Sepanjang beberapa minggu kebelakangan isu muzakarah UMNO–PAS yang dikatakan bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan melayu telah begitu hangat dibincangkan dalam media negara jiran, Malaysia.
Titik tolak kepada kemunculan isu ini bermula dari adanya cadangan bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali agar parti PAS dan UMNO bergabung bagi membentuk kerajaan campuran di negeri itu, yang dikatakan, melaluinya perpaduan melayu akan dapat diperkukuhkan.
Berikutan adanya cadangan tersebut, beberapa pemimpin utama baik daripada parti pemerintah, UMNO mahupun parti pembangkang PAS, telah membuat kenyataan menyokong usaha pertemuan tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi sendiri, di awal kemunculan isu ini, turut mengesahkan bahawa beberapa perbincangan antara UMNO dengan PAS telah dilakukan bagi membincangkan isu berkenaan kerjasama UMNO-PAS.
Beberapa pemimpin utama PAS seperti presiden parti, Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Dato’ Hj. Nik Aziz Nik Mat kemudiannya turut membuat kenyataan menyetujui usaha bagi mengadakan pertemuan bersemuka atau muqabalah, dengan UMNO bagi tujuan menjalin jaringan komunikasi antara keduanya.
Dato’ Hj. Nik Aziz di suatu peringkat, malah pernah mencadangkan agar kedua-dua buah parti, UMNO dan PAS dibubarkan saja bagi membolehkan sebuah parti baru dibentuk bagi menyatupadukan orang melayu di bawah satu bumbung perjuangan.
Bagaimanapun, beliau mengenakan syarat bahawa UMNO harus bersedia untuk melaksanakan hukum hudud dan kisas sebagai pra-syarat bagi PAS untuk kembali berkerjasama dengan UMNO.
Diluar dunia politik, hasrat untuk kembali bersatu itu sedikit sebanyak telah disambut dengan perasaan lega oleh mereka yang ingin melihat kedua-dua parti yang mewakili kepentingan umat melayu itu kembali bersatu.
Bagaimanapun isu muzakarah UMNO-PAS ini gagal meneruskan momentum sebagaimana di tahap awal idea tersebut dibangkitkan.
Parti PAS, atas desakan sebahagian besar ahlinya, telah meminta pucuk pimpinan parti itu mengkaji semula sebarang cadangan mengadakan muzakarah dengan UMNO.
Ini kerana tindakan tersebut ditafsirkan sebagai mempunyai agenda lain di pihak UMNO, iaitu untuk menyelamat dan memperkuatkan semula kedudukan UMNO di negeri-negeri di mana pembangkang menguasai kerajaan.
Dalam pada itu, sekelompok lagi umat melayu yang bernaung di bawah parti PKR melihat kesungguhan di pihak UMNO untuk mengundang kerjasama dengan parti PAS sebagai mempunyai muslihat politik di pihak parti pemerintah untuk kembali menguasai pemerintahan di negeri-negeri di mana kerajaan mengalami kekalahan dalam pilihan raya lalu, bukannya berniat ikhlas dalam memperjuangkan perpaduan melayu.
Mereka mempersoalkan sekiranya perpaduan melayu keseluruhannya mahu dicapai, ianya haruslah juga melibatkan orang-orang melayu yang bernaung di bawah parti PKR.
Berikutan adanya kesedaran serta desakan sedemikian rupa, pemimpin PAS kemudiannya membuat penegasan bahawa isu muzakarah dengan UMNO boleh diteruskan tetapi ianya akan terhad kepada pertemuan bersemuka sahaja, bukannya bersabit dengan usaha membentuk kerajaan campuran UMNO-PAS.
Serentak dengan itu, pemimpin parti PAS turut membuat penegasan bahawa parti itu akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat yang keanggotaannya terdiri daripada tiga buah parti pembangkang iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Berikutan adanya penegasan di pihak parti PAS itu, berserta adanya tekanan di kalangan ahli-ahli parti berkenaan yang tidak mahu PAS terjebak dalam apa yang dianggap sebagai pengalaman pahit yang pernah dilalui parti itu ketika mengadakan kerjasama dengan UMNO lebih tiga dekad lalu, isu muzakarah tersebut kini nampaknya hanya tinggal sekadar menjadi bahan polimik perbincangan di pihak media dan pemerhati-pemerhati politik.
Rata-rata umat melayu melihat kegagalan untuk merealisasikan kerjasama antara UMNO dengan PAS sebagai sesuatu yang malang.
Persepsi yang berbeza di sebalik isu muzakarah tersebut, dilihat sebagai menjadi punca kepada halangan berlakunya muzakarah di antara kedua-dua buah parti sebagaimana yang diharapkan.
Dilihat dari sudut latar belakang, inisiatif bagi mewujudkan muzakarah perpaduan melayu ini diambil ekoran adanya keputusan pilihan raya umum lalu yang menyaksikan umat melayu di negara jiran itu secara umumnya berpecah kepada tiga kelompok parti iaitu UMNO, PAS dan PKR.
Di beberapa buah negeri di mana Barisan Nasional (BN) gagal membentuk kerajaan seperti di Perak, Selangor dan Pulau Pinang, pakatan rakyat berjaya membentuk kerajaan atas dasar persefahaman dan kerjasama antara ketiga-tiga parti yang menganggotai pakatan berkenaan.
Di satu pihak lain, UMNO/ BN walaupun berada sebagai pembangkang di negeri-negeri berkenaan, masih menguasai sejumlah besar kerusi di dewan undangan negeri.
Jika gabungan antara UMNO dengan parti PAS berjaya dibentuk, kedua-dua pihak akan berpeluang menguasai kerajaan negeri di negeri-negeri yang terlibat terutama seperti di Perak dan Selangor.
Inilah antara faktor yang dikatakan telah mendorong adanya inisiatif beberapa pihak untuk berusaha membawa kedua-dua parti yang mewakili pengundi melayu tersebut supaya bersatu.
Malangnya, disebabkan wujudnya persepsi yang bebeza sebagaimana yang dinyatakan itu, usaha bagi meneruskan muzakarah berkenaan nampaknya kini hanya tinggal sebagai sebuah teori politik yang sukar untuk dipraktikkan.
Pada tahap ini pelbagai pihak yang ingin melihat orang melayu bersatu sepenuhnya di bawah satu bumbung perjuangan masih belum berputus asa.
Selain beberapa kumpulan serta individu yang terdiri daripada ahli politik, beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Badan Bertindak Perpaduan Melayu telah mengambil inisiatif secara berterusan untuk menganjurkan seminar dan perjumpaan menyentuh isu perpaduan melayu.
Mereka pada umumnya merasa bimbang, akibat tiadanya perpaduan serta kerjasama di kalangan orang melayu nanti, umat melayu kelak akan melarat di tanahair sendiri gara-gara perpecahan sesama sendiri.
Dengan kedudukan di mana orang melayu kini bukan lagi merupakan penduduk majoriti yang begitu besar, sebaliknya berada dalam kedudukan hampir seimbang dengan penduduk bukan melayu, sebarang perpecahan yang serius dikhuatiri cuma boleh membuatkan ketuanan politik orang melayu akan terhakis begitu sahaja.
Maka atas kesedaran seperti inilah seruan ke arah pembentukan sebuah perpaduan melayu yang utuh dan berkekalan sentiasa diusahakan oleh pihak-pihak yang prihatin terhadap masa depan umat melayu pada masa depan.
Orang Melayu menunggu-nunggu, adakah Allah akan menurukan seorang lagi wira bangsa seperti Allah yarham Tun Hj Abd Razak, perdana Menteri Malaysia kedua.
Sejarah keunggulan dan perpaduan umat melayu yang dijana oleh Allah yarham tetap terpahat didalam sejarah perjuangan orang melayu.
Pegangan kebangsaan beliau yang kuat itu ditebarkannya keseluruh rantau ASEAN ketika itu.
Di zaman beliau, melonjaklah semangat baru orang melayu iaitu keazaman semua kelompok yang bertikai untuk bersatu.
Beliaulah antara beberapa orang pelopor pembentukan ASEAN. Beliaulah berperanan besar menamatkan konfrontasi Indonesia-Malaysia, ketika zaman beliaulah PAS menganggotai Barisan Nasional, ketika itulah juga UMNO menjana hubungan akrab dengan Partai Rakyat Brunei(PRB) yang bergerak dari luar negeri dimana sebelumnya kedua parti dijarakkan oleh politik penjajah seperti bumi dengan langit.
Kita tidak pasti samada kemanisan persaudaraan melayu/islam yang pernah menjadi kenyataan dipertengahan tahun tujuh puluhan itu akan
berulang lagi.
Namun, harapan, sentemen dan doa orang Melayu adalah untuk melihat perpaduan orang melayu/islam di negara jiran kita itu akan segera dapat direalisasikan, bukan sahaja terbatas dari sudut kepentingan politik, malah juga merangkumi aspek agama, sosio-ekonomi dan juga aspek strategik umat melayu seluruhnya baik dari sudut jangka pendek mahupun jangka panjang. Wallahu a’alam – (mmo).