonesia di mana ekonomi orang Melayu di tahap lemah berbanding bangsa lain yang mempunyai banyak kelebihan termasuk di bidang memaju hartanah.
Dengan kedudukan ekonomi yang lebih kukuh kaum Cina di Malaysia contohnya, menguasai peratusan besar pemilikan bangunan di Kuala Lumpur.
Menyingkap sedikit sejarah Kuala Lumpur, pada tahun 1800 ianya hanya merupakan sebuah perkampongan orang Melayu yang kecil.
Hampir seratus peratus penduduk adalah orang Melayu dan hampir kesemua hartanah di kuasai orang Melayu.
Kuala Lumpur mula dibina pada tahun 1857 di kuala sungai Gombak dan Klang. Pendudukannya bermula apabila seorang ahli keluarga kerajaan Selangor, Raja Abdullah, membuka Lembah Klang untuk pelombongan biji timah.
87 pencari gali Cina telah pergi ke sungai Klang dan memulakan prospek di daerah Ampang, yang pada masa itu kawasan hutan belantara.
Walaupun 69 dari mereka meninggal dunia kerana keadaan penyakit wabak, pelombongan biji timah terus berkembang.
Ini menarik perhatian banyak pedagang yang berdagang keperluan asas kepada pelombong-pelombong biji timah.
Pedagang membina kedai di kuala sungai Klang dan Gombak hingga lahirlah sebuah bandar.
Sementara pekan itu membesar, Inggeris, yang menjajah Malaya pada waktu itu, merasa mereka harus melantik (Kapitan Cina, atau Kapten kepada orang Cina) untuk mentadbirkan settlement itu dan memastikan ada undang-undang dan peraturan.
Kapitan Cina yang pertama itu adalah Hiu Siew. Kapitan Cina yang ketiga adalah Yap Ah Loy, yang memajukan Kuala Lumpur dari pekan lombongan kecil yang sunyi hingga ia menjadi bandar Selangor yang terutama.
Kuala Lumpur maju dengan cepat semenjak Kepesatan Ekonomi Asia pada awal 1990an. Pencakar langit telah dibinakan dan Kuala Lumpur, yang duluya merupakan sebuah kota kara penjajahan yang tidak bermaya, telah menjadi salah satu bandar yang tersibuk, maju dan bersemangat di Asia Tenggara.
Dalam masa sama penduduk Melayu yang dulunya merupakan penduduk majoriti sekarang menjadi penduduk minoriti di Kuala Lumpur. Orang-orang Melayu juga tidak lagi menguasai sepenuhnya hartanah di Kuala Lumpur.
Berdasarkan statistik pemilikan hartanah Kuala Lumpur, sehingga Jun 2008 masyarakat Melayu di Malaysia hanya memiliki 21.67 peratus iaitu 93,000 daripada 429,130 unit keseluruhan.
Statistik tersebut menunjukkan kaum Cina di sana mendahului senarai keseluruhan pemilikan hartanah iaitu sebanyak 52.13 peratus atau 223,172 unit.
Bagaimanapun, bagi kaum India pula pemilikan hartanah adalah sebanyak 5.10 peratus iaitu 21,880 unit manakala lain-lain kaum pula memiliki sebanyak 4.77 peratus mewakili 20,472 unit dan 16.33 peratus iaitu 70,066 dimiliki oleh syarikat atau agensi.
Daripada jumlah keseluruhan itu kaum Melayu di Malaysia hanya memiliki 5.71 peratus iaitu 4,737 bagi kategori unit komersial berbanding kaum Cina yang jauh lebih tinggi dengan pemilikan sebanyak 48.97 peratus iaitu 40,634 unit.
Kaum India pula memiliki 2.85 peratus iaitu 2,365 unit dan lain-lain kaum memiliki 3.83 peratus iaitu sebanyak 3,179 unit sementara selebihnya adalah milik syarikat atau agensi iaitu 38.64 peratus atau 32,061 unit.
Kaum Cina di Malaysia juga menurut statistik yang sama, masih mendahului dalam kategori pemilikan unit kediaman dengan pemilikan sebanyak 53.08 peratus iaitu sebanyak 181,167 unit berbanding Melayu hanya memiliki 25.84 peratus dengan jumlah pemilikan sebanyak 88,209 unit.
Kaum India memiliki sebanyak 5.71 peratus iaitu 19,493 unit dan lain-lain kaum memiliki 5.04 peratus dengan jumlah sebanyak 17,194 unit kediaman. Selebihnya 10.33 peratus iaitu 35,266 unit dimiliki syarikat dan agensi.
Dalam kategori hartanah industri, kaum Cina juga jauh mendahului kaum lain dengan pemilikan sebanyak 39.77 peratus iaitu sebanyak 1,888 unit berbanding Melayu yang memiliki 1.12 peratus bersamaan 53 unit.
Kaum India mewakili peratusan terkecil dengan pemilikan sebanyak 0.42 peratus dengan jumlah sebanyak 20 unit berbanding lain-lain kaum sebanyak 1.77 peratus bersamaan 84 unit.
Dalam kategori ini syarikat dan agensi memiliki sebanyak 56,923 peratus dengan jumlah pemilikan sebanyak 2,702 unit hartanah industri.
Bagi kategori institusi pula, kaum Melayu di sana hanya memiliki 1.28 peratus iaitu satu unit pemilikan hartanah berbanding kaum Cina dan lain-lain kaum yang masing-masing memiliki 29.49 dan 19.23 peratus dengan jumlah sebenar sebanyak 23 dan 15 unit manakala kaum India memiliki 2.56 peratus iaitu dua unit hartanah dan syarikat atau agensi mewakili 47.44 peratus dengan jumlah sebanyak 37 hartanah dimiliki dalam kategori pemilikan hartanah institusi.
Berdasarkan statistik tersebut dapat di bayangkan betapa kaum Cina di Malaysia dari generasi awal hingga sekarang telah berjaya membina dan memantapkan lagi asas ekonomi mereka yang pada awalnya hanya tertumpu kepada sektor perlombongan hingga sekarang menjalar ke bidang memaju hartanah.
Hakikatnya tanah orang Melayu di Malaysia semakin terhakis. Jika dua ratus tahun dahulu hampir 100 peratus tanah di Kuala Lumpur milik orang Melayu tetapi sekarang hanya tinggal 20 peratus masih dikuasai orang Melayu.
Namun demikian pihak-pihak tertentu di Malaysia sangat menyedari akan hakikat ini justeru mereka, melalui agensi-agensi kerajaan, contohnya melalui UDA (Urban Development Authority) atau Lembaga Pembangunan Bandar, telah mengambil langkah-langkah yang berpatutan untuk mengimbangi keadaan yang membimbangkan ini.
Bagaimana pula hal nya kita di Brunei?
Kita kurang jelas apakah pihak Kerajaan sudah mengambil langkah-langkah berpatutan untuk menyelamatkan tanah-tanah milik orang Melayu dari terus jatuh ke tangan pemaju-pemaju asing dan bukan Melayu?
Memang terdapat satu peraturan jelas yang tidak membenarkan pemaju-pemaju membina bangunan tinggi di persekitaran Mesjid Sultan Omar Ali Saiffudein di Bandar Seri Begawan dan di persekitaran Jame Asr Hassanal Bolkiah di Kiulap.
Tujuannya ialah agar menara-menara masjid tersebut yang menggambarkan kesucian Islam di Brunei tidak terlindung oleh bangunan-bangunan tinggi ini.
Kalau kita mempunyai peraturan jelas bagi memastikan kesucian Islam tidak terjejas oleh kepesatan pembangunan bandar, bagaimana pula halnya dengan isu mempertahankan ketuanan Melayu di negara ini?
Bagaimana pula dengan kedaulatan dan ketuanan orang Melayu di Brunei dalam konteks pemilikkan hartanah? Apakah terdapat peraturan atau akta pembangunan yang mejurus kearah mempertahankan kedaulatan dan ketuanan Melayu di negara ini?
Kita menyedari memang terdapat Akta Tanah yang di kuatkuasakan di negara ini khusus untuk melindungi tanah-tanah milik orang Melayu dari jatuh ke tangan orang bukan Melayu dan rakyat asing.
Tetapi sejauh ini kita juga sering menyaksikan betapa Akta Tanah tersebut berjaya di manipulasi oleh pemaju-pemaju hartanah bukan Melayu. Ianya jelas tidak dapat mempertahankan ketuanan hartanah Melayu di negara ini.
Keadaan ini memberikan ruang yang luas untuk bangsa asing dan bukan Melayu meneruskan agenda memperkukh ekonomi mereka di bumi Brunei ini dengan memperhambakan tuan-tuan hartanah orang Meyau melalui perjanjian yang berat sebelah.
Seperti juga di Kuala Lumpur, kawasan Bandar Seri Begawan yang sekarang merangkumi Kampong Kianggeh, Gadong, Kiulap dan Serusup dulunya di huni oleh majoriti orang Melayu.
Tetapi sekarang dengan pembangunan yang pesat di manakah perginya orang Melayu di Kianggeh, Gadong, Kiulap dan Serusup?
Apakah orang Meayu masih merupakan penduduk majoriti di kampong-kampong ini dan siapakah yang sekarang menguasai ekonomi dan tanah-tanah di kampong-kampong orang Melayu ini? Orang Melayu atau orang bukan Melayu?
Persoalan ini membuatkan kita berfikir dan mempersoalkan apakah pihak kerajaan sudah mempunyai strategi-strategi tertentu untuk berhadapan dengan cabaran mempertahankan ketuanan Melayu di negara ini?
Apakah pihak-pihak tertentu sudah memikirkan masak-masak untuk melakar satu strategi yang lebih mantap untuk mengimbangi kekuatan ekonomi bangsa asing dan bukan Melayu di negara ini agar ketuanan Melayu terus terpelihara?
Jika ada kita berharap ketelusan dari pihak-pihak tertentu agar pemilik-pemilik tanah orang Melayu pandai membuat keputusan yang bijak sebelum melepaskan tanah-tanah milik mereka ke tangan pemaju-pemaju asing dan bukan Melayu.
Sejauh ini kita belum dapat melihat terdapatnya sebarang strategi yang fokus kearah itu dalam Perencanaan Kemajuan Negara Jangka Panjang menuju kearah Wawasan Brunei 2035. Mungkin ada tetapi secara abstrak dan konseptual sahaja.
Apa yang kita perlukan ialah satu strategi yang jelas dan fokus Untuk itu dengan rendah hati di cadangkan apa kiranya pihak-pihak berkenaan mengambil langkah menubuhkan satu badan yang di khususkan untuk menangani cabaran tersebut.
Kerajaan mungkin boleh menubuhkan sebuah Perbadanan Pembangunan Bandar (PPB) sebagai sebuah badan koporat yang di berikan mandat dan autoriti penuh untuk membangunkan ekonomi orang Melayu di kawasan bandar.
Sebagai sebuah badan koporat milik kerajaan Perbadanan ini akan fokus dalam melaksanakan agenda untuk menyusun semula masyarakat Melayu melalui aktiviti pembangunan bandar supaya tidak terus terpinggir.
Dengan adanya Perbadanan ini tanah-tanah orang Melayu di kawasan bandar dan persekitarannya dapat di majukan dengan lebih berkesan dan sejajar dengan agenda Rancangan Kemajuan Negara untuk membina ekonomi bumiputera di negara ini.
Perbadanan ini akan menjadi perintis kepada pembangunan bandar dengan menyediakan projek-projek perumahan dan pusat komersial yang berprestij dan eksklusif di kawasan bandar dan persekitarannya.
Perbadanan ini juga mestilah di berikan ruang untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam membantu usahawan bumiputera dengan menyediakan bandar-bandar baru, ruang niaga dan pusat-pusat perniagaan yang strategik bagi membantu mengembangkan ekonomi Melayu di bandar.
Kita yakin strategi ini dapat di laksanakan.
Orang-orang Melayu Brunei akan merasa lebih terbela jika peluang-peluang untuk berkerjasama memaju hartanah mereka dengan pihak Kerajaan di bukakan seluas-luasnya.
Masalahnya sekarang orang-orang Melayu di Brunei tidak ada pilihan lain selain bergantung terus kepada bangsa-bangsa asing dan bukan Melayu untuk mencapai kemajuan di bidang ekonomi.
Peniaga-peniaga asing dan bukan Melayu terus menguasai hampir semua bidang ekonomi di negara ini.
Dalam industri pembinaan sahaja, bangsa-bangsa asing dan bukan Melayu terus menguasai sektor pembekalan bahan binaan, penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan lain-lain yang bersangkutan dengan sektor pembinaan.
Dari itu selain dari membantu orang Meyau memajukan tanah-tanah mereka, Perbadanan ini juga boleh berkecimpung dalam perniagaan di bidang pembekalan bahan binaan.
Melalui Perbadanan ini syarikat profesional dan pemborong bumiputera akan mendapat peluang menyediakan khidmat rundingan dan membantu dalam melaksanakan pembinaan projek-projek hartanah Perbandanan ini.
Perbadanan ini juga boleh memperkenalkan program ‘Vendor’ yang boleh membuka peluang kepada para usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri bekalan bahan binaan, peralatan sistem keselamatan rumah, pejabat, taman permainan serta landskap untuk membekalkan barang-barang bagi projek-projek yang dimajukan oleh Perbadanan ini.
Insya Allah melalui strategi-strategi seperti ini cita-cita murni untuk menjadikan orang Meyau sebagai 'captain of industry' di negara ini, satu cita-cita yang telah dijadikan agenda sejak negara melaksanakan Rancangan Kemajuan Negara 24 tahun yang lalu akan menjadi kenyataan. Wallahu Wa alam (mho).