LIMBARUH HIJAU 31 OGOS 2008 - ALHAMDULLILAH hari ini hari ulang tahun kali ke-3 penubuhan Parti Pembangunan Bangsa (NDP).
Satu majlis kesyukuran akan berlangsung petang nanti di markas NDP di Limbaruh Hijau, Jerudong sempena hari ulang tahun ke-3 kelahiran NDP di arena politik negara yang selama lebih 40 tahun mengalami kemarau politik.
Terlalu banyak mahu di ceritakan mengenai dengan perkembangan dan pencapaian yang telah di buat oleh NDP dalam jangka umurnya yang masih muda ini. Dan terlalu banyak juga cerita-cerita mengenai cabaran dan rintangan yang di hadapinya sepanjang perjalanan melaksanakan tekad menjunjung titah membangun bangsa.
Memang fitrahnya perjuangan, penuh cabaran dan rintangan. Semuanya harus di lalui dengan penuh tabah dan kesabaran serta kematangan.
Secara ringkas, NDP lahir pada 31 Ogos 2005 dalam suasana politik rakyat yang agak malap.
Kelahirannya di sambut dengan berbagai reaksi dari kalangan masyarakat umum dan pemerhati politik setempat dan juga dari kalangan masyarakat antarabangsa.
Sebilangan menyambut baik dan menaruh harapan agar NDP akan berjaya membawa perubahan baru kepada suasana politik negara yang agak malap itu.
Mereka menaruh harapan agar NDP akan menjadi pelantar untuk rakyat menyumbangkan secara lebih demokratik dan efektif khidmat bakti kepada negara, bangsa, agama dan raja.
Sebilangan lain pula menyambutnya dengan was-was dan ragu-ragu apakah betul ada ruang bagi rakyat untuk bergiat aktif dalam arena politik dalam suasana kehidupan di Brunei (dari kaca mata mereka) sudah cukup selesa, aman damai dan sejahtera.
Mereka mempersoalkan relevannya berparti politik di Brunei. Apa yang hendak di perjuangakan sedangkan semuanya sudah di sediakan oleh kerajaan.
Justeru ada yang memandang serong terhadap NDP terutama terhadap barisan pelopor parti yang sebilangan besar terdiri dari bekas-bekas pejuang kemerdekaan di tahun 1960an.
Semuanya itu sudah di jangkakan namun apa pun persepsi negatif ramai yang di lontarkan ianya tidak mematahkan semangat barisan kempimpinan NDP dan juga ahli-ahli akar umbi yang begitu berani untuk mara kehadapan menyahut semboyan perjuangan NDP.
Selain itu dalam perjalanannya selama 3 tahun berbagai-bagai cabaran dan rintangan juga dihadapi.
Antaranya dengan kehadiran NDP, terbitlah edisi terbaru 'Buku Hijau' peraturan dan aturan Majlis Perundinagn Mukim dan Kampong (MPM,MPK) untuk mengasingkan rakyat yang berpolitik sebagai satu kelompok masyarakat yang berbeza dengan ketua-ketua kampong dan penghulu-penghulu serta ahli-ahli MPM dan MPK.
Buku Hijau tersebut hingga sekarang menjadi bahan rujukkan kepada sebilangan ahli-ahli MPM, MPK untuk tidak mendekati atau membuat hubungan dengan rakyat yang berpolitik.
Tidak cukup dengan itu terdapat pula cubaan menabur berita angin untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama dikalangan warga emas dan pesara-pesara agar tidak melibatkan diri dengan NDP jika tidak mahu kehilangan elaun sara hidup dan gaji pencen mereka.
Tekanan demi tekakan lain juga di timpakan contohnya kepada sebilangan ahli-ahli NDP yang berniaga hingga ada yang takut kehilangan pencarian, terpaksa dengan berat hati mengundur diri dari NDP.
Banyak lagi isu tekanan lain jika hendak dibentangkan di sini seperti isu pengibaran bendera 'Sang Setia', pengunaan lencana dan terakhir ini isu penggunaan rumah persendirian sebagai pejabat ranting.
Pokoknya semua cabaran dan rintangan tersebut dapat di hadapi dan di tangani oleh pimpinan-pemimpin dan ahli-ahli NDP dengan penuh sabar dan tabah.
Dan atas kesabaran dan ketabahan ini dalam masa selama 3 tahun NDP juga menyaksikan perkembangan-perkembangan yang menggalakkan.
NDP antaranya berhasil menjalin hubungan kerjasama dengan Biro Pencegah Rasuah dan juga Biro Pengawalan Narkotik serta berjaya mengadakan sesi dailog dan taklimat dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Peguam Negara, Jabatan kemajuan Ekonomi dan Jabatan Kemajuan Perumahan.
Ini menggambarkan ketika sebilangan agensi kerajaan dan kelompok masyarakat masih belum bersedia menerima kehadiran NDP terdapat juga agensi-agensi kerajaan yang terbuka dan memahami dengan baik kehadiran NDP.
Di sepanjang 3 tahun lalu NDP juga mendapat perhatian masyarakat serantau dan antarabangsa.
Pada bulan Februari tahun lepas sekumpulan ahli parlimen Jerman telah berkunjung ke markas pusat NDP dalam siri lawatan mereka ke Brunei.
Pada bulan berikutnya serombongan ahli-ahli Puteri UMNO pula datang berkunjung untuk berkenal-kenalan dengan NDP.
Tidak lama selepas itu di susuli pula dengan sesi perjumpaan ahli-ahli parlimen British dengan Ayahnda Presiden NDP Yasin Affandy dan Timbalan Presiden, sdr Mahmud Morshidi Othman. Awang Haji Aminorashid Haji Ghazali, Setiausaha Agyng NDP dan Malai Hassan Othman, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa dan Keamanan juga turut hadir di sesi perjumpaan tersebut.
Di perkembangan lain, NDP selama 3 tahun ini juga tidak menghampakan dan mengecewakan harapan ahli-ahli akar umbi dan kelompok masyarakat yang simpati dengan perjuangan parti menjunjung titah membangun bangsa.
Sejak penubuhannya dan dalam tiga Kongres Agung yang telah berjaya diadakan, banyak isu-isu penting telah di ketengahkan dan tidak keterlaluan jika di katakan di sambut baik oleh KDYMM Baginda Sultan dan Kerajaan baginda.
Antaranya isu kemiskinan, isu perumahan negara, keselamatan permakanan, pertanian, isu sempadan dan keselamatan sosial.
Semua isu ini bukan isu baru tetapi dengan kehadiran NDP (yang tidak ragu-ragu menyuarakannya) semunya mendapat perhatian dan tindakan yang menggalakkan.
Secara ringkas, selama 3 tahun ini NDP sudah berjaya mengharungi berbagai cabaran dan rintangan dengan terus maju kehadapan mendepani isu-isu yang menjadi kebimbangan rakyat akar umbi.
NDP telah berjaya menunjukkan kematangnnya dan jelas sejauh ini NDP sangat relevan dalam konteks pembaharuan politik yang di cita-citakan oleh Baginda Sultan
Dalam tempoh masa 3 tahun keahlian NDP meningkat dari hanya kurang 100 orang kepada hampir 2,000 orang ahli.
Hingga ke hari ini hampir 20 buah ranting NDP telah berjaya di tubuhkan di ke-empat-empat daerah di negara ini.
Kalau 3 tahun lalu suasana politik di Brunei agak malap, sekarang ianya sudah mula bercahaya.
Tapi sayangnya media-media tempatan sama ada takut atau tidak berminat langsung untuk melihat cahaya pembaharuan politik ini yang mula bersinar-sinar ini.
Kalau pun ada, perhatian media hanya sekadar mengambarkan NDP sebagai sebuah badan NGO yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.
Isu-isu besar yang di lontarkan oleh NDP tidak sekali-kali mendapat tempat di dada-dada akhbar tempatan sehinggakan ramai yang tidak menyedari kehadiran NDP dan peranan NDP dalam mengetegahkan banyak isu yang penting bagi kemaslahatan negara dan bangsa.
Namun demikian insya Allah NDP tidak akan tawar hati. Di tahun-tahun mendatang ini dengan sokongan padu ahli-ahli akar umbi dan masyarakat umum NDP akan terus berkembang kearah menjadikan hasrat Baginda Sultan untuk melihat rakyat dan penduduk menjadi rakyat berdaulat, bertamadun dan matang dalam sama-sama mebangun bangsa dan negara akan menjadi kenyataan.
NDP akan terus bergerak menawarkan diri sebagai rakan strategik dan 'power base' kepada KDYMM Paduka Seri baginda Sultan dan zuriat-zuriat baginda. Insya Allah (mho)